Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

Penubuhan cawangan Al Azhar jadi kebanggaan


Oleh Ainol Amriz Ismail

SEREMBAN 14 April - Kelulusan Majlis Senat Universiti Al Azhar di Kaherah, Mesir bagi pembukaan cawangan kampus di Rembau, Negeri Sembilan, ia dilihat sebagai satu kebanggaan buat seluruh umat Islam di Malaysia dan Asia Tenggara.

Langkah itu adalah buat julung kalinya dalam sejarah 1,000 tahun penubuhannya, Universiti Al Azhar.

Kebenaran yang diberikan oleh Rektor Al Azhar, Profesor Dr. Ahmad Toyyib dalam satu pertemuan bermula 8 hingga 10 Mac lalu, di Universiti Al Azhar, Mesir juga satu detik bersejarah untuk Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS).

Surat kebenaran dan kelulusan itu telah disampaikan oleh Dr. Ahmad kepada Penasihat YSNS, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin di universiti berkenaan pada 10 Mac dan telah diterjemahkan oleh seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Kaherah.

Pengiktirafan ini merupakan pembuka jalan kepada Malaysia, terutamanya di Negeri Sembilan untuk menjadi hab ilmu, bukan sahaja kepada akademik yang berbentuk sekular tetapi juga membuka seluas-luasnya pendidikan berteraskan Islam.

Pada majlis perletakