Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Kepentingan hak cipta penulis



WAN Abu Bakar Wan Abas (dari kiri), Nisah Haron dan Anwar Ridhwan memperkatakan tentang hak cipta kreatif pada Forum Hak Cipta anjuran Persatuan Penulis Selangor (PPS) di Rumah Gapena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MANUSIA sebagai homo acadamicus (makhluk berpengetahuan) telah menghasilkan karya cipta yang bersumberkan daya kreativiti dan nilai budi.Hak cipta menjadi milik seseorang pencipta atau pemegang hak cipta, sehingga lahirlah hak cipta yang berkaitan dengan hak-hak ekonomi (economic rights) dan hak-hak moral (moral rights).

Hak ekonomi merupakan hak untuk mengeksploitasi atau memperbanyak suatu ciptaan, sedangkan hak moral merupakan hak larangan untuk melakukan perubahan terhadap ciptaan, tajuk, nama pencipta dan hasil ciptaan itu sendiri.

Sesungguhnya sejarah perkembangan hak cipta bermula Eropah pada abad pertengahan iaitu era Zaman Pencerahan (Renaissance) ketika semangat meneroka ilmu pengetahuan menjadi simbol dan pedoman masyarakat bertamadun (civilized society).

Pencipta pada era tersebut dianggap sebagai pahlawan kemanusiaan yang disanjung dan diabadikan namanya kerana berjaya menghapuskan sikap menyerah dan ketidakmampuan yang terjadi pada zaman sebelumnya yang disebut Zaman Kegelapan.

Melalui kemampuan akal dan pengetahuan, maka muncul penemuan-penemuan baru di bidang ilmu dan teknologi seperti alat pengairan, komunikasi, percetakan serta tenunan yang memberi manfaat besar kepada kehidupan manusia.

Penemuan-penemuan baru tersebut sebenarnya tidak berdiri sendiri, tetapi mempunyai kaitan dengan dengan teknologi sebelumnya. Denis Papin, misalnya menemukan injap dengan wap panas (1690) kerana kekaguman terhadap penemuan termometer dengan prinsip wap air oleh Galileo Galilei (1620).

Galilei sendiri mengembangkan penemuannya tersebut daripada hasil kajian yang dibuat sebelum itu oleh Leonardo da Vinci, Copernicus dan Johannes Kepler.

Begitu juga para pencipta Islam di zaman prapencerahan Eropah, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusydi dan al-Kawarizmi yang menjadi asas kepada Zaman Pencerahan di Eropah.

Perkembangan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada kesedaran untuk melindungi kepentingan-kepentingan moral dan ekonomi terhadap hasil ciptaan masing-masing di bidang teknologi, ilmu pengetahuan, sastera dan seni.

Hal ini menunjukkan antara lain bahawa hak cipta merupakan hak eksklusif pencipta, penulis atau penemunya yang tidak boleh ditiru atau diambil sewenang-wenangnya oleh orang lain.

Hak cipta merupakan hak-hak dasar yang diberikan kepada pencipta dengan tujuan penghargaan dalam bentuk moral dan material tersebut.

Dalam konteks sastera Malaysia, penulis, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, setiap karya sastera dalam apa juga genre merupakan hal mutlak penulis yang perlu dihargai.

Katanya, karya sastera merupakan sebuah kombinasi bakat, kredibiliti, keupayaan dan kebolehan seseorang yang wajar dihargai oleh penerbit dalam bentuk moral dan ekonomi tersebut.

"Persoalannya sejauh kesedaran tentang hak cipta tersebut dan adakah karya-karya mereka mendapat bayaran atau penghargaan yang sewajarnya dari penerbit, editor dan pihak yang berkaitan.

"Karya yang diterbitkan dan tidak dibayar oleh sesebuah institusi media adalah sesuatu yang tidak baik dan sebagai penulis kita berhak untuk menuntutnya kerana ia adalah kreativiti dan keupayaan intelek kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memperkatakan kepentingan hak cipta karya sastera dan penerbitan di Forum Hak Cipta yang berlangsung di Rumah Gapena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum yang turut menampilkan penaung e-sastera, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas dan dipengerusikan oleh penulis, Nisah Haron.

