Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Makna sebuah kritikan


ANAK petani di sebuah desa kecil di selatan Perancis itu bernama Peirre Joseph Proudhon (1809-1865). Boleh dikatakan beliau adalah orang pertama yang menyatakan dirinya seorang anarkis dalam sistem pemikiran sosialis.

Sebagai seorang sosialis, Proudhon lebih mengutamakan hal-hal yang bersifat praktik. Beliau berpendapat bahawa manusia dalam hakikatnya lahir sebagai individu yang bebas dan mempunyai hak-hak asasi tertentu.

Dalam interaksi seseorang dengan individu-individu lain, mereka akan membentuk suatu sistem sosial yang lahir secara semula jadi berdasarkan kebersamaan hak, keinginan, ekonomi dan nilai-nilai budaya.

Pada tahun 1840, beliau menulis satu tulisan yang terkenal iaitu System of Economical Contradictions. Dalam bukunya ini, Proudhon mengkritik habis-habisan mengenai kepincangan komunisme ala Karl Marx.

Menurutnya, komunisme tidak akan lebih baik daripada kapitalisme sampai bila-bila. Komunisme mengancam martabat manusia dan mengabaikan hak-hak asasi individu dan masyarakat.

Kritikan tajam dan keras Proudhon ke atas konsep-konsep sosialisme Marx kemudian dibalas oleh Marx dalam bukunya yang berjudul The Misery of Philosophy, sebuah analisis mengenai kelemahan-kelemahan sistem kapitalis.

Dalam tulisan bersirinya tentang hak milik yang diterbitkan dengan tajuk Theory of Property (1840), Proudhon sekali lagi membuat suatu kritikan yang luar biasa terhadap komunisme serta sistem perekonomian Perancis melalui istilah property is theft (hak milik adalah hasil curian).

Kesimpulan daripada pertembungan idealisme dan pertentangan pendapat antara Proudhon, Karl Marx, komunisme serta sosialisme tersebut ialah kritikan.

Kritik secara etimologi berasal daripada bahasa Greek, kritikos yang bermaksud 'yang membezakan', sebuah istilah yang diwarisi daripada bahasa Romawi kuno iaitu krites.

Krites itu sendiri bererti 'orang yang memberikan pendapat beralasan" atau analisis, pertimbangan nilai, interpretasi atau pengamatan. Istilah ini biasa digunakan untuk menggambarkan seorang pengikut posisi yang berselisih atau menentang objek kritikan.

Selepas Zaman Pencerahan (Renaissance), bidang kritikan tersebut semakin berkembang sejajar dengan perkembangan semasa. Ia tidak lagi hanya tertumpu kepada pandangan institusi gereja tentang keagamaan dan aspek-aspek birokrasi yang sempit.

Dunia kritikan pada era itu mula mengarah kepada pelbagai bidang merangkumi seni pentas atau kerja-kerja seni lain seperti tulisan-tulisan fiksyen, seni lukis, muzik, penerbitan dan sebagainya termasuk terhadap sistem feudalisme Eropah.

Dalam perkembangan kontemporari, bidang politik mungkin contoh yang sangat mudah dalam memperkatakan kritikan. Individu atau sesebuah parti yang tidak puas hari dengan pihak yang bertentangan pendapat atau ideologi akan melontarkan pandangan mereka (kritikan).

"Politik adalah sebuah pertembungan hegemoni antara dua ideologi, parti dan pandangan yang saling bertentangan yang akhirnya membawa kesan negatif kepada negara bangsa," tulis tokoh Marxisme Itali, Antonio Gramsci.

Pandangan Gramsci tersebut mungkin terlalu konseptual dalam ertikata menghadirkan politik sebagai sebuah pertembungan kelas berdasarkan garis dilektika dalam kitab komunisme, Das Kapital, tulisan Marx.

Bagi kelompok penganut Marxisme, mengupas politik, hegemoni dan kritikan terhadapnya seakan-akan tidak bakal menemukan muaranya, kerana ia selalu faktual dan dinamik.

Menurut Marx, muncul hal itu kerana politik adalah bahagian yang tidak terpisah daripada kepentingan elit birokrasi yang bertujuan menguasai kelas bawah dan struktur ekonomi.

Maka paradigma politik menjelma menjadi sebuah ungkapan "Sesiapa yang berkuasa mendapatkan apa, bila dan di mana". Dengan demikian realiti politik sangat paradoks dengan pengertian teori normatifnya.

Paradigma perilaku politik inilah menurut Proudhon, Marx, Gramsci dan jauh sebelum itu oleh Niccolai Macheavalli sebagai sebuah kepincangan sistem politik yang akhirnya melahirkan kritikan dan mungkin gerakan yang lebih radikal seperti rampasan kuasa.

Akhirnya, politik dan kritikan menjadi dua elemen yang sentiasa bertembung khususnya dalam amalan demokrasi tanpa mengira negara, termasuk Malaysia.

Individu-individu yang tidak berpuas hati dengan sistem birokrasi dan pelaksanaan pemerintahan demokrasi dalam negaranya akan melontarkan kritikan yang kadang-kadang sangat membina dan ada yang menghancurkan!

Mungkin cara terbaik untuk dalam mengatasi persoalan ini, pandangan pemikir Hasan Al-Banna seperti yang digariskan dalam bukunya Fiqh Al-Siyasi dapat direnungi - tidak ada kebaikan dalam agama jika meninggalkan politik, dan tidak ada kebaikan dalam politik jika meninggalkan agama.