Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Majestic Malacca kembalikan nostalgia zaman 50-an


Oleh Fairuz Zaidan


The Majestic Malacca

Hotel tepi Sungai Melaka tonjol identiti Baba Nyonya, kontemporari

BAGAIKAN kembali di zaman silam. Begitulah yang mampu disimpulkan ketika penulis pertama kali menyusuri masuk di perkarangan The Majestic Melaka yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Mana tidaknya, bangunan lama berusia lebih 80 tahun yang turut menjadi identiti hotel butik itu terus gah tersergam indah persis bangunan baru berbanding bangunan lama di sekitarnya.

Melihatkan proses membaik pulih bangunan itu di bawah kendalian YTL Hotel ternyata begitu berbeza sama sekali, apatah lagi landskap hotel lama itu berubah wajah dengan dekorasi kontemporari tetapi masih lagi mengekalkan identiti klasik sebagai tarikan utama buat pelanggan yang ingin meneroka kembali kegemilangan zaman silam.


Namun, mengenangkan kembali sejarah awal hotel yang dikatakan bertaraf enam bintang itu ternyata penuh warnanya. Asalnya sebagai rumah agam kepada peniaga terkenal berketurunan Cina, bangunan yang siap dibina pada 1929 itu akhirnya bertukar menjadi hotel bermula 1953. Selepas separuh abad beroperasi, siapa sangka hotel yang 'biasa-biasa saja' sebelum ini akhirnya bertukar gah di tepi sungai Melaka.

Sungguh, siapa saja yang berpeluang melangkah masuk di ruang lobi hotel berkenaan pasti terkesima dengan dekorasi dan susun atur dalaman yang diterapkan dengan sentuhan pengaruh Portugis, Belanda, British dan Peranakan. Ruang lobi terang dengan pencahayaan luar, di samping perabot lama yang diberi nafas baru menjadikan hati siapa saja terpaut untuk meneroka lebih lanjut keistimewaan hotel berkenaan.

Tentulah hebat, hotel butik yang mempunyai sebanyak 54 bilik suite berciri mewah itu dengan spa eksklusif menelan belanja sebanyak RM30 juta untuk dibaik pulih, selain pembinaan bangunan baru di belakang tapak hotel lama itu menjadikan The Majestic Melaka sebagai identiti baru lokasi percutian mewah di bandaraya bersejarah itu.

Apa yang membanggakan bangunan lama The Majestic Melaka itu tetap dikekalkan seperti sedia kala walaupun bilik penginapan ditukar ke bangunan baru di mana lokasi biliknya dulu kini dijadikan sebagai sudut membaca, restoran, bilik mesyuarat dan jamuan untuk tetamu ekslusif. Bangunan lama dua tingkat itu juga masih mengekalkan lantai seramik, pintu, tingkap dan beberapa perabot lain yang nyata menonjolkan cita rasa Melaka sejati.

Puas bermain dengan ketenangan di dalam bangunan lama hasil sentuhan klasik campuran beberapa etnik yang pernah 'menawan' bandaraya pesisir Selat Melaka itu, saya lantas di bawa pula ke bangunan baru yang tersergam indah betul-betul di belakang The Majestic Melaka. Sebaik muka pintu di belakang dikuakkan, seakan ada jurang antara lama dan yang baru.

Di sebelah kanan, terbentang kolam renang dengan air pancuran mengalir berciri moden kontemporari serta bilik gimnasium dengan peralatan senaman moden melingkari saujana mata memandang. YTL Hotel yang terkenal dengan kemewahan rangkaian hotel seperti tanjong Jara resort, Cameron Highland Resort dan Pangkor Laut Resort tetap menerapkan elemen mewah dan eksklusif di The Majestic Melaka.

Bukan omong kosong, sebaik melangkah masuk di bangunan bercirikan klasik kontemporari itu terasa seperti di kebanyakan hotel lima bintang di Kuala Lumpur dan kota-kota kosmopolitan lain di bandaraya maju di Eropah. Elemen lampu dan cermin menghiasi segenap ruang di bangunan baru daripada pintu, cermin, kamar tidur yang begitu eksklusif hinggalah di bilik air yang sarat dekorasi mewah.

Pengunjung yang berkesempatan menginap di hotel berkenaan tentunya dibuai dengan kesyahduan apabila mengamati setiap dekorasi yang diterapkan seolah-olah identiti klasik barat bertembung dengan unsur masyarakat timur. Belum puas disogok dengan garapan dekorasi dalaman di dalam bilik tidur yang cukup mengagumkan, tetamu yang menginap di hotel itu terlebih dulu disajikan dengan minuman teh masyarakat Peranakan Melaka sebagai tanda ucapan selamat datang.

