Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

3 maut dibedil komunis


Oleh Mohd Azis Ngah


KEKEJAMAN komunis selepas pengunduran tentera Jepun.

Tragedi Lubuk Aur turut paparkan wajah sebenar PKM yang terus bertindak zalim di seluruh negara pada 1948

PADA zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah dari matahari terbit itu di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, MPAJA mula menunjukkan ‘wajah’ sebenar mereka selepas Jepun menyerah kalah dan British mengambil alih semula Tanah Melayu.


Komunis yang menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM) semakin bermaharajalela di seluruh negara. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Kejadian sama turut berlaku di Dungun, Terengganu, iaitu sekitar 1948 hingga 1950. Tragedi yang paling diingati ialah Tragedi Lubuk Aur yang mengorbankan tiga anggota polis termasuk penduduk kampung.

Detik hitam itu berlaku pada 27 Februari 1948 selepas sepasukan 17 pegawai dan anggota polis dari daerah Dungun diketuai Ketua Polis Daerah dikenali sebagai Tuan Bachelor ditugaskan menyusuri Sungai Paka bagi menjalankan operasi menjejak komunis.

KEBERANIAN Jungle Squad digeruni komunis.

Mereka bertolak dari Bukit Besi melalui Kampung Besul di Ulu Paka menggunakan perahu jalur dan turut menunda rakit buluh.

Operasi itu bertujuan membanteras kegiatan komunis yang bertindak zalim di beberapa kampung di sekitar Sungai Paka sehingga penduduk tempatan ketakutan dan sentiasa bimbang.

Koperal Muda Awang, seorang daripada anggota polis yang terselamat menceritakan detik cemas itu ketika pasukannya yang sedang menyusuri sungai berkenaan diserang hendap.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kegiatan komunis di kawasan itu dan cukup yakin dengan maklumat yang diterima.

Muda yang tinggal di Kampung Telok Lipat, Dungun, berkata pasukan yang dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ dari Polis Dungun itu diketuai Penolong Pegawai Penjaga Daerah Polis Dungun, Sub Inspektor Abdil Rahman Long.

Antara rakannya yang menyertai operasi itu ialah Ibrahim Ali, Lans Koperal Muda Othman, Dahalan, Lans Koperal Mohd Hata, Koperal Muda Awang, Sipit, Haji Samad, Penghulu Karim (Padang Pulut), Besar dan Pak Chan (kedua-duanya penunjuk arah Kampung Talang, Ulu Paka).

Sebaik tiba di Kampung Teku tidak jauh dari Lubuk Aur, pasukan itu bermalam di kampung berkenaan, tetapi Tuan Bachelor terus menghilir ke Kuala Paka bersama Lans Koperal Muda Othman dan konstabel khas, dikenali sebagai Ngah untuk menjalankan risikan.

Pada keesokan hari, Abdul Rahman memimpin pasukan bertolak seawal pagi menyusuri sungai dari Kampung Teku menghala ke Kuala Paka. Ketika menyusuri sungai itu menggunakan perahu, tiba-tiba mereka diserang pengganas komunis yang berada di kedua-dua tebing sungai terbabit.

Pertempuran sengit berlaku kira-kira 47 minit menyebabkan dua anggota polis dan seorang penduduk kampung yang bertindak sebagai penunjuk arah terbunuh manakala dua lagi cedera. Mereka yang terkorban ialah Lans Koperal Mohd Lata, Lans Koperal Dahalan dan penunjuk arah dikenali sebagai Pak Chan dari Kampung Talang, Ulu Paka.

“Sebaik tiba di Kampung Lubuk Aur, tiba-tiba kami diserang hendap dari kedua-dua tebing sungai berkenaan.

“Kami terus melompat ke atas rakit yang kami tunda dengan perahu untuk membalas serangan komunis. Oleh kerana serangan itu berlaku secara mendadak, kami tidak dapat membalas tembakan dengan tepat. Tiga rakan kami tumbang terkena tembakan dan terus ditelan arus Sungai Paka.

“Yang masih hidup terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri. Ketika itu kebetulan musim tengkujuh, jadi arus kuat menyebabkan kami terpaksa mencampakkan senapang kami yang beratnya kira-kira 15 kati (24 kilogram),” katanya.

