KOLANDAN, 69, tiba di Estet Boh di Cameron Highlands pada lewat 1930-an bersama keluarganya yang berhijrah untuk mencari kehidupan lebih baik di Malaya.
Mereka antara beratus-ratus orang dari benua India yang tiba di Cameron Highlands untuk membanting tulang di sebuah ladang teh perintis yang diusahakan oleh seorang usahawan Inggeris.
Kolandan pada masa itu masih pada zaman kanak-kanak, masih mentah dengan ragam hidup. Bagi beliau, jika pun ada yang tidak kena ialah cuaca dingin tanah tinggi.
Tetapi semua itu berubah pada 1948 apabila bapanya Kandasamy dengan tiba-tiba meninggal dunia. Pada usia yang begitu muda, belum pun mencapai usia 12 tahun, Kolandan mula bekerja di ladang sama untuk membantu menyara kehidupan keluarganya.
Kolandan ketika itu mungkin tidak menyedari ia adalah permulaan satu kehidupan yang berlegar di ladang sama untuk lebih separuh abad.
Kolandan, yang kehidupannya sebati dengan rutin ladang teh, mendirikan rumah tangga dengan seorang daripada saudaranya, Ponama Sengoda Kaunder, kini berusia 62 tahun. Kolandan memandu traktor sementara Ponama bekerja sebagai pemetik daun teh di ladang sama.
Kedua-duanya kini sudah bersara. Ketiga-tiga anak mereka sudah pun dewasa dan menetap di tempat lain, tetapi pasangan itu bertegas untuk meneruskan sisa-sisa hidup mereka di ladang berkenaan.
Kerja harian di ladang meletihkan dan ganjarannya pula cukup ala kadar, tetapi pasangan ini tetap berbangga dengan kerja mereka selama lebih lima dekad. Apa saja yang mereka lakukan setiap hari masih segar dalam ingatan.
“Mereka perlu memetik dengan tangan tiga helai daun daripada pucuk teratas yang dikatakan sebagai daun terbaik,” kata Kolandan mengenang semula bagaimana daun teh dipetik pada masa itu.
Tetapi kemudian gunting diperkenalkan dan dengan itu timbullah zaman kegemilangan industri teh dengan setiap pekerja boleh mengutip sehingga 100 kilogram (kg) dalam sehari.
Ponama berkata, pernah sekali beliau dengan tanpa sengaja mencengkam seekor ular yang kepalanya disangka daun teh. Ia suatu pengalaman yang menakutkan.
Nasib baik sehingga kini tiada yang maut kerana patukan ular, tetapi ramai juga yang kehilangan jari kaki dan tangan kerana diserang oleh reptilia itu.
“Pada masa dulu, untuk memetik daun teh, pekerja wanita akan keluar dalam kumpulan 20 atau 30 orang, walaupun pada hari hujan. Kami akan menyanyi lagu diiringi korus untuk meniupkan semangat,” kata Ponama yang masih boleh menyanyikan lagu itu sehingga hari ini.
“Ketika waktu makan tengah hari kami akan berkongsi makanan dan akan berbual mengenai keluarga dan filem,” kata Ponama yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya.
“Kami hidup sebagai satu keluarga besar dan sering kali terbabit dalam permainan tradisional seperti kabbadi, manja neer dan kummi attam,” katanya yang masih kelihatan bertenaga, mencelah.
Seminggu sekali filem akan ditayangkan di ladang berkenaan dan mereka semua akan pergi menyaksikan bintang pujaan mereka.
Menurut Kolandan, pemandangan pada masa itu seperti pesta dengan lebih kurang 200 hingga 300 wanita dengan sari berwarna-warni berjalan keluar dari deretan rumah menuju ke padang, iaitu lokasi filem ditayangkan.
“Kehidupan pada masa itu serba daif. Kami mencari kayu api, menanam sayur-sayuran dan berkongsi makanan bersama jiran - semangat setia kawan yang jarang ditemui hari ini,” katanya.
Kolandan berkata, tempoh yang benar-benar mencabar ialah pada 1957 apabila perintah Darurat dikuatkuasakan di Cameron. Pada masa itu, beras sukar diperoleh dan penduduk tempatan terpaksa bergantung pada ubi kayu.
Bagaimanapun, Kolandan menanam sayur-sayuran bagi menampung keperluan keluarganya.
Yang menjadi tanda tanya ialah mengapa pasangan ini mahu kekal di ladang itu, walaupun mereka terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan?
Adakah kerana rasa puas hati dan semangat jati diri kehidupan di ladang itu atau mungkinkah ini satu-satunya saja dunia yang mereka kenali.
Apapun, Kolandan dan Ponama bersyukur kerana mereka tetap dapat hidup bahagia, walaupun hidup sederhana.
Apa yang kita boleh belajar daripada pasangan ini ialah seseorang masih boleh hidup bahagia selagi berpuas hati dengan apa yang ada.