Teh panas itu juga benar-benar melegakan buat tetamu, apatah lagi bagi mereka yang menempuh perjalanan jauh untuk menenangkan minda! Sesudah puas melayan perasaan dek kedamaian suasana di dalam bilik suite ekslusif, usah menunggu lebih lama untuk meneroka pula bandar Melaka. Seindah hotel butik itu, kemasyhuran Melaka sebagai destinasi pelancongan memang tiada tolok bandingnya.

Justeru, jangan lepas peluang untuk menjelajah kota bersejarah itu yang terletak berhampiran dengan The Majestic Melaka sendiri. Terdapat pelbagai alternatif pengangkutan untuk bersiar-siar seperti teksi, beca, bot persiaran atau mungkin berjalan kaki saja di tepi Sungai Melaka. Kebetulan pula, hotel itu terletak betul-betul di tepi Sungai Melaka di mana bot persiaran sendiri menjemput tetamu hotel untuk bersiar menyusuri sungai penuh nostalgia dalam landskap sejarah kota termasyhur itu.

Apatah lagi pelanggan hotel itu sendiri berpeluang menaiki bot persiaran secara percuma menerusi pakej khas untuk bersiar-siar sambil mengenali sejarah Melaka sebagai destinasi pelabuhan terkemuka antara Timur dan Barat. Peluang menaiki bot persiaran di sebelah petang menjanjikan pemandangan cukup indah di sepanjang laluan di sungai berkenaan.

Sepanjang laluan menyusuri sungai yang tenang itu akan terhias deretan kedai lama dengan pengaruh seni bina Belanda masih terus dipulihara termasuk perkampungan Melayu menampakkan tarikan tersendiri bandaraya itu, sekali gus membezakannya dengan ibu negeri lain di Malaysia. Seronok bukan kepalang merasai pengalaman sebagai pelancong di negara sendiri!

Kunjungan ke Melaka tidak lengkap jika tidak berkunjung ke Jonker Walk, A Famosa, Istana Sultan Melaka, Masjid Kampung Keling dan beberapa lagi lokasi bersejarah seperti muzium, bangunan memorial dan pusat kraftangan sebagai ole-ole untuk kenalan dan keluarga. Puas berjalan di kota Melaka, tiba masanya untuk kembali ke hotel penginapan.

Bila sudah penat berjalan, apa kata manjakan pula tubuh lesu di Spa Village Melaka di dalam The Majestic Melaka. Rangkaian spa yang turut terdapat di Tanjong Jara Resort, Cameron Highland Resort dan Pangkor Laut Resort. Menariknya di Spa Village Melaka, pelanggannya berpeluang merasai kelainan teknik urutan daripada pengaruh budaya Baba dan Nyonya.

Apa yang harus dipuji ialah bukan saja layanan kelas pertama diperoleh daripada kakitangan di Spa Village Melaka, seluruh kakitangan hotel daripada bahagian penyambut tetamu, pelayan hinggalah ke kakitangan pembersih bilik begitu mesra menyapa anda pada setiap ketika.

Ternyata kehadiran anda sememangnya begitu dialu-alukan!

Bagi mereka yang tercari-cari lokasi sesuai untuk bercuti ke Melaka, apa kata memilih hotel butik itu seterusnya merasai sendiri 'nadi' aura klasik kesan pengaruh zaman jajahan Portugis, Belanda dan British selain seni tradisi masyarakat Peranakan yang masih berbekas di bandaraya pelancongan terkenal itu.


LOKASI:

  • The Majestic Melaka
    188, Jalan Bunga Raya,
    75100, Melaka
    Tel: +606-289 8000
    Faks: +606-289 8080
    Laman web: www.majesticmalacca.com



Lulur gula Melaka kelebihan Spa Village Malacca

TEMPOH tiga jam memanjakan diri dengan kombinasi urutan dan perawatan kecantikan di Spa Village Melaka terasa bagaikan pantas masa berlalu. Sedar-sedar hari sudah menjengah malam dan di luar pula ketika itu sedang hujan lebat. Itu semua dek kerana terkesima dengan segala rawatan di dalam spa eksklusif di dalam The Majestic Melaka.

Sebagaimana rangkaian Spa Village di beberapa lokasi terkenal di rangkaian hotel milik YTL di seluruh negara, Spa Village Melaka juga tidak kurang hebatnya dengan rawatan eksklusif menerusi gabungan seni tradisi tempatan yang dikomersilkan khusus untuk pelanggan.

