KUALA LUMPUR 15 April - Ahli politik tidak akan dilibatkan dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bharu pada 2 dan 3 Mei ini kerana masalah yang dihadapi kaum Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah masalah rakyat.
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, dengan cara itu, suara rakyat yang sebelum ini jarang kedengaran kerana dibayangi ahli politik, akan dapat diketengahkan.
"Kita nak keluar daripada perbincangan politik yang dah berlaku selepas keputusan pilihan raya diumumkan, banyak sekali tuduh menuduh dan sebagainya.
"Kita fikir ini masalah rakyat bukan masalah ahli politik. Saya rasa ahli politik dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cara tersendiri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Dua Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan budayawan, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling.
Kongres bertemakan 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa' akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor dan dijangka dihadiri wakil lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Ismail berkata, sepanjang 50 tahun kemerdekaan negara, parti politik Melayu dilihat sebagai tidak jitu memperjuang aspirasi kaum Melayu.
Katanya, perkara itu berlaku kerana parti politik terbabit menjadi parti politik nasional yang perlu menjaga hak-hak semua kaum di negara ini.
"Atas kerana itu kami berharap dari kongres itu akan muncul satu kumpulan pendesak yang akan membawa suara orang Melayu.
"Kami amat berharap semua pihak akan mendengar resolusi NGO terbabit dan menjadikannya sebagai panduan tindakan politik," ujarnya.
Katanya, kongres itu juga akan mengambil pendekatan akademik, bukannya bersandarkan emosi dalam membahaskan isu-isu kedaulatan Melayu.
Beliau berkata, pihaknya berpendirian sesuatu yang telah teruji, baik dan berkesan yang lahir dari proses sejarah negara yang mantap tidak perlu diubah atau digugat.
"Kenapa perlu difikirkan untuk diganti dengan sesuatu yang asing seperti konsep 'Malaysian-Malaysia'," katanya.
Maklumat mengenai kongres itu boleh diperoleh dengan menghubungi Gapena yang bertindak sebagai sekretariatnya di 03-2144 2412, faks 03-2141 0340 atau e-mel melgape@pd.jaring.my.