Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Menjejaki sejarah Ngah Ibrahim di Seychelles


HARI ini, perjalanan menjejaki sejarah perjuangan pahlawan- pahlawan Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi bagi Projek Merungkai Sejarah Tengku Menteri Ngah Ibrahim telah bermula.

Perjalanan tersebut diketuai piut Tengku Menteri Ngah Ibrahim iaitu Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Datuk Seri Wan Ahmad, Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama Taiping dan juga pemegang gelaran Tengku Menteri yang kelapan.

Ia turut disertai oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Dr. Talib Samat dan setiausaha projek tersebut, Hariffudin Kamarudin.

Penerbangan menggunakan pesawat Emirates Airline tersebut akan singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke lapangan terbang Victoria di Pulau Mahe, ibu negeri Republik Seychelles. Rombongan dijangka tiba sekitar jam 1.15 tengah hari, 28 Mac waktu tempatan.

Bagaimanapun, ‘penjelajahan’ mencari akar sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu Perak terutama Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim di Pulau Seychelles tersebut bukanlah kali pertama dilakukan.

Ini kerana pada 16 hingga 22 Disember 1992 sekumpulan pegawai kerajaan Perak iaitu Abdul Jamil Mat Kasa, Datuk Seri Harussani Zakaria, Datuk Mohamed Tarmizi Tahir, Datuk Wan Mohd. Mokhtar Mohd.Noor, Mohd.Taib Mohamed dan Mustafa Kamal Tajuddin pernah sampai ke pulau ini.

Seperti dijelaskan oleh Talib Samat, kumpulannya merupakan kelompok kedua menyelidik sesudah 131 tahun Ngah Ibrahim, Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin dan 44 orang warga Perak dibuang dan diasingkan di pulau berkenaan.

Pengasingan dan pembuangan pahlawan-pahlawan Perak tersebut menjadikan Pulau Seychelles mempunyai erti yang sangat besar kepada sejarah kebangkitan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan Inggeris.

“Pulau Seychelles cukup sinonim dengan sejarah negara khususnya negeri Perak kerana pada tahun 1877 pulau itu menjadi tempat pembuangan 47 orang pembesar dan rakyat Perak iaitu 24 lelaki dan 23 orang perempuan.

“Mereka dihukum buang daerah oleh penjajah Inggeris kerana dituduh terlibat dalam pakatan membunuh J.W.W Birch, Residen Inggeris yang pertama di Perak pada 2 November 1875,” katanya.

Kumpulan yang dibuang negeri ke pulau tersebut ialah Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan pejuang-pejuang Perak yang lain, selama lebih 17 tahun.

Menurut Talib, berdasarkan catatan sejarah, pulau bekas jajahan Inggeris itu juga menjadi tempat pembuangan negeri pemimpin yang menentang mereka termasuk raja Burma, Sri Lanka dan sebagainya sejak akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Tindakan pembuangan negeri ke pulau tersebut bertujuan melemahkan dan melumpuhkan semangat perjuangan serta mengasingkan mereka daripada para penyokong dan rakan-rakan seperjuangan mereka.

Dalam konteks Ngah Ibrahim dan para pembesar Perak, ia merupa salah satu tindakan Inggeris untuk melenyapkan suara mereka selama ini yang lantang dan tegas mengkritik penjajah Inggeris yang gilakan bijih timah dan peluasan tanah jajahan di negeri itu.

Berdasarkan catatan, pelayaran untuk membuang para pejuang Perak ke Pulau Seychelles itu bermula pada 20 Julai 1877 menggunakan kapal Carherstone dan tiba di pulau tersebut pada Khamis, 30 Ogos tahun yang sama.

Ia bermakna pelayaran tersebut mengambil masa sekitar sebulan menempuh ombak sebelum tiba di Pulau Seychelles yang terletak di barat Lautan Hindi tersebut.

Dari segi geografi, Pulau Seychelles merupakan gugusan beberapa buah pulau seperti Pulau Mahe, Pulau Praslin, La Deque dan beratus-ratus pulau kecil.

Ia terletak berhampiran dengan negara-negara seperti Mauritius, Maldives, Madagaskar, Selatan Benua Afrika seperti Somalia, Tanzania, Kenya dan sebagainya.

Menurut catatan sejarah, Pulau Praslin adalah tempat pembuangan yang dikhaskan untuk Sultan Abdullah dan para pengikutnya sehingga membentuk komuniti Perak di sana selama tujuh tahun sebelum baginda dibenarkan pulang ke Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1884.

Sementara itu pada tahun 1916 baginda dibenarkan pulang ke Kuala Kangsar, Perak hingga mangkat dan dimakamkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

“Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan para pengikutnya ditempatkan di Felicite, kira-kira 48 kilometer dari bandar Port Victoria, Pulau Mahe, salah sebuah daratan di gugusan Pulau Seychelles.

