Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Kekal identiti anak kampung

Oleh Adha Ghazali dan Rashidi Karim

MENTERI Besar Perlis, Datuk Md Isa Sabu melambai kepada hadirin yang hadir menyambut kepulangannya di perkarangan Stadium Utama Kangar.

Ikan temenung resipi wajib MB baru Perlis, Dr Md Isa Sabu

IMEJ pemimpin tertinggi biasanya dikaitkan dengan kehidupan mewah ala VIP. Bagaimanapun, siapa sangka Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu masih kekal dengan identitinya sebagai anak kampung.

Malah, bagi Md Isa, 61, status sebagai Menteri Besar Perlis langsung tidak akan mengubah identitinya sebagai anak kelahiran Kampung Kechor, Bintong.

“Md Isa dulu tetap sama dengan Md Isa sekarang walaupun sudah memegang jawatan Menteri Besar. Dulu saya makan ikan temenung (kembung) dan kini ikan temenung jugalah hidangan kegemaran saya," katanya.

Beliau langsung tidak malu untuk mengakui ikan temenung adalah lauk wajib hidangannya setiap hari.

Malah, katanya tanpa ikan temenung selera makannya pasti hilang.
IBU dan isteri memberi ciuman restu kepada Md Isa yang baru dilantik sebagai Menteri besar Perlis di kediaman ibunya di Kampung Sungai Kechor besar dekat Kangar, baru-baru ini.

"Saya tidak kisah sama ada ikan temenung itu digoreng, gulai, atau masak sayur. Janji, ikan temenung mesti ada. Kalau tiada, rasa macam mahu demam sebab teringin," katanya sambil tersenyum.

Apa dinyatakan Md Isa terbukti kebenarannya apabila Menteri Besar itu dilihat menghabiskan dua ekor ikan temenung masak pedas bersaiz sederhana besar ketika menikmati makan tengah hari bersama wartawan di sebuah warung di Jalan Abi Tok Hashim, di sini.

"Saya ni pelik sikit. Kalau hidang makanan moden sekali pun, tak akan lengkap. Mesti ada ikan temenung baru selera makan tu ada," katanya.

Md Isa adalah anak kepada aktivis wanita Umno Perlis, Mahasa Jusoh, 81, hasil perkongsian hidup bersama Sabu Jusoh. Bagaimanapun, bapanya meninggal dunia ketika Md Isa berusia lima tahun.

Menceritakan perjalanan politiknya, Md Isa berkata, Umno bagi beliau bukan perkara baru, malah pendedahan awal sudah diterima sejak 1960-an lagi.

Ketika itu, beliau berkata, ibunya aktif sebagai aktivis wanita Umno Perlis dan dia sering kali mengikuti beliau ketika berkempen dan bertugas di bilik gerakan di Beseri.

"Paling menarik, ibu saya tidak tahu menulis atau membaca. Jadi saya dijadikan mangsa sebagai 'kerani tidak bertauliah' dan terpaksa menunggu di Bilik Gerakan Umno Beseri untuk membantu segala tugas membabitkan pembacaan dan penulisan.

"Dari situ minat untuk berjuang bersama Umno sedikit sebanyak terdetik selepas melihat hasil gigih aktivis Umno pada zaman itu memperjuangkan parti dan semangat itu terbawa-bawa sehingga saya menjejakkan kaki ke Maktab Perguruan Pulau Pinang," katanya.

Apa pun, bagi Md Isa, perjuangan Umno dulu dan sekarang banyak beza. Bagaimanapun, matlamat tetap sama iaitu untuk menjaga kepentingan rakyat, sekali gus membawa kemajuan kepada semua.

"Umno dulu lebih berteraskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan, tetapi kini ia lebih bersifat kepada membawa misi pembangunan dan pembaharuan.

"Dari segi pendidikan, susah sekali nak cari anak Melayu yang belajar sampai tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi Umno memperjuangkan hak itu termasuk menyediakan peluang kepada anak bangsa untuk belajar di sekolah.

"Sekarang ini pelajaran tetap diutamakan, tetapi pendekatannya berbeza dan lebih maju, begitu juga pembangunan.

"Malah, pendekatan kerajaan kini lebih bersifat serampang dua mata iaitu bukan saja untuk keperluan dalaman, tetapi menjamin kepentingan di luar negara," katanya.