Mengulas lanjut, Anwar Ridhwan berkata, sesebuah karya seni tanpa mengira genre adalah sebuah hasil kreativiti dan intelektual yang perlu dinilai dalam bentuk ekonomi dan moral secara jujur.

Katanya, di negara-negara maju, karya-karya seni termasuk perfileman, animasi dan seni digital telah menjadi produk industri kreatif yang menyumbang pendapatan yang sangat besar kepada negara.

"Zaman berlebih kurang dalam berkarya (di Malaysia) dan penulis berhak memperoleh apa juga hasil daripada kreativiti dan bakat mereka dalam bentuk ekonomi.

"Kalau penulis berpuas hati dengan sekadar penerbitan karya mereka, mungkin ia sudah tidak sesuai kerana hari ini sebuah puisi mampu diubah menjadi filem atau drama," tambahnya.

Oleh itu, beliau berkata, bidang penulisan di negara ini perlu mengambil inisiatif mewujudkan badan hak cipta yang menggabungkan persatuan-persatuan penulis sebagaimana kewujudan Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) yang bertanggungjawab melindungi bidang muzik.

Sementara itu, Wan Abu Bakar pula berkata, perlindungan hak cipta tidak hanya melibatkan karya-karya bercetak sahaja tetapi juga karya yang disiarkan secara dalam talian.

Ini kerana karya dalam apa juga bentuk penerbitannya menjadi milik mutlak seseorang penulis dan tidak boleh diterbit, diperbanyakkan dan diperluaskan tanpa izin.

Sama seperti Anwar, beliau berkata, sesebuah karya adalah hak harta intelektual (intellectual property right), yang terdiri daripada hak cipta dan hak harta industri (industrial property right).

"Banyak aspek yang perlu dilihat misalnya jika karya sastera yang diterbitkan di blog, adakah ia wajar disiarkan kembali di media-media konvensional.

"Ini boleh dikaitkan dengan perkembangan situasi semasa. Namun, apa yang perlu dilihat ialah kedudukan serta hak penulis dalam keadaan ini," katanya.

Menurut Wan Abu Bakar dan Anwar, hak cipta dewasa ini (termasuk dalam bidang kreatif) telah menjadi isu global yang boleh menentukan hala tuju politik hubungan antarabangsa, ekonomi, pertahanan dan budaya.

Ini kerana hak cipta mampu menyumbangkan sesuatu yang bernilai budaya, ekonomi, estetika, kreativiti dan nilai sejarah.

Oleh itu, hak cipta adalah hak khusus daripada pencipta. Ini bererti tidak ada orang lain yang boleh mengambilnya kecuali dengan izin pencipta. Hak khusus ini mengandungi erti monopoli terhad terhadap bentuk kewujudan daripada idea penciptaannya.

Kesedaran tentang perundangan hak cipta di peringkat antarabangsa telah bermula dengan Konvensyen Berne 1886 tentang Perlindungan Karya Sastera dan Karya Seni (The Berne Convention for Artistic Works).

Pada 1952 diadakan Konvensyen Hak Cipta Sejagat (The Universal Copyright Convention 1992) dan Konvensyen Rome tentang Perlindungan Pelaksana Produser Rekaman dan Lembaga Penyiaran pada 1961.

Kemuncak daripada perjanjian di peringkat antarabangsa tentang hak cipta ialah Perjanjian Tentang Perdagangan Harta Intelektual 1994 (Agreement on Trade Related Aspect of Intellectual Property Rights).

Sehubungan dengan kepentingan hak cipta dalam pelbagai bidang tersebut, Anwar dan Wan Abu Bakar berkata, setiap penulis di negara ini perlu membuat anjakan untuk memahami kedudukan karya mereka.

Ia tidak wajar dengan hanya berpuas hati terhadap penerbitan karya-karya mereka sahaja tetapi juga perlu mempertahankan hak-hak material dan moral hasil intelektual masing-masing.

Kekayaan intelektual sudah saatnya menjadi perhatian, kepentingan, dan keprihatinan semua pihak termasuk para penulis supaya ia terus menjamin kelangsungan suasana kepengarangan yang kondusif.