“Mereka ditempatkan di sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik berasingan dan menjadi orang buangan di pulau itu sehingga 3 Januari 1889,” tambah beliau.

Rayuan

Dalam pada itu, Talib berkata, kumpulan pejuang Melayu tersebut setiap tahun mengemukakan rayuan kepada Ratu Inggeris supaya dibenarkan pulang ke Perak tetapi tidak dipedulikan.

Hanya selepas 12 tahun dibuang, barulah Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad Amin (bapa mentua Ngah Ibrahim) dan Syahbandar Uda Mahamor dibenarkan kembali. Bagaimanapun mereka cuma diperbolehkan menetap di Sarawak dan akhirnya di Singapura.

Ngah Ibrahim meninggal dunia di pulau itu pada 4 Februari 1895 manakala bapa mentuanya, meninggal dunia pada tahun 1908. Begitu juga Syahbandar Uda Mahamor yang turut meninggal dunia di Singapura.

Operasi membawa pulang pusara dan jenazah Allahyarham Ngah Ibrahim yang bersemadi di Tanah Perkuburan Al-Juned, Singapura serta pusara dan jenazah Laksamana Wan Muhammad Amin di Tanah Perkuburan Chua Chu Kang, diusahakan oleh pelbagai pihak pada 8 dan 9 September 2006, menggunakan kapal TLDM KD Laksamana Wan Muhammad Amin.

Jenazah dan pusara Ngah Ibrahim disemadikan di Kompleks Sejarah Matang, Taiping yang merupakan rumah asal tokoh tersebut, manakala Allahyarham Laksamana Wan Muhammad Amin dipindahkan ke Perkuburan Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bersebelahan pusara Sultan Abdullah.

Bagaimanapun makam Syahbandar Uda Mahamor yang juga meninggal dunia di Singapura tidak ditemui pusaranya sehingga sekarang.

Talib berkata, Pulau Seychelles juga juga begitu akrab dengan asal-usul dan sejarah penciptaan lagu Terang Bulan yang dicipta oleh Sultan Abdullah sewaktu dibuang di pulau itu.

Baginda yang sering mendengar lagu rakyat pulau berkenaan La Rosses yang dinyanyikan dalam bahasa Perancis dan mencadangkannya menjadi lagu negeri Perak.

Al-Marhum Sultan Idris Shah telah menjadikan lagu tersebut sebagai lagu rasmi negeri Perak dengan bertemakan Allah Selamatkan Negeri yang telah diubahsuaikan.

Dalam pada itu, Talib berkata, pembuangan negeri 47 orang pembesar dan rakyat Perak pada tahun 1877 itu telah meninggalkan bukti yang cukup kukuh tentang kekejaman Inggeris terhadap kelompok tersebut di Pulau Seychelles yang kekal hingga ke hari ini.

Rombongan pertama yang menjejaki jalur sejarah tersebut pada 16 hingga 22 Disember 1992 berjaya menemukan dua kubur Islam. Kedua-duanya milik dayang Sultan Abdullah yang bernama Aliah dan Auliah yang meninggal dunia akibat demam malaria. Ia kini terletak di kawasan perkuburan antarabangsa Pulau Mahe.

Kini, biarpun Ngah Ibrahim telah meninggal lebih 100 tahun, kepentingan penyelidikan terhadap jasa dan kisah perjuangan Allahyarham sangat penting - aspek yang sedang diperjuangkan di bawah Projek Merungkai Sejarah Tengku Menteri Ngah Ibrahim.

Projek yang bermula sejak 2004 antara lain bertujuan memartabatkan Allahyarham di jiwa generasi muda rakyat Malaysia supaya mengenali tokoh dan pahlawan negara abad ke-19.

Kunjungan ke Pulau Seychelles adalah di antara usaha-usaha serius untuk melengkapkan penyelidikan yang berjudul Biografi Lapan Orang Pemegang Gelaran Tengku Menteri Daripada Keturunan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (1836-1895) Sehingga Tahun 2006 yang di ketuai oleh Talib sendiri. Ia dibiayai oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPSI.

Di samping itu juga, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI sedang berusaha untuk mewujudkan Kursi Warisan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Antara lain, kursi tersebut bertujuan memperbanyak dan mengaktifkan kerja-kerja penyelidikan tentang Ngah Ibrahim.

“Kini kami sedang menggerakkan pelbagai usaha untuk mencari dana daripada mana-mana korporat Melayu mahupun kerajaan tetapi masih belum berhasil dan perlu terus dipergiatkan sehingga kewujudan kursi ini menjadi kenyataan,” ujarnya.