Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Peguam tinggalkan kerjaya jadi inspektor polis



Pelatih-pelatih terbaik kursus Inspektor Percubaan Siri 1/2007 (dari kanan) Hon Kah Wei, Saifull Hisham Abd. Latif, Mohd. Amirul Alias dan Nor Ellyna Ab. Rashid meraikan kejayaan mereka pada majlis tamat latihan di Pulapol, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 12 April – Minat yang mendalam terhadap kerjaya polis dan ingin berbakti kepada masyarakat mendorong seorang peguam meninggalkan kerjayanya dan memasuki pasukan beruniform itu.

Inilah nilai yang dikorbankan Inspektor Hon Kah Wei, 27, dan ia berbaloi apabila diumumkan sebagai pelatih inspektor terbaik semasa sesi tamat latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini.

Sebaliknya beliau berbangga kerana cita-cita dan minatnya sejak kecil untuk menjadi seorang anggota polis kini menjadi kenyataan.

Lebih membanggakan apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyampaikan sijil tropi turut memuji tindakan beliau itu sekali gus membuktikan polis antara kerjaya diminati.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya itu berkata, sebelum ini beliau berkhidmat dengan sebuah syarikat guaman di Teluk Intan, Perak.

“Namun setelah berfikir semasak-masaknya, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai peguam setelah setahun bekerja.

“Lagipun amalan undang-undang yang saya belajar di universiti boleh digunakan dan meningkatkan kerjaya polis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perbarisan tamat latihan dan konvokesyen inspektor percubaan siri 1/2007 di Pulapol.

Turut memenangi pelatih terbaik ialah Inspektor Mohd. Amirul Alias untuk kategori terbaik keseluruhan, Inspektor Nor Ellyna Ab. Rahman dan Inspektor Saiful Hisham Mohd. Abd. Latif untuk kategori terbaik latihan luar wanita dan lelaki.

Menurut Kah Wei, pada mulanya, hasrat beliau untuk memasuki polis ditentang oleh anggota keluarga kerana kerjaya tersebut berisiko tinggi.

Bagaimanapun katanya, setelah berulang kali dipujuk serta menjelaskan inilah cita-citanya, akhirnya ahli keluarga memberi restu.

Sementara itu, Amirul berkata, beliau bercita-cita untuk mengurangkan kadar jenayah di dalam bidang yang amat diminatinya iaitu narkotik.

Anak kepada seorang anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) ini menambah, beliau akan buktikan kepada rakan-rakannya bahawa kerjaya polis adalah sesuatu yang mulia.

“Saya tidak mahu orang memandang rendah kepada pasukan polis yang dikaitkan dengan rasuah dan sebagainya. Saya berazam untuk menaikkan imej pasukan,” katanya.

Seramai 495 pelatih inspektor siri 1/2007 berjaya menamatkan latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), semalam.

Daripada jumlah itu, 218 adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dan 266 memiliki Diploma manakala hanya 11 orang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selama tempoh sembilan bulan menjalani latihan asas itu, kesemua pelatih itu didedahkan dengan pelbagai latihan termasuk latihan fizikal, penggunaan senjata api, perundangan, teknologi maklumat dan pengetahuan agama untuk memahirkan pegawai kanan polis bagi memenuhi tuntutan masyarakat.

Di antara mereka yang menamatkan latihan asas itu ialah Inspektor Hon Kah Wei, 27, yang meninggalkan kerjaya peguam demi mengejar cita-cita menjadi seorang anggota polis.