Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Pakar hipnosis diiktiraf dunia


Oleh Ziauddin Sharuddin


DR Sazali ketika mengendalikan kursus teknik hipnosis di Simfoni Minda Academy.

Minat Dr Sazali Ahmad terhadap bidang psikologi membawa manfaat apabila masalah gagapnya berjaya diatasi

ZAMAN kanak-kanaknya tidak seindah kanak-kanak lain. Pada usia 10 tahun, Dr Sazali Ahmad, mengalami masalah gagap kronik.

“Gagap saya terlalu teruk. Saya tidak dapat menjawab kalau orang tanya. Saya hendak jawab, tetapi tidak boleh hingga menjadi seperti bisu,” kata ahli terapi hipnosis klinikal bertauliah ketika menceritakan asal-usul minatnya terhadap bidang hipnosis.


Pengasas Simfoni Minda Academy, sebuah syarikat yang pakar dalam bidang hipnosis, memberitahu walaupun ayahnya ketika itu adalah seorang pengamal perubatan tradisional, tetapi untuk merawat masalah itu, dia tidak boleh berubat dengan anggota keluarga sendiri.

Dr Sazali kemudian berubat dengan pengamal perubatan tradisional lain untuk merawat masalah gagapnya.

Bagaimanapun, katanya minat terhadap bidang psikologi membawa manfaat apabila masalah gagap itu berjaya diatasi sedikit demi sedikit dengan sendiri apabila sering membaca buku psikologi dan mengamalkannya.

DR Sazali melakukan demonstrasi cara rawatan yang beliau gunakan.

Pada masa sama, dunia perubatan tradisional menarik minatnya hingga dia membaca buku `The Malay Magic’ tulisan William Skeat untuk mengetahui pelbagai perkara mistik, termasuk kewujudan hantu dan pelesit.

Katanya, dia terus mempelajari, berguru dan bereksperimen hingga kemuncaknya, hasil kajiannya, `Mystic Craft & Mind Craft’ diterima oleh Universiti British Columbia sebagai hasil tesis untuk anugerah ijazah doktor falsafah.

Beliau juga menerima pengiktirafan Lembaga Terapi Hipnosis Profesional Kanada selepas berjaya merawat kes pesakit koma.

Di negara ini, Dr Sazali adalah antara ahli terapi hipnosis, suatu bidang yang walaupun asal usulnya seawal Zaman Pertengahan, masih dianggap baru di negara ini kerana pendedahan yang tidak begitu meluas.

Di dunia Barat, hipnosis adalah sebahagian cabang ilmu psikologi dan digunakan untuk pelbagai tujuan.

Berbeza dengan pengamal hipnosis lain di negara ini yang menerapkan ilmu yang dipelajari di Barat, Dr Sazali berkata, terapi hipnosis yang diamalkannya menggabungkan kaedah terapi hipnosis, psikolinguistik dan psikologi tenaga.

Katanya, teknik itu adalah berdasarkan pengalaman dan kajiannya sendiri yang mengambil masa lebih 20 tahun.

Mengulas hipnosis, katanya bidang ini memberi banyak kebaikan dalam pelbagai bidang seperti lakonan, pelakon melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan penghayatan hingga ada yang terpaksa menyendiri dan tidak boleh diganggu.

“Teknik hipnosis membolehkan pelakon mudah menghayati lakonannya. Sebenarnya, teknik ini digunakan pelakon terkenal di Hollywood untuk menghasilkan lakonan cemerlang,” katanya.

Dalam bidang pelajaran, katanya sesetengah pelajar mengalami fobia kronik untuk menghadapi peperiksaan.

Walaupun melakukan persediaan rapi, katanya pesakit lupa segala-galanya atau mengalami migrain apabila berada dalam dewan peperiksaan.

Katanya, teknik hipnosis boleh merawat masalah itu supaya dapat menumpukan fikiran dan berkeadaan tenang.

Katanya, organisasi seperti syarikat insurans dan perbankan sanggup menghantar kakitangan atau wakil jualan mengikuti kursus teknik hipnosis untuk meningkatkan jualan.

“Ini bukan untuk memukau pelanggan kerana sebenarnya banyak teknik jualan menerapkan unsur hipnosis, tetapi melalui teknik hipnosis, mereka dilatih mempengaruhi manusia supaya jualan lebih hebat,” katanya.

Di Malaysia, sudah ada syarikat memperkenalkan kursus teknik hipnosis untuk orang ramai dan korporat, tetapi kebanyakan dimiliki bukan Melayu.

Dr Sazali kini merintis jalan mempopularkan hipnosis kepada pelbagai pihak dan antara kejayaannya setakat ini, sebuah universiti terkemuka tempatan bekerjasama dengan beliau mengendalikan kuliah dan diploma dikeluarkan atas nama universiti itu.

Melalui syarikatnya, beliau menawarkan program hipnoterapi untuk merawat masalah tertentu seperti trauma, fobia, sakit mental dan fizikal.

Di kalangan sektor korporat, Sazali yang pernah bekerja dalam bidang pengiklanan serta mengalahkan wakil jualan bukan Melayu untuk mencatat jualan tertinggi, berkata program Sales Magic diadakan untuk golongan yang terbabit secara langsung dalam jualan.

Satu lagi program, katanya ialah Corporate Mystique yang antara kandungan program ialah teknik yang digunakan syarikat terkemuka dunia untuk menguasai minda bawah sedar pelanggan.

PROFIL: Dr Sazali Ahmad

Usia: 49 tahun

Status: Berkahwin, enam anak

Asal: Georgetown, Pulau Pinang

Menetap: Kuala Lumpur

Kelayakan dan Latihan: Terapi hipnosis di Kanada, Ijazah Doktor Falsafah Universiti British Columbia, ahli Lembaga Terapi Hipnosis Profesional Kanada.