Oleh Fairuz Zaidan
Harus ada garis sempadan mengenal erti kasih sayang
ENTAHKAN mereka tahu atau tidak pengertian dan sejarah Hari Kekasih, senarionya kebanyakan mereka yang berpacaran menanti tanggal 14 Februari sebagai detik penting untuk membuktikan ikatan kasih sayang bersama. Tarikh itu bagi mereka adalah waktu paling istimewa berbanding hari-hari lain untuk dikongsi bersama.
Selain bertukar hadiah, kad ucapan, memakai baju warna sedondon, keluar makan bersama mahupun menonton wayang, detik 14 Februari pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tidak menghairankan menjelang detik itu, jualan bunga khususnya bunga mawar meningkat dan di jual pada harga tertinggi.
Sambutan itu juga nampaknya tidak lagi terhad diraikan penganut Kristian khususnya di Barat kerana di negara Asia termasuklah Malaysia mengadakan pelbagai promosi dan tarikan tersendiri sempena menunggu detik istimewa yang diraikan pasangan kekasih, suami isteri mahupun seseorang yang disayangi.
Walaupun dalam Islam sendiri menegah umatnya mengikuti sesuatu upacara mahupun sambutan tanpa mengetahui mengenainya, nyata perkara itu bukan halangan untuk pasangan sedang bercinta menzahirkan rasa cinta dengan meraikan hari itu penuh bermakna.
Malah, kalau diperhatikan pasangan sedang bercinta begitu ghairah merancang aktiviti menjelang hari berkenaan, walhal mereka sendiri tidak mengetahui apa yang sebenarnya dilakukan. Jawapan mudah, sekadar mengikut trend!
“Kalau tidak menyambut Valentines Day, takut nanti boyfriend kata tidak romantik pula dan rasa tidak dihargai. Sebab itu, setiap tahun pasti akan ada acara istimewa yang saya raikan bersama teman lelaki. Paling tidak pun bertukar hadiah atau makan malam istimewa.
“Sekadar memeriahkan suasana di sebalik kehangatan sambutan Hari Kekasih apa salahnya. Malah, kalau nak tahu, pada detik itulah lebih banyak promosi dijalankan baik di restoran atau barangan cenderahati,” kata seorang wanita muda yang hanya mahu dikenali sebagai Suzan.
Suzan yang kini berusia 24 tahun seperti juga remaja Islam lain tidak merasakan sambutan Hari Kekasih merosakkan akidah kerana baginya hari itu diraikan dengan sambutan makan malam, menonton wayang mahupun bertukar hadiah. Dia juga mengakui budaya bertukar hadiah sering dilakukan jika mempunyai rezeki lebih.
Pendapat Suzan lagi, tidak salah jika hendak meraikan sesuatu sebagai cara menghargai seseorang itu asalkan tidak melampaui batasan. Dia sendiri tidak mempercayai yang Hari Kekasih saja waktu untuk menunjukkan erti kasih sayang kerana hari lain juga begitu bermakna sebagai cara menghargai seseorang yang patut disayangi.
Chef di Island Bistro TANGS Pavilion Kuala Lumpur, Chef Jonathan Fernandez, 28, berkata terpulang kepada setiap pasangan mengenai cara mereka meraikan sambutan Hari Kekasih. Bagi dirinya, cukup sekadar bersama isteri di rumah dan memasak sesuatu yang cukup istimewa.
“Mungkin Valentines Day lebih sesuai diraikan pasangan remaja yang sedang bercinta kerana kebiasaannya pada usia remajalah kita mula mengenal erti cinta.
“Kalau nak meraikan Hari Kekasih pula tidak perlulah sehingga berhabis dengan membeli bermacam hadiah mahupun menjamu di restoran mewah, kerana bagi saya cukup sekadar ala kadar dan mengikut bajet,” katanya yang akan memasak hidangan makan malam romantik untuk isteri tercinta pada tanggal 14 Februari nanti.
Sementara itu, Pendakwah dan Pendidik, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata amalan meraikan Hari Kekasih atau lebih maklum Valentines Day setiap 14 Februari di kalangan umat Islam adalah bercanggah dengan hukum syarak kerana terdapat unsur kepercayaan dalam agama Kristian.
Beliau berkata, selain membawa kepada keruntuhan akhlak, menggalakkan maksiat dan tidak berfaedah, amalan itu pada dasarnya hanya membawa kepada perlakuan gejala negatif dan amalan seks bebas di kalangan masyarakat bukan muhrim.
“Ini dengan erti kata lain, mencampuradukkan akidah dan ibadat agama Islam dengan akidah dan ibadat agama lain tidak dibenarkan sama sekali sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Kafirun ayat 1 hingga 6.
“Malah, jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk kali pertama pada 2006 telah memutuskan yang sambutan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan dalam Islam.
“Begitu juga, Mufti di Malaysia juga sepakat yang amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincang dalam muzakarah jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 71 pada 22 hingga 22 November 2005,” katanya kepada i-Kon.
Justeru, beliau membuat kesimpulan tidak perlulah meraikan Hari Kekasih dengan berfoya-foya, menghantar kad ucapan dengan lambang sayap mahupun ucapan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai bukti rasa cinta.
Ditanya langkah terbaik menerangkan masyarakat Islam berhubung sambutan hari berkenaan, Ustaz Wan Akashah berkata, pertama sekali umat Islam harus tahu dan peka mengenai percanggahan meraikan majlis itu, selain peranan media massa dalam menyuntik kesedara dan tanggungjawab ibu bapa sendiri dalam memberikan akidah berguna kepada anak-anak.
“Sebenarnya cinta itu adalah lumrah sebagai manusia itu adalah fitrahnya untuk merasai erti cinta. Namun, harus ada garis sempadan dalam mengenal erti cinta sebenar. Kita harus meletakkan cinta kepada Allah, Rasul dan Agama Islam lebih daripada segalanya berdasarkan Al-Quran dan Hadis,” kata Ustaz Wan Akashah.
Jika kita fahami nas-nas syara' dengan lebih mendalam, akan kita dapati aturan yang tegas terhadap masalah ini, antara lain firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang tidak mengetahui tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertanggungjawaban" - Al-Baqarah :36.
“Sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepada kamu (keterangan-keterangan), sesungguhnya kalau demikian termasuk golongan orang-orang zalim" - Al- Baqarah : 145.
Renung-renungkan!
Hari Kekasih Buat Renungan...
Sejarah Hari Kekasih
Cerita 1
Mengikut sejarah, sambutan Hari Kekasih diadakan sempena memperingati paderi Kristian bernama Pedro St. Valentino ketika zaman pemerintahan Raja Claudius II. Oleh kerana Valentino salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara. 268 -270
Namun sepanjang di dalam penjara, Valentino tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentino dihukum bunuh pada 14 Februari.
Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.
Sumber lain menyebut, ketika St. Valentine di dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).
Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentine, paderi kesayangan mereka.
Cerita 2
DISEBABKAN niatnya mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia, St. Valentine dibunuh kerana menghalang pemuda untuk dikerah menjadi tentera. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.
Cerita 3
TANGGAL 14 Februari dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentine adalah orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.