Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Isteri glamor suami sempoi


Oleh Hidayah Mohammad


MASA bersama dimanfaatkan untuk keluarga.

Keserasian, timbang rasa rahsia pasangan bahagia

ADA pasangan suami isteri yang sehati sejiwa sering mengenakan pakaian sedondon. Namun, ada juga hanya isteri yang gemar bergaya, sementara suami sering tampil mengenakan pakaian yang ringkas atau sebaliknya, suami tampak bergaya sedangkan si isteri terlalu biasa.

Penampilan tidak sepadan itu ada kalanya mengundang umpatan orang lain walaupun hakikatnya tidak salah untuk bergaya kerana setiap individu mempunyai cita rasa dan kehendak tersendiri.


Hakikatnya, ada lelaki yang gemar melihat isteri tampil bergaya walaupun diri sendiri terlalu santai. Malah, jangan terkejut jika ada lelaki yang bagaikan penata gaya kepada isteri dan sering memberi komen mengenai pemilihan pakaian atau solekan digayakan.

Begitu pun, isteri yang gemar bergaya perlu juga memikirkan kesesuaian dengan status dipegang. Mereka bukan saja membawa gelaran isteri, malah juga ibu, anak dan juga menantu kepada individu lain.

Walau ke mana saja mereka pergi, soal bergaya seakan mencorak diri dan sebaiknya perlu mengikut batasan. Batas bergaya bagaimanapun bukalah satu kawalan, sebaliknya ia adalah kebaikan untuk keluarga terutama menjaga maruah dan kehormatan diri.

JAGA anak bersama mengeratkan hubungan suami isteri.

Bagi Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Mohd Aidil Tupari, 34, gaya yang sebenar bukanlah dari segi luaran tetapi ia turut membabitkan dalaman. Dalaman yang dimaksudkan ialah ilmu pengetahuan yang dibawa perlu seiring bagi menunjukkan keseimbangan peribadi seseorang.

“Bergaya tidak penting tetapi pengetahuan adalah yang paling utama. Selain isu semasa yang seharusnya kita ambil tahu, kita juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai apa yang kita pakai. Bukan sekadar pakai, tetapi tidak faham dan mengerti apa yang gayakan.

“Ia seperti ‘tong kosong’ kerana gaya membabitkan dari semua sudut. Bagi saya bergaya perlu mengikut kesesuaian dalam hidup. Namun, tidak salah sekiranya kita bersederhana,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Aidil yang mengahwini eksekutif koordinator sebuah syarikat penyiaran, Norismahaliza Ishak, 25, sejak dua tahun lalu sentiasa bangga dengan imej sederhananya. Walaupun isterinya gemar tampil menawan ke mana saja, beliau berpendapat hidup dengan gaya bersederhana lebih ringkas dan selesa.

“Bergaya berlebihan tidak kena juga. Namun, perlulah mengikut kesesuaian dalam hidup. Sekiranya nak bergaya perlu lihat tempat, waktu dan cara. Itu juga antara cara menjana modal insan yang baik seperti apa yang disarankan kerajaan.

“Seseorang bergaya mungkin ada sebabnya juga. Saya tidak menghukum mereka terutama isteri yang gemar tampil menarik. Mungkin dia ada minat dan ia perlu mengikut kesesuaian tempat dan faktor kerja,” katanya yang kini dikurniakan seorang cahaya mata, El Batrisyia, berusia satu tahun setengah.

Beliau yang berasal dari Gombak berkata, walaupun isterinya nampak seperti bergaya sakan, tetapi Aidil tetap hormati pendirian Liza yang turut mengambil kira dirinya sebagai suami.

“Saya tidak kisah dia nak pakai apa sekali pun, tetapi perlu faham dengan keadaan. Ketika bercinta mungkin dia boleh mengenakan apa saja yang dia suka, tetapi kini tidak lagi kerana dia faham, apa yang dikatakan sebagai isteri yang perlu menjaga imej keluarga.

“Meskipun begitu, ia perlu berpada-pada dan tidak boleh melangkaui batasan. Saya percaya, ada juga yang bergaya dengan mementingkan barangan atau pakaian berjenama. tetapi ia tidak elok sekiranya tidak mengikut kemampuan,” katanya.

Norismahaliza tetap utama pandangan Aidil

BAGI Norismahaliza pula, bergaya seakan satu kemestian. Bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ia antara faktor menjana keyakinan diri tatkala berdepan dengan orang ramai.

“Walaupun gemar mengikuti gaya terkini, kita perlu bergaya mengikut kesesuaian tempat dan acara yang dihadiri. Ini lebih baik. Saya juga gemar bergaya, tetapi lebih kepada ringkas dan bersederhana.

“Saya berpendapat gaya perlu untuk tampil kemas, sedap mata memandang dan penampilan yang matang. Selain itu, bagi saya juga bergaya sesuai memberi keyakinan pada diri. Yang penting adalah keselesaan,” katanya.

Norismahaliza yang berasal dari Selayang berkata, untuk imej kemas dan selesa serta berkeyakinan lebih menarik ketika dipakai waktu kerja. Tetapi, ringkas yang kasual juga untuk digayakan ketika keluar bersama keluarga pada hujung minggu.

“Kadang kala, ada orang bergaya tidak kena pada tempat. Ia seperti lumrah kehidupan dan tidak berhak menentukan apa yang ingin dipakai. Bagi saya juga senang. Biarlah apa orang nak pakai, yang penting mereka selesa,” katanya.

Wanita jelita itu yang juga graduan jurusan Komunikasi Media, pernah terbabit dalam bidang peragaan sebelum berkahwin. Walaupun beliau penggemar fesyen, suaminya pula lebih ringkas dan tidak begitu kisah mengenai cara pemakaian yang terkini.

“Dia seorang sangat ringkas dan tidak cerewet. Senang dan tidak terlalu memilih dari segi corak pemakaian. Akan tetapi, dia masih meminta pandangan saya sekiranya perlu menghadiri majlis korporat, rasmi, kasual ataupun apa saja majlis mengikut tema yang ditetapkan.

“Ini penting supaya dia tidak akan berasa kekok dengan apa yang dipakai. Ada orang yang tidak suka terhadap sesuatu fabrik, corak dan sesetengah warna, jadi kita perlu sesuaikan gayanya,” katanya.