Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Tomboi juga punya cinta


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


FOUZIAH bersama Norazlan.

Perasaan malu jadi halangan walaupun hati mengaku sudah terpaut jejaka idaman

KATA orang, wanita lemah lembut, hatinya sekeras batu, sebaliknya wanita yang berperwatakan kasar atau tomboi punyai luaran yang agresif, tetapi hatinya mudah tersentuh, sensitif malah juga mudah jatuh cinta! Sayangnya sikap kasar yang ditonjolkan itu terlindung dek perwatakan kasar, menyukarkan hati wanitanya itu ditambat lelaki.

Tomboi sukar memulakan langkah pertama dalam bercinta kerana perasaan malu dalam dirinya menjadikan mereka selalunya hanya mampu menjadi penunggu cinta, walaupun hati mengaku sudah terpaut pada jejaka idaman. Untuk memulakan langkah pertama tidak sekali-kali kerana berpegang pada bidalan 'takkan perigi mencari timba'.


Bersuara serak, susuk tubuh sederhana tetapi tegap, Fouziah Hanim Yahya, 48, mengakui melalui saat jatuh cinta pada zaman remaja lagi, tetapi malu meluahkan hasrat dan tidak pula bersedia untuk pergi jauh dalam perhubungan menjadikan cinta berkenaan putus di tengah jalan.

"Kawan-kawan saya kebanyakan lelaki. Walaupun ada di antaranya menarik hati dan pernah juga diajak berpacaran, saya terlalu malu untuk semua itu. Bagaimanapun pertemuan dengan Norazlan mengubah segalanya. Kerap bertemu mata, saya akui sikap ikhlas menambat hati.

"Tetapi saya terlalu malu. Memang dia memulakan langkah pertama, melamar dengan berani menyebabkan hati wanita saya tersentuh. Memang saya jenis cakap lepas, maknanya tidak ramai yang berani dekat dan yakin untuk melamar. Walaupun berkahwin agak lewat, tetapi saya gembira kerana akhirnya ketemu lelaki yang memahami dan mampu menggembirakan hati saya.

DULU Fouziah terkenal dengan sikap tomboi.

"Walaupun saya masih digelar tomboi, khususnya di kalangan rakan sekolah yang masih berhubung dengan saya kini, tetapi apabila mengenakan tudung, adalah nampak kewanitaan sikit," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas mengenai perbezaan antara tomboi dan pengkid, katanya tomboi dikaitkan dengan wanita berperwatakan kasar, tetapi memiliki naluri kewanitaan. Mereka gemar berkawan dengan lelaki kerana mereka tidak terlalu sensitif dan gemarkan cabaran, sementara pengkid pula wanita yang meniru aksi lelaki, tetapi gemar mendekati wanita cantik.

Sementara itu, Norazlan Mohd Zain, 47 memutuskan untuk mengikat tali perkahwinan dengan Fouziah dua tahun lalu selepas pengalaman menjadi duda selama beberapa tahun selepas mendapati serasi dengan Fouziah. Anak tiri Fouziah seramai empat orang yang berusia antara 20 hingga 15 tahun.

"Realitinya beliau sangat gemarkan kerja kewanitaan. Memasak, menjahit baju dan sebagainya semuanya dia tahu buat. Ketika mula diperkenalkan dengan anak-anak, mereka juga mudah mesra. Mungkin juga kerana latar belakang Fouziah yang banyak bercampur dengan remaja.


"Pada pandangan saya walaupun wanita itu tomboi, sekiranya kita tahu mengambil hatinya, tidak akan menjadi masalah kerana secara luaran saja mereka seperti itu, tetapi hormat-menghormati dan boleh berkomunikasi dengan baik. Pada saya pilihan antara tomboi dan wanita yang lemah lembut tidak wujud asalkan hati berkenan," katanya yang digelar dengan nama panggilan 'Yang' bererti sayang olah Fouziah.

