Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Komunikasi massa cinta Eiran


Oleh Diyanah Anuar


Eiran De Rozario, Ketua Pegawai Eksekutif Rascen Communication

Ketua Pegawai Eksekutif Rascen utama kejujuran dalam tugas

MEMPERCAYAI bakat yang ada diri serta keberanian untuk menyuarakan pendapat mengenai sesuatu perkara, kini Eiran De Rozario, 25, menerajui firma komunikasi yang 'dilahirkan' sendiri beliau dan empat rakannya yang lain.

Ketika di kolej dulu, beliau adalah seorang penuntut di fakulti perniagaan namun selepas separuh jalan mengikuti jurusan perniagaan, beliau masih tidak menemui kepuasan.


Bagaimanapun, subjek Sosiologi yang dipelajarinya dalam jurusan itu membuka minatnya ke suatu jurusan lain.

“Kursus perniagaan membuatkan saya berdepan dengan terlalu banyak angka dan saya tidak menyukainya.

“Tapi bila saya mengikuti kelas sosiologi, saya menyukainya. Saya suka mengambil bahagian dalam pembentangan, bercakap di depan orang, memberi pendapat dan idea.

“Saya sering tampil memberi pandangan yang saya rasakan betul. Ia memberi kepuasan,” kata Eiran.

Beliau kemudiannya membuat keputusan untuk bertukar ke jurusan komunikasi massa. Agak berat baginya untuk mengambil keputusan itu apatah lagi bila memikirkan cara untuk mendapatkan pembiayaan pengajiannya bagi jurusan yang baru itu.

Namun, dengan sokongan yang diberikan ibu bapanya, beliau tetap melakukannya dan kini beliau berbangga dengan keputusan yang diambil itu.

“Saya mencapai keputusan yang cemerlang dalam subjek yang diambil dalam jurusan ini dan berjaya tergolong dalam kumpulan pelajar yang mendapati gred yang baik.

Ketika dalam pengajian juga beliau dan empat rakannya pernah bercita-cita untuk menubuhkan sebuah firma komunikasi dalam tempoh sepuluh tahun selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun, impian itu dapat direalisasikan lebih awal, iaitu tidak sampai lima tahun selepas meninggalkan menara gading.

“Kami menubuhkannya lebih awal kerana berasa sudah bersedia dan yakin dengan pengalaman yang ditimba ketika bekerja dengan beberapa syarikat besar.

“Kebetulan juga, modal dikumpul pula boleh dikatakan mencukupi, jadi pada awal tahun 2007, kami mula tubuhkan syarikat komunikasi yang dinamakan sebagai Rascen Communication. Rascen diambil dari huruf pangkal pada nama setiap rakan kongsi yang mengambil bahagian.

“Walaupun saya diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, setiap tugas dan keputusan dilaksanakan menerusi perbincangan dalam satu kumpulan,” katanya.

Eiran tidak menafikan, sebagai sebuah syarikat baru dan diri masing-masing yang masih muda, sememangnya sukar bagi mereka untuk menempatkan diri di dalam industri pada mulanya.

Katanya, bila berada di kalangan firma komunikasi yang besar, mereka merasakan diri mereka amat kerdil. Pun begitu, ia bukanlah penghalang untuk membuktikan kemampuan yang dimiliki dan berkat kesungguhan mereka memasarkan diri, dalam masa dua bulan beroperasi, sudah ada syarikat besar yang ingin mendapatkan perkhidmatan Rascen.

“Sehingga kini, semakin banyak syarikat yang sudah berurusan dengan kami. Rascen juga tidak hanya bertindak sebagai agensi perhubungan awam dan media tetapi juga menawarkan khidmat pengurusan krisis, komunikasi pemasaran bersepadu, pengurusan jenama dan tanggungjawab sosial korporat,” jelas Eiran.

Ditanya bagaimanakah firma baru seperti Rascen mampu berupaya mendapat peluang bekerja dengan syarikat korporat yang besar, beliau berkata semua itu berlangsung melalui jaringan.

“Ketika bekerja dengan syarikat sebelum ini, kami sudah menjalin hubungan yang baik dengan pelbagai syarikat. Dari jaringan kenalan yang dibina itu, kami memasarkan nama Rascen.

“Apabila berjaya mendapat kepercayaan daripada sesebuah syarikat, kami berikan yang terbaik dalam perkhidmatan yang mereka inginkan dan pelanggan biasanya berpuas hati dengan kerja kami,” ujar beliau.

Kepercayaan yang diperoleh ini kata Eiran, mungkin disebabkan idea segar dan lain daripada lain yang sering dipersembahkan Rascen. Semua idea berkenaan mereka peroleh daripada pemerhatian dan juga penambahbaikan idea sedia ada.

Bagaimanapun, cabaran dalam bidang ini juga tidak kurang kentalnya. Sepanjang berkecimpung di dalamnya, bermacam dugaan sudah ditempuhi Eiran dan rakan kongsinya.

Cabaran yang paling kerap dihadapinya adalah untuk membuktikan kebolehan yang dimiliki dan meyakinkan pelanggan yang kebanyakannya tidak begitu yakin kemampuan orang muda seperti mereka.

“Pernah juga suatu ketika, selepas berbincang dan membentangkan idea dan rancangan yang kami sediakan untuk sebuah syarikat, mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan kami.

“Namun, di saat akhir, mereka membatalkan hasrat mereka untuk menggunakan perkhidmatan kami dan memberi alasan kononnya mereka akan bekerjasama dengan syarikat lain yang dikatakan lebih baik.

“Tapi, akhirnya kami mendapati syarikat berkenaan tetap menggunakan idea yang kami cadangkan itu walaupun tidak bekerjasama dengan kami,” katanya sambil menyatakan, setiap hari yang dilalui memberi pengalaman baru bagi mereka.

Untuk menjadi eksekutif perhubungan awam yang baik, Eiran berkata seseorang itu mestilah berkeyakinan, percayakan dengan kebolehan diri serta penuh dengan keazaman.

“Mereka juga harus berani meluahkan pendapat mereka biarpun pendapat berkenaan mungkin tidak dipersetujui.

“Saya selalu jujur dalam melahirkan pandangan walau dengan sesiapapun saya berurusan. Saya akan bersetuju jika sesuatu itu baik dan tidak bersetuju jika saya rasakan ia tidak bagus.

“Begitu juga dalam pekerjaan. Dalam perbincangan dengan pelanggan, jika ada perkara yang saya tidak bersetuju, saya akan suarakannya. Walaupun projek dari pelanggan itu penting bagi sesebuah firma seperti kami, saya rasa tidak perlulah kita bersetuju saja dengan apa yang mereka mahukan sedangkan hakikatnya kita tidak mampu memenuhi permintaan mereka itu,” katanya.

Kata Eiran, dalam masa sepuluh tahun, beliau berharap Rascen akan menjadi sebuah firma komunikasi tempatan yang mampu bersaing serta setanding dengan firma dari luar negara yang bertapak di negara ini.