Mengenai jawatan Menteri Besar yang baru disandang, Md Isa berkata, dia langsung tidak pernah terbayang atau bermimpi berada pada kedudukan sekarang.

Malah, beliau sendiri pernah menarik diri selepas hampir 20 tahun berkhidmat bersama kerajaan negeri dengan matlamat mahu menumpukan perhatian kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), selain untuk bersama keluarga.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk jadi Menteri Besar kerana saya hanya orang biasa dan berasal dari kampung. Saya cuma mahu berkhidmat serta berjuang untuk parti dan itu bagi saya sudah mencukupi," katanya.

Mengenai kemunculan semula beliau selepas empat tahun berehat, Md Isa berkata, beliau langsung tidak tahu sama ada wujud percaturan untuk melantik beliau sebagai Menteri Besar.

Apa pun, isu kemunculan semula bukan perkara baru dan di Perlis sendiri, beliau bukan yang pertama. Contohnya, bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh yang muncul semula selepas sepenggal berehat dan kini berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Selain itu, katanya Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kangar, pernah bersara selama 18 tahun daripada politik, sebelum muncul semula di Parlimen Kangar dan dilantik menteri.

Ditanya mengenai pendekatan yang akan digunakan untuk membangunkan Perlis, Md Isa berkata, beliau akan memberikan tumpuan lebih kepada aspek pertanian yang dianggap sebagai penyumbang serta sumber utama ekonomi rakyat serta negeri.

Malah, katanya beliau akan menggunakan segala sumber serta saluran yang ada untuk memajukan Perlis, termasuk kepakaran dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Sains Malaysia (USM)dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu, kerjasama beberapa badan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Jabatan Pertanian akan turut digunakan.

"Ini penting untuk memastikan daya saing bidang pertanian negeri dapat ditambah nilai, terutama dalam memastikan bukan saja kualiti produk, tetapi kuantiti yang dikeluarkan mencukupi dan sampai tepat kepada pengguna. Dengan kata lain aspek pemasaran dipertingkatkan," katanya.

Md Isa ketika ditanya mengenai Umno Perlis yang dikatakan tidak sehaluan, berkata pendekatannya mudah iaitu sebagai Menteri Besar kepada semua.

Dengan ini, katanya segala pembangunan dan perancangan akan dilakukan kepada semua, tanpa ada diskriminasi atau mengambil kira kepentingan individu.

"Malah, pendekatan sama juga akan turut diguna ketika menjalankan urusan pentadbiran. Saya tidak nafi dalam setiap institusi akan ada yang membangkang, tetapi sekali lagi saya ingatkan saya adalah Menteri Besar untuk semua.

"Sepanjang hidup, saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapa sebab dalam politik saya kawan semua. Cuma, kalau ada orang tak suka dengan saya, apa saya boleh buat.

"Apa pun, saya tak suka orang pukul curi. Kalau tak puas hati dan mahu pukul, cakap dulu. Bukan apa, senang saya nak mengelak," katanya..

Profil: Datuk Dr Md Isa Sabu

Umur: 61 tahun

Nama isteri: Datin Asiah Asmuni, 57 tahun

Anak: 6 orang (Mahathir, 35; Evawani Balkish, 32; Isliani Hafini, 29; Abdul Munif, 26; Abdul Muhainif, 24; Wahyuni Masyidah, 23; Abdul Muhariff, 6)

Pendidikan:

# Lepasan Kolej Perguruan Melayu, Pulau Pinang

# Diploma Total Quality Management

# Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Geografi, Universiti Sains Malaysia

# Ijazah Sarjana dalam Total Quality Management (New Port University, USA)

# Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Total Quality Management (New Port University, USA)

Kerjaya:

# Guru Sekolah Menengah Tengku Sulaiman, Tunjung, Perlis (1969-1984)

# Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Dalam Negeri (1984-1986)

# Adun Bintong (1986-1990)

# Adun Bintong dan Exco (Pertanian) Perlis (1990-1995)

# Ahli Parlimen Kangar (1995-1999)

# Adun Bintong dan Exco (Pelancongan dan Alam Sekitar) Perlis (1999-2004)

# Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kangar

# Adun Bintong (PRU ke-12, 2008)