Oleh Amin Ridzuan Ishak
Markiman anggap diri 'anak kerajaan' kerana dibantu sejak kecil
HANYA kerana berpakaian selekeh dan kelihatan tidak terurus, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran, pernah tidak dipedulikan setiap kali hendak mendapatkan tandatangan wakil rakyat sebagai sokongan terhadap permohonan biasiswa pelajarannya.
Kehidupan yang sukar selepas bapanya, Kobiran Kastawi meninggal dunia ketika usianya 11 tahun memaksa anak kedua daripada lima bersaudara itu mencari jalan lain untuk menampung perbelanjaan persekolahan dan biasiswa adalah pilihan terakhirnya.
Namun, usaha memohon biasiswa cukup ‘menyeksakan’ terutama tatkala hendak mendapatkan tandatangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan ketika itu kerana ramai penduduk mahu berjumpanya, malah Markiman sendiri terpaksa beberapa kali gagal berjumpanya.
“Biasanya wakil rakyat kawasan kami (namanya tidak diingati Markiman) akan berkunjung ke kampung saya, Kampung Parit Tujuh pada setiap Rabu untuk mendengar masalah rakyat dan itulah saja peluang saya untuk mendapatkan tandatangannya.
“Bagaimanapun, setiap kali ke pusat itu saya tidak dilayan kerana berpakaian selekeh, maklumlah saya ini anak petani dan mungkin mereka anggap saya ke sana hanya untuk suka-suka selain tidak mempunyai keputusan peperiksaan yang bagus.
“Keadaan dewan pula biasanya dipenuhi warga tua yang akan didahulukan dalam segala hal menyebabkan harapan saya semakin tipis. Pada masa sama, guru besar (Sekolah Rendah Sungai Leman) pula asyik mengingatkan mengakibatkan saya tertekan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Hulu Langat di Kajang, baru-baru ini.
Markiman mengakui kesukaran untuk mendapatkan sokongan Yang Berhormat (YB) itu menyebabkannya menangis dan mengadu kepada ibunya, Seliha Mufrat. Namun, dorongan ibu menguatkan semula semangat beliau dan berjaya selepas cubaan kali keempat.
“Mungkin kerana bosan melihat kedatangan saya setiap kali beliau ada di pusat berkenaan ‘menggerakkan’ hatinya menegur dan ketika itulah saya menyampaikan hasrat memintanya menandatangani borang permohonan biasiswa.
“Beliau tergelak dan terus menandatangani borang itu. Boleh dikatakan, saya ini sebagai ‘anak kerajaan’ kerana sejak kecil lagi saya sudah dibantu kerajaan terutama dari segi bantuan kewangan bagi tujuan pelajaran,” katanya.
Markiman yang menyambung pelajaran di tiga sekolah berbeza di peringkat menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mustapha, Pasir Panjang, SMK Datuk Harun dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Kuantan, turut mempunyai sindrom malas belajar sama seperti kanak-kanak lain.
Tetapi ibunya, Seliha, tahu bagaimana untuk memotivasikannya dengan mengarahkannya membantu di sawah padi, salah satu perkara tidak digemari Markiman yang sebelum itu menganggap kerja sawah kotor.
“Ibu sering ‘mengugut’ saya dengan kata-kata ‘baguslah kamu tidak suka ke sekolah, nanti boleh tolong emak ke bendang’. Setiap kali mendengar kata-kata itu, saya terus bergegas ke sekolah.
“Kata-kata itu jugalah yang sering digunakan ibu kalau saya malas belajar atau gagal dalam pelajaran. ‘Ugutan’ itu berakhir sebaik saja saya melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, dengan mengambil Diploma Pentadbiran Awam pada 1976,” katanya.
Bagi menambahkan wang saku, beliau bersama rakannya menjual kacang dan mi segera secara bersembunyi di asrama di SMT Kuantan. Walaupun pernah ditangkap warden asrama, alasan diberikan cukup kuat hingga membolehkannya meneruskan perniagaan ‘gelapnya’ itu.
