Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Hormati kontrak sosial


Saya terbaca artikel mengenai isu nasionalisme berdasarkan kaum (ethnonationalism) dalam makalah bulanan antarabangsa Journal of Foreign Affairs keluaran terbaru.

Tajuk ini diberi paparan utama (cover story) yang menggambarkan kepentingan isu ini dalam keadaan politik dunia masa kini.

Saya mendapati Malaysia juga tidak terkecuali, dan ini mendorong saya untuk menulis dalam ruangan pendapat di sini.

Artikel tersebut memberitahu tentang dominasi puak Yahudi di Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun mereka adalah puak minoriti, mereka terkenal kerana menguasai bidang perniagaan dan perdagangan.

Apabila mereka diberi hak politik, berbekalkan pengaruh mereka dalam bidang ekonomi, mereka menjadi semakin berkuasa apabila menguasai bidang profesional yang lain.

Pada awal kurun ke-20, separuh daripada doktor dan peguam di bandar-bandar Eropah seperti Budapest, Vienna dan Warsaw adalah terdiri daripada puak Yahudi. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum majoriti.

Eropah menyaksikan kebangkitan Hitler yang mengekploitasi isu ini atas nama membela bangsa majoriti Jerman. Beliau menggunakan sentimen nasionalisme berdasarkan kaum (iaitu kaum majoriti Jerman di negara Jerman) yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya iaitu Perang Dunia Kedua.

Isu ini tidak berakhir di situ sahaja. Selepas Perang Dunia Kedua, puak Yahudi bertekad untuk mewujudkan negara Yahudi iaitu Israel. Pembentukan negara Israel adalah melalui tipu muslihat dan perampasan tanah bangsa Palestin yang telah menetap secara turun temurun.

Kesaksamaan

Dalam suasana pascaperang yang memperlihatkan keazaman dunia untuk bersatu dengan pembentukan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu dan kemerdekaan negara-negara bekas jajahan seperti Malaysia yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan penduduk, Israel pula sibuk dalam halnya untuk mewujudkan negara khas untuk puak Yahudi yang terang-terangan bersifat perkauman.

Bangsa Arab yang menetap di Israel menjadi warga kelas kedua dan bangsa Palestin dinafikan hak mereka untuk berkerajaan sendiri serta ditindas hingga ke hari ini. Ini adalah sebab utama kenapa kita tidak mengiktiraf negara Israel.

Kita mendapati isu yang sama juga terdapat di Malaysia. Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ekonomi negeri rata-rata dikuasai oleh pihak bukan Melayu. Tetapi, dalam usaha menubuhkan negara kita sendiri pada 1957, kita telah mencapai persetujuan dalam bentuk kontrak sosial (social contract) di mana bangsa Melayu telah melepaskan hak mereka sebagai kaum majoriti dan pihak minoriti mengiktiraf kedudukan kaum Melayu dari segi bahasa dan agama rasmi serta kedudukan sultan-sultan Melayu.

Ini adalah penting kerana kita telah berusaha untuk menjaga kepentingan semua pihak menerusi amalan tolak ansur. Amalan ini diteruskan apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.

Kontrak sosial ini sedikit tercalar dengan penyingkiran Singapura pada 1965 dan rusuhan kaum pada 1969. Sejak itu, Malaysia seterusnya menyaksikan keutuhan kontrak sosial sehingga tamat pilihan raya umum baru-baru ini.

Adalah menarik untuk mengatakan bahawa secara sosialnya, Malaysia pada hari ini adalah sama dengan Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Ekonomi Malaysia rata-rata dikuasai oleh pihak bukan bumiputera walaupun pihak bumiputera adalah majoriti.

Maka, apabila kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua pihak selama ini dipersoal, saya yakin ini hanya akan menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati.

Tidak dinafikan bahawa dunia material masa kini yang menyaksikan konsep kelangsungan pihak yang berkelebihan (survival of the fittest). Tetapi konsep ini tidak ada gunanya jika ini hanya menimbulkan lebih banyak unsur tidak seimbang dari segi politik dan ekonomi yang menyaksikan lebih banyak rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan pihak majoriti di negara ini.

Malaysia bernasib baik kerana pihak majoriti tidak melangkaui batas seperti Hitler. Malaysia juga bernasib baik kerana pemimpin kita tidak mengeksploitasi kuasa politik mereka untuk mewujudkan negara seperti Israel.

Oleh yang demikian, semua pihak patut berbincang dalam suasana penuh hemah dalam usaha untuk mencapai kata sepakat yang akan memenuhi hak dan kepentingan pihak majoriti tetapi dalam masa yang sama tidak mengabaikan pihak minoriti.

Saya yakin, dengan mempertahan konsep kontrak sosial secara lebih rasa tanggungjawab, negara kita akan terus makmur walaupun dalam kemelut politik yang melanda negara kita dari semasa ke semasa.

– ZULHEERY ISMAIL,

Universiti Malaya.