Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

'Spiderman Malaysia' terus warnai pentas stunt


Oleh Fairuz Zaidan


SHAHARUDDIN ketika memanjat bangunan KLCC.

ISTILAH gayat, takut mahupun gementar dibuangnya jauh daripada kotak fikiran. Malah, jika boleh tiada satu pun khabar kurang baik harus sampai ke pengetahuannya selagi adegan lagak ngeri belum dilaksanakan.

Nyata, sampai begitu sekali pegangan dan tahap disiplin yang menjadi resipi kepada kejayaan Sharuddin Yusof selama hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang yang penuh mencabar dan merbahaya itu.

Walaupun mendapat bayaran agak lumayan bagi setiap aksi lagak ngeri, namun bukan itu yang menjadi keutamaan dan agendanya. Baginya, wang perkara kedua kerana faktor keselamatan diri dan perjanjian hitam putih adalah yang harus diutamakan.


“Tipulah kalau saya katakan tidak takut bila berada di tempat tinggi umpamanya. Tetapi jika sudah biasa dan sentiasa berfikiran positif, unsur-unsur negatif itu berjaya ditolak ketepi.

“Jika tidak, masakan saya sendiri berjaya melakukan abseiling dari Menara KL pada 9 Disember 1998, sekali gus ia berjaya dicatatkan ke dalam The Malaysia Book of Records,” kata Sharuddin yang mementingkan hitam putih perjanjian sebelum bersetuju melakukan aksi lagak ngeri.

Bukan rekod itu saja yang membanggakannya kerana pada 1997 dia pernah berganding dengan seorang warga Perancis, Alain Robert yang diizinkan memanjat bangunan Yayasan Sabah setinggi 28 tingkat dalam satu pertunjukan.



Untuk rekod, Robert yang juga digelar Spiderman sering mencipta kontroversi ekoran kegemarannya memanjat bangunan tinggi seluruh dunia dan pernah menggemparkan pengunjung Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana cubaannya memanjat bangunan pencakar langit itu. Bukan sekali, kerana tahun lalu juga dia pernah mencubanya sekali lagi!

“Selepas peristiwa saya dan Robert memanjat bangunan Yayasan Sabah, saya pula dipanggil dengan nama Spiderman Malaysia. Ada juga yang memanggil saya Deens Stunt dan Deens Spider gara-gara aksi ekstrim di khalayak ramai pada ketika itu,” kata Sharuddin.

Di awal pembabitan Sharuddin, dia hanya melakukan aksi-aksi lagak ngeri biasa yang memerlukan keberanian dan semangat juang yang tinggi. Bagi beliau, aksi lasak bukanlah suatu masalah besar memandangkan latar belakang kerjayanya sebelum ini sebagai anggota tentera.

Antara filem terawal dijayakan Shaharuddin ialah filem Lenjan lakonan Rosyam Nor yang memerlukan aksi beliau untuk terjun hinggalah watak-watak tambahan termasuk melakonkan babak Nina Jurin dan Eman Manan.

Sejak itu, lebih banyak tawaran diterima bagi melakonkan aksi lagak ngeri seperti terjun daripada bangunan setinggi empat tingkat, terjun ke laut dalam dan terbabit dalam babak kemalangan.

Sumbangan Shaharuddin dalam lakonan aksi lagak ngeri bukan kecil kerana dia sudah banyak menggantikan watak sebenar pelakon untuk sesuatu babak merbahaya. Selain Rosyam Nor sendiri, Sharuddin dipertanggungjawabkan melakonkan watak Awie, Hans Isaac dan Vanidah Imran.

“Memang bukan mudah untuk melakonkan sesuatu lagak ngeri kerana jika tidak mementingkan aspek keselamatan ia boleh mengundang bahaya kepada stuntman itu sendiri.

“Sebab itu, saya sendiri begitu menitikberatkan soal keselamatan dan pastikan perbincangan hitam putih dilakukan,” katanya yang juga tenaga pengajar untuk prosedur keselamatan di bangunan tinggi.

Bukan saja produksi tempatan yang mengagumi kredibiliti anak kelahiran Kampung Baru Kuala Lumpur itu, beliau juga pernah menjayakan produksi antarabangsa dari Hong Kong menerusi filem Power Office dan filem berbajet besar dari Hollywood, Anna and The King.

Jangan tidak tahu, potensi selaku pelakon lagak ngeri tidak terhad untuk produksi filem dan drama semata-mata kerana Shaharuddin sendiri menjayakan aksi ekstrim untuk iklan komersial.

“Iklan pertama yang saya jayakan ialah Benson & Hedges yang ketika itu dirakamkan di Wisma Goldhill di Kuala Lumpur.

“Ketika itu, bayaran yang diterima lebih lumayan kerana aksinya lebih ekstrim dan tidak menggunakan teknik komputer sebagaimana kecanggihan teknik CGI hari ini,” katanya yang turut terbabit melakukan aksi awal episod Fear Factor Malaysia sebelum boleh dilakukan peserta pertandingan itu.

Ditanya mengenai perkembangan industri lakon lagak ngeri di negara ini, Shaharuddin berkata kemeriahannya masih terasa dan terus mendapat sambutan ekoran kerancakan produksi filem dan drama temapatan dalam mengetengahkan babak sebegitu ke layar perak.

Katanya, dia sendiri sentiasa bekerjasama dengan penggiat stuntman tempatan dari segi menjayakan babak mendebarkan, selain berkongsi tawaran melakonkan aksi lagak ngeri sesama mereka.

“Saya saling berhubung dengan pelakon lagak ngeri seperti William dan Razif untuk bertukar idea dan cerita berhubung projek yang memerlukan aksi lagak ngeri,” katanya yang banyak berpandukan cuaca dan mengikut kalendar Melayu sebelum melakukan sesuatu aksi lagak ngeri.

Pernah terbabit dalam kemalangan?

“Sebenarnya kejadian pada 1996 ini bukanlah disengajakan walaupun ketika itu saya ingin melakukan aksi lagak ngeri di Leisure Mall Cheras. Bayangkan saya terjatuh dari tingkat lima bangunan tanpa sebarang alat keselamatan menyebabkan saya retak buku lali dan sakit tulang belakang.

“Penonton yang tidak tahu tentu berasa ajaib kerana aksi saya itu walaupun tidak tahu perkara sebenar,” katanya yang terlantar enam hari di Hospital Tawakal Kuala Lumpur ekoran kemalangan itu.

Nasihat Shaharuddin kepada mereka yang berhasrat untuk menceburi dalam bidang itu adalah tidak ego dan merendah diri dalam melakukan sebarang bentuk tugasan. Paling penting pesannya, pastikan memiliki perlindungan insurans dan memastikan perjanjian hitam putih berpihak kepada pelakon lagak ngeri