Mengulas mengenai gelaran tomboi, Fouziah berkata, beliau anak kedua daripada 11 beradik tetapi tempoh lama dikelilingi adik beradik lelaki. Selepas beliau, barulah seorang lagi anak perempuan dilahirkan iaitu anak kelima barulah perempuan.

"Sebenarnya saya sedih bila digelar tomboi kerana saya bukan hendak jadi begitu, sebaliknya keadaan menyebabkan saya perlu bersikap agresif kerana ramai adik beradik lelaki. Kalau lembik saya kena buli pula kan?. Saya boleh buat kerja rumah dan di dapur, tetapi saya gemarkan ia berjalan dengan cepat dan lekas habis.

"Kalau membasuh pinggan contohnya, saya tidak boleh buat dengan perlahan, mesti berbunyi 'kelentung kelentang'. Begitu juga bila memasak dan mengacau air, ada saja bunyi yang kedengaran. Mak dan ayah saya selalu menegur, tetapi mereka tidak pernah mendesak saya berubah menjadi wanita yang lemah lembut seperti adik kelima saya, itu yang paling saya seronok kerana mereka hormat dan faham diri saya.

"Mengenai kawan pula, memang saya berkawan ramai dengan lelaki kerana mereka ini tidak terlalu sensitif atau mudah merajuk. Sungguhpun begitu saya gemarkan kerja kewanitaan seperti menjahit dan memasak malah gemar bergaya dengan mini skirt," katanya yang hingga kini masih kerap dan gemar memasak untuk keluarga apabila berkumpul di rumahnya secara beramai-ramai.

Ibu bapa perlu kenal anak perempuan

GEMAR membantu orang ramai, tugasnya sebagai Pegawai Penerangan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang banyak berkaitan dengan remaja, membolehkan beliau menyelami masalah dihadapi remaja termasuk tomboi dan penkid.

Pengalaman dilalui Fouziah banyak memberikan pengajaran kepada remaja berkenaan tetapi beliau hanya mampu menyokong daripada luar dan remaja berkenaan sendiri sebenarnya perlu sanggup berubah.

"Ibu bapa tidak perlu terlalu takut dengan anak tomboi, sebaliknya membimbing dengan cara lembut dan diplomasi. Saya pernah berhadapan kes yang mana ibu bapa yang memiliki anak tomboi, tidak menggalakkan memakai baju perempuan sebaliknya diberikan baju Melayu serta songkok.

"Sedangkan bila anak yang kelihatan cenderung kepada kelelakian, seharusnya ia dibimbing dengan memberikan pakaian perempuan dan terangkan dengan baik walaupun sejak kecil lagi. Memiliki anak perempuan yang gemar berkawan dengan perempuan dan mengunci bilik bersama, itulah yang perlu dikhuatiri kerana ia mungkin membawa sesuatu perkara buruk seperti pengkid, kerana mereka ini bijak mengaburi mata orang ramai," katanya yang menegaskan anak remaja perlu diberikan bimbingan dan bantuan kerana mereka perlukan petunjuk daripada golongan lebih dewasa.

Beliau berkata, setiap ibu bapa perlu mengenal pasti masalah anak kerana kalau kita ambil tidak endah ia mungkin mengundang masalah besar kepada dirinya bila dewasa nanti. Perhatikan sikap mereka, berkomunikasi dan kalau masih tidak membantu, dapatkan bantuan pihak ketiga seperti rujuk dengan LPPKN.

Pandangan beliau turut disokong Norazlan yang berpendapat masalah itu perlu dilihat secara lebih luas dan elakkan daripada melihat ia hanya masalah satu pihak.

Katanya, hingga kini hanya denda dikenakan kepada wanita serta lelaki berhubungan jenis sedangkan perbuatan itu salah di sisi agama, dilaknat Allah hingga Nabi tidak mengaku sebagai umat.

"Saya melihat sudah sampai masanya kita membendung hal ini supaya ia tidak menjadi lebih parah. Kuat kuasa undang-undang dan hukuman kerana ia mampu memperbaiki masalah sosial hari ini," katanya.