KUALA LUMPUR 15 April - Krisis harga makanan dan komoditi global yang melambung tinggi akan memberi tekanan lebih ketara kepada perkembangan ekonomi negara berbanding krisis subprima yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, krisis tersebut boleh memberi kesan terhadap ekonomi untuk jangka masa panjang.
''Ia juga bukan isu kitaran tetapi isu struktur yang disebabkan oleh ledakan ekonomi di China dan India sejak beberapa tahun lalu.
''Ketika ini, penduduk daripada golongan berpendapatan sederhana di negara-negara berkenaan telah bertambah dan permintaan terhadap barang makanan juga telah bertambah,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Agrobank, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau melihat isu inflasi harga komoditi akan berterusan dan menjadi cabaran buat Malaysia.
Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata, Malaysia berasa bertuah kerana ia tidak bergantung sepenuhnya kepada AS untuk membantu menjana ekonomi negara ini.
''Eksport negara telah dipelbagaikan termasuk ke India dan China, oleh itu kadar pertumbuhan ekonomi negara tidak akan terjejas meskipun berlakunya kemelesetan ekonomi di AS,'' ujarnya lagi.
Menurutnya, ini disebabkan oleh sumbangan daripada sumber-sumber lain termasuk penggunaan domestik dan pelaburan yang telah berkembang dengan pertumbuhan dua angka.
Dalam masa yang sama, beliau berharap Malaysia perlu sentiasa memastikan dapat mengeluarkan lebih banyak barang makanan untuk keperluan tempatan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada import.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, unjuran kadar defisit fiskal negara yang dikurangkan kepada 3.1 peratus tahun ini tidak akan berubah walaupun keadaan inflasi berlaku di negara ini.
''Tidak ada perubahan dalam defisit bajet kepada 3.1 peratus kali ini,'' tegasnya.
Menurut beliau, Jawatankuasa Kabinet mengenai Inflasi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang mengkaji isu-isu inflasi.
''Kami sedang berbincang dengan semua pihak utama yang terlibat dan kami akan mengambil tindakan terhadap isu itu secara tepat,'' katanya.
Menjawab soalan mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan subsidi, beliau berkata, belum ada lagi keputusan mengenainya.
Tambah beliau, semua isu yang berkaitan sedang dikaji oleh menteri-menteri yang berkaitan.