Oleh Mohd Zin Ali
ORANG ramai menyaksikan upacara mandi keris. |
Senjata siap dibersih diminyakkan dengan wangian tujuh campuran
JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 bilah keris dicuci dalam satu upacara dikenali sebagai Mandi Keris sempena awal Muharam di Balai Seni Nusantara di Pantai Lido, di sini baru-baru ini.
Upacara yang hampir hilang ditelan zaman itu kini masih diteruskan oleh peminat keris bagi memastikan budaya Melayu itu terus dipertahankan selain bertujuan untuk membersihkan keris daripada karat.
Pemilik Balai Seni Nusantara, Syed Husain Syed Harun, 75, berkata upacara berkenaan bukannya mempunyai kaitan dengan ilmu hitam atau mistik, sebaliknya untuk menghidupkan kembali budaya yang kini semakin dilupakan oleh orang Melayu.
Beliau berkata, upacara berkenaan sebelum ini diamalkan secara meluas di dunia Melayu iaitu di Malaysia dan Indonesia dengan adat mandi keris biasanya dilaksanakan pada awal Muharam iaitu dari 1 hingga 10 Muharram.
"Sebenarnya, upacara ini boleh diadakan pada setiap masa terutama apabila mendapati keris yang disimpan sudah mula berkarat," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini..
Syed Husain Syed Harun, pemilik Balai Seni Nusantara |
Syed Husain yang lebih dikenali sebagai Tok Sheikh berkata, upacara berkenaan mempunyai tiga tahap iaitu membersihkan kotoran, menimbulkan pamor iaitu corak pada bilah keris serta meminyakkan keris.
Beliau berkata, tahap pertama, pihaknya akan membersihkan kotoran pada keris dengan menggunakan buah yang berasid seperti limau nipis, mengkudu dan nanas muda untuk membuang karat dengan cara memberuskan buah berkenaan pada bilah keris.
Katanya, langkah berkenaan akan menyebabkan keris menjadi putih bersih dan tidak mempunyai corak atau pamor.
"Oleh itu, kita perlu melakukan tahap kedua iaitu mengembalikan pamor dan warna hitam pada keris dengan menggunakan bahan campuran air limau nipis dan arsenik yang dikenali sebagai warangan di kalangan masyarakat Jawa di Indonesia.
GURU Silat Cimandi, Din Aman memandikan keris di Balai Seni Nusantara, Pantai Lido. |
"Tahap terakhir ialah mengeringkan keris sebelum diminyakkan menggunakan minyak wangi daripada tujuh jenis campuran untuk mewangi dan mengelakkan ia mudah berkarat," katanya.
Sementara itu, guru silat Cimandi atau silat Jawa, Din Aman, 50, berkata upacara Mandi Keris serta mengasap senjata berkenaan dahulunya biasa dilakukan kebanyakan panglima Melayu sebelum setiap kali mereka keluar bertempur.
Bagaimanapun, beliau berkata, upacara berkenaan sebenarnya dilakukan untuk menghilangkan karat dan kembali menajamkan keris berkenaan.
"Di balai ini, kami membersihkan kira-kira 250 bilah keris pada 1 Muharam dengan lebih 1,000 keris kepunyaan orang ramai dibersihkan untuk tempoh 10 hari sehingga 10 Muharam," katanya sambil menjelaskan bayaran yang dikenakan adalah mengikut ikhlas hati pelanggan.
Din berkata, selain membersihkan keris, upacara berkenaan juga boleh dijadikan tempat pertemuan antara pengumpul dan peminat keris bagi mengadakan perbincangan antara sesama sendiri untuk mengenali jenis keris yang mereka miliki.
Beliau berkata, antara jenis keris yang terdapat di dunia Melayu ialah keris Melayu, Bugis, Jawa, Bali, Pekaka, Tajung, Sundang dan Rencong Acheh.
Info
Keris