Ketika anggota terjatuh dan ada yang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri, Abdul Rahman tetap berjuang seorang diri di atas rakit menentang ‘hujan peluru’ yang datang dari segenap penjuru, sedangkan beliau tidak mengetahui kedudukan sebenar pengganas.

Sikap beraninya yang langsung tidak berganjak atau cuba melarikan diri daripada rakit yang terdedah dan berada di tempat terbuka berjaya menaikkan semangat anggotanya yang lain untuk berjuang.

Kedudukan Abdul Rahman dengan komunis hanya pada jarak 60 ela (54 meter) saja, tetapi beliau tidak terjun sebaliknya terus membalas tembakan dan hanya cedera ringan.

Ibrahim yang turut cedera dalam serangan itu, berkata beliau dan rakannya Tengku Mat sempat terjun ke dalam sungai dan cuba berenang ke tebing.

“Melihat Abdul Rahman berjuang bersendirian, saya gagahkan diri, kumpulkan tenaga berenang ke arah rakit di tengah sungai. Malangnya arus terlalu kuat dan tenaga semakin kurang kerana cedera.

“Ketika berenang ke arah rakit, saya diserang bertubi-tubi. Saya anggarkan tidak kurang 15 das tembakan dilepaskan ke arah saya pada masa itu. Bagaimanapun, umur saya masih panjang, peluru itu tidak menemui sasaran tubuh saya, tetapi saya gagal membantu Abdul Rahman,” katanya.

Paling menyedihkan, apabila pertempuran selesai dan komunis melarikan diri, mereka terpaksa meninggalkan jasad tiga rakan mereka yang terkorban dan tenggelam di dasar sungai berkenaan.

Berpandukan kepada pengetahuan penghulu Karim, mereka meredah hutan tebal menghala ke Padang Pulut, kira-kira enam batu dari Lubuk Aur. Padang Pulut terletak di pinggir Sungai Dungun, kira-kira 15 batu (24 kilometer) dari Kuala Dungun. Mereka berlapar selama satu malam sebelum tiba di kampung dengan selamat.

Pada malam kejadian itu, selepas menerima laporan kejadian, Tun Bachelor dikatakan telah mudik ke Sungai Paka dari Kuala Paka bersama Koperal Muda, Ngah dan seorang pembantu lain.

Sebaik tiba di Lubuk Aur, mereka terdengar suara riuh rendah dan berdasarkan risikan selepas mendarat, mereka melihat sekumpulan lebih 20 komunis mengerumuni bara api dan menjamu selera kerana kejayaan mereka membunuh tiga anggota pasukan keselamatan.

Malangnya, Tuan Bachelor hanya mampu melihat kerana tidak mempunyai kelengkapan dan anggota.

Polis Dungun kemudian meminta bantuan Polis Kemaman yang menghantar sepasukan Jungle Squad ke Ulu Paka. Pasukan itu bertempur dengan kumpulan komunis dan berjaya menumpaskan mereka.

Info: Kekejaman PKM di Terengganu

  • Akhir 1948 - Peristiwa berdarah membabitkan dua terkorban iaitu Asisten Superintendan Ambery dan seorang ahli kaji bumi, Mr Arimies yang diserang hendap komunis di Ayer Putih, Kemaman.

  • Awal tahun 1949 (Peristiwa Batu 7)- Komunis membunuh seorang polis, Lans Koperal Muda dan anaknya, Kamariah, 2, ketika dalam perjalanan dari Kuala Dungun ke Kuantan. Isterinya, Lijah Abu Bakar terselamat tetapi mengalami trauma teruk menyaksikan suami dan anak dibunuh.

  • Pertengahan 1949 - Ketua Polis Daerah Dungun, Tuan Bacheor dibunuh di Kampung Serdang, Batu 6 di Ulu Sungai Kuala Dungun ketika dalam perjalanan dari Jerangau selepas mengetuai satu operasi. Ketika itu beliau bersama lima anggota ‘Jungle Squad’ tetapi anggota lain terselamat.

  • Pertengahan 1949 - Penghulu Karim Padang Pulut yang turut serta dalam Operasi Teluk Aur terbunuh selepas ditembak mati pengganas di rumahnya di Padang Pulut.

  • Dua pasukan polis disertai 32 anggota diserang hendap ketika dalam perjalanan dari Balai Polis Ayer Puteh dan sedang mudik sungai Kemaman. Semua selamat kecuali Koperal Ngah yang putus ibu jari terkena tembakan.
  •