Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 April 2008

Pakar kereta Mini


Oleh Ziauddin Sharuddin


MOHD ROSLI melayan pelanggan di bengkel miliknya di Subang Jaya.

Bengkel Mohd Rosli di Subang Jaya boleh dianggap paling lengkap di Asia

KECIL-KECIL cili padi, Mohd Rosli Jaafar Sidik, walaupun orangnya kecil, dia digelar Raja Mini kerana kepakaran membaik pulih dan membaiki kereta Mini.

Selepas 15 tahun bergelumang dengan kereta Mini, Mohd Rosli, 37, boleh diiktiraf sebagai antara pakar kereta Mini di negara ini kerana kemahiran mengubah suai dan membaiki kereta Mini dari A hingga Z.


Cakap apa saja yang hendak dilakukan terhadap kereta Mini? Membaiki enjin, mengimpal, mengecat dan mengubah suai bahagian dalaman kereta hingga kereta lama yang kelihatan buruk menjadi comel molek.

Lebih penting, Mohd Rosli sendiri mencintai kereta Mini hingga pernah memiliki 10 buah kereta ini pada suatu masa.

Bagaimanapun, untuk mencapai tahap pakar, bukan mudah atau dalam sekelip mata. Mohd Rosli bertuah kerana didedahkan dengan enjin Mini sejak tingkatan empat di Sekolah Menengah Vokasional Taiping pada 1987.

Mohd Rosli Jaafar Sidik

"Enjin yang digunakan untuk pelajaran kejuruteraan adalah kereta Mini. Bayangkan sejak berumur 16 tahun, saya mengenali kereta ini. Guru saya yang memiliki kereta Mini pula sering menyuruh membaiki keretanya.

"Dia juga mengajar pelbagai perkara mengenai kereta Mini hingga saya diberi kepercayaan untuk overhaul (membaik pulih secara menyeluruh) keretanya," katanya.

Selepas menamatkan persekolahan, Mohd Rosli menceburi kerjaya membaiki kereta dengan bekerja di beberapa bengkel di Perak dan Selangor.

"Ketika bekerja di Petaling Jaya, kakak rakan saya menjual kereta Mininya dengan harga RM2,000. Keadaan kereta itu boleh tahan, tetapi saya selalu baiki kereta itu depan rumah. Kerja saya diperhatikan orang yang lalu-lalang.

GAYA mewah Mini yang sudah diubah suai.

"Kemudian ada seorang lelaki meminta membaiki kereta Mininya. Selepas itu, seorang demi seorang datang hingga akhirnya ada lapan kereta Mini di situ. Melihatkan potensi yang ada, saya nekad membuka bengkel kereta Mini di Taman Industri Subang, Subang Jaya pada 1993," katanya.

Bengkel itu kini menjadi tumpuan pemilik kereta Mini untuk membaiki kereta masing-masing. Sebilangan pemilik yang suka mengumpul kereta Mini menghantar kereta lama untuk melakukan pengubahsuaian.

"Kadangkala saya sendiri pelik kerana kereta Mini tidak putus-putus masuk. Selepas satu atau dua buah kereta keluar, tiga atau empat kereta lain pula masuk hingga menyebabkan bengkel ini dikenali sebagai bengkel kereta Mini," katanya

Sebagai kereta yang paling awal dikeluarkan pada 1959 hingga pengeluaran dihentikan pada Oktober 2000 (digantikan kereta Mini baru keluaran BMW), Mohd Rosli mengakui kebanyakan mekanik tidak mahu menerima kereta ini kerana pelbagai kesukaran yang dihadapi.

"Kebanyakan mekanik tidak biasa dengan Mini. Sesetengah peralatan yang digunakan seperti spanar berbeza kerana mengikut ukuran British. Lebih rumit, ada yang tidak dapat mencari punca sesetengah masalah," katanya.

Selain minat, katanya kesabaran penting untuk menangani kerenah kereta Mini sebelum boleh dianggap pakar.

Mohd Rosli sendiri mempertingkatkan pengetahuan mengenai kereta Mini dengan membaca buku dan majalah serta bertanyakan 'orang lama' yang mahir dengan kereta ini. Apabila internet muncul, kemudahan ini turut dimanfaatkan.

Dari segi alat ganti, katanya tidak banyak masalah dihadapi kerana banyak alat ganti tulen dari Jepun ada di pasaran. Selain itu, alat ganti boleh dibeli melalui internet dan diperoleh dalam tempoh kira-kira tiga hari.

Kini Mohd Rosli boleh berbangga dengan kejayaannya. Bukan hanya penduduk tempatan, pegawai asing (expatriate) yang memiliki Mini turut menjadi pelanggannya. Malah, seorang lelaki Barat pernah memberitahunya bahawa bengkel ini adalah antara bengkel Mini paling lengkap di Asia.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kehebatan Mohd Rosli dalam hal ehwal kereta Mini membawa tuah apabila seorang pelanggan yang berpuas hati dengan mutu kerjanya menawarkan projek membaiki kenderaan sebuah agensi kerajaan.

"Saya membuka sebuah bengkel baru untuk tujuan itu di Nilai, Negeri Sembilan, yang juga dibuka kepada orang awam," katanya.

Fakta
Kereta Mini


  • Mini yang direka oleh Sir Alec Issigonis adalah ikon kereta pada 1960-an.

  • Sebanyak 5,387,862 Mini dijual di seluruh dunia hingga diambil alih oleh BMW yang mengeluarkan Mini versi baru

  • Kebanyakan Mini, terutama yang dikeluarkan sebelum 1980 masih berada di jalan raya sebagai kereta koleksi.

  • Ada kira-kira 5,000 pemilik kereta Mini di seluruh negara yang kebanyakan adalah kereta koleksi dan dipandu pada hujung minggu.

  • Mini Cooper S keluaran 1963 adalah antara model paling mahal di negara ini, iaitu kira-kira RM40,000. Model ini memiliki reputasi hebat sebagai kereta pecut dan lasak dengan menjuarai Rali Monte Carlo pada 1964, 1965 dan 1967.

    Profil
    Mohd Rosli Jaafar Sidik


  • Dilahirkan di Teluk Intan, Perak.

  • Anak sulung daripada tiga beradik.

  • Berkahwin, mempunyai seorang isteri dan tiga anak.

  • Tamat tingkatan lima Sekolah Menengah Vokasional Taiping (1987).

  • Bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Ipoh (1989), pelatih mekanik BMW (1990) dan bekerja di sebuah bengkel terkenal di Petaling Jaya (1991).

  • Pemilik bengkel kereta Mini di Subang Jaya, Selangor (sejak 1993) dan sebuah bengkel lagi di Nilai, Negeri Sembilan (2008).
  •