Tambahan pula, keputusan pelajarannya tidak pernah tergugat biarpun sibuk berniaga. Salah satu alasan menyebabkan warden asramanya memberi kebenaran.
Dulu lemah bahasa Inggeris
MUNGKIN ramai tidak tahu termasuk teman sekuliah dulu bahawa Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim pernah menjadi ibu angkat Markiman ketika beliau melanjutkan pengajian undang-undang di universiti itu pada 1980 hingga 1984.
Segala-galanya seakan sudah ditakdirkan buat Markiman kerana menerusi bantuan Rafiah yang pada masa itu menjadi pensyarah di fakulti sama, prestasi pelajaran terutama kelemahan menguasai bahasa Inggeris dapat ditingkatkan.
“Jurusan undang-undang memerlukan kita menguasai bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar tetapi saya seorang lagi rakan, Bahador Omar amat lemah hingga menyebabkan rakan sekelas turut menerima bahana.
“Saya masih ingat pensyarah kami, Visu Sinathurai pernah menghalau semua pelajar hanya semata-mata kerana saya dan Bahador tidak mampu berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
“Kecewa dengan keadaan itu, kami berjumpa Rafiah untuk menyatakan hasrat menukar program ke jurusan sastera tetapi kami dimarahi disebabkan mengambil jalan singkat tanpa memikirkan kepentingan jurusan yang ketika itu kekurangan pelajar Melayu,” katanya.
Berikutan itu, Rafiah menjadikan Markiman dan Bahador sebagai anak angkat dengan menetapkan beberapa peraturan harus diikuti antaranya belajar di perpustakaan hingga ia ditutup pada jam 11 malam.
“Walaupun kami takut dengan sikapnya yang garang, tetapi kami gembira terutama saya, sebab ada sifat keibuan dalam hatinya. Sudah lama saya tidak merasai sifat seumpama itu kerana berjauhan dengan ibu di kampung.
“Beliau juga melontarkan cabaran kepada kami dengan mengelakkan daripada menduduki 10 tempat terbawah daripada 100 pelajar. Kami menerimanya dan hasilnya kami memperoleh keputusan baik dengan menduduki 30 tempat teratas selepas berusaha keras,” katanya.
Walaupun hubungan sebagai anak angkat kepada Rafiah terputus selepas Markiman tamat pengajian pada 1984, perhubungan mereka diteruskan sehingga kini dengan status baru sebagai kawan baik.
Bukti hubungan sebagai kawan baik adalah apabila Rafiah menghadiri majlis perkahwinannya dengan isterinya, Datin Noraini Abdullah pada 29 Disember 1984, gadis yang dikenali ketika belajar di fakulti sama.
Menceritakan pengalaman awalnya memasuki dunia pekerjaan, ditakdirkan Markiman akan bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengangkutan awam yang dilakukan kini seperti sudah tersurat sebaik saja beliau menamatkan pengajian di ITM pada 1979.
Ini kerana jawatan pertama disandangnya adalah sebagai pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ketika itu sibuk memerangi bas mini yang dikenali ‘Raja Jalanan’.
“Sebab itu saya berani mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi LPKP (jawatan dipegang sekarang) kerana ia sudah sebati dengan saya walaupun sejak 1985 menjadi peguam,” katanya.
Profil
Nama : Markiman Kobiran
Umur : 50 tahun
Lahir : Kampung Parit Tujuh, Sekinchan, Selangor
Kerjaya: Pernah menjadi guru sementara di SMK Sungai Besar, Sekinchan dan Pegawai Penguatkuasa JPJ selama setahun sebelum membuka syarikat guaman sendiri di Kajang selepas menamatkan pengajian di Fakulti undang-undang UM. Menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat pada pilihan raya ke 11 pada 2004. Pada 2006 dilantik menjadi Pengerusi LPKP.