Istimewanya di spa itu, pelanggan berpeluang merasai kelainan rawatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki di mana pengaruh tradisi masyarakat Baba Nyonya dari segi teknik urutan, rawatan wajah, lulur hinggalah kepada perawatan rambut yang menerima elemen tradisi setempat.

Berbeza dengan rangkaian spa lain, di situ pelanggan akan ditatang bagai minyak yang penuh bagi memastikan mereka mendapat layanan secara ekslusif, selain merasai sendiri keunikan rawatan tradisi daripada elemen tradisi di negeri Melaka yang mungkin jarang difokuskan sebelum ini.

Sesuatu yang istimewa di Spa Village Melaka juga, pelanggan terlebih dulu diberi pilihan sama ada untuk menjalani pakej rawatan badan dan terapi suam-suam panas ataupun suam-suam sejuk. Dua pakej eksklusif itu dipercayai mengikut keserasian tubuh badan kita sama ada sejuk mahupun panas.

Bagi rawatan suam-suam panas, pelanggan berpeluang merasai pengalaman lulur dengan campuran gula Melaka dan madu dijadikan sebagai skrub kemudian disapukan di seluruh badan, seterusnya teknik urutan menggunakan beras dan buah pala dan santan kelapa dicampurkan dengan pati daun pandan untuk membelai kulit kepala.

Rawatan itu diakhiri dengan pakej perawatan wajah menggunakan paduan sarang burung untuk hasil yang cukup memberangsangkan.

Pakej rawatan suam-suam sejuk pula menawarkan pakej skrub menggunakan campuran dadih dan daun jambu, sebelum terapi badan daripada telur. Kemudian, pelanggan akan merasai keunikan pakej rawatan rambut limau kasturi dengan dadih yang dipercayai baik untuk kesihatan kulit kepala. Sesi rawatan wajah menggunakan bahan daripada sarang burung dengan buah belimbing melengkapkan pakej rawatan suam-suam sejuk.

Selain pakej eksklusif daripada hujung rambut ke hujung kaki itu, pelanggan juga masih berpeluang merasai kepelbagaian cita rasa tradisi tempatan yang mewah ditonjolkan di spa itu. Seperti mana pakej ala carte seperti rawatan campur-campur iaitu teknik urutan daripada kombinasi urutan Melayu dan Thai, rawatan herba lapis-lapis, teknik urutan Melayu, Thai mahupun Shiatsu dan Lomi-Lomi.

Pakej lain yang turut ditawarkan di situ ialah seperti rawatan kuku, terapi badan suam-suam panas, terapi badan suam-suam sejuk, rawatan rambut dan urutan badan mengikut cita rasa tersendiri. Pakej ini berharga dari RM150 ke atas.

Memang rugi jikalau tidak mencuba pakej rawatan di spa itu sekiranya sudah bermalam di hotel butik mewah itu. Kata orang, sambil menyelam minum air!


Apa yang menarik di The Majestic Melaka

  • Hanya terdapat 54 bilik suite eksklusif yang terdiri daripada 43 jenis deluxe king, 9 deluxe twin dam 2 suite mewah dengan keluasan 70 meter persegi.

  • Kemudahan di dalam bilik penuh cita rasa mewah iaitu televisyen skrin leper, bilik air peribadi, pancuran hujan ala tropika, tab mandi marmar, kotak simpanan elektronik, internet percuma.

  • Fasiliti hotel bertaraf antarabangsa seperti kemudahan spa lima bintang, perpustakaan, gimnasium, bar, empat bilik mesyuarat dan kolam renang.

  • Kemudahan servis eksklusif untuk pelanggan iaitu doktor perubatan, khidmat dobi, kemudahan penghantaran barang, khidmat limosin.

  • The Majestic Melaka terletak di tengah-tengah nadi lokasi tumpuan pelancongan iaitu berhampiran dengan Sungai Melaka, selain berdekatan dengan lokasi seperti Jonker Walk, A Famosa, Kompleks muzium, Istana Sultan Melaka, Tokong Poh San Teng, Masjid Kampung Hulu, Muzium Sejarah Baba & Nyonya dan Gereja St.Francis Xavier.

  • Jarak bandaraya Melaka dari Kuala Lumpur ialah sejauh 150 kilometer (km) dengan pemanduan selama 1 jam 45 minit, Pulau Pinang (513 km - 5 jam, 45 minit) dan Singapura (245 km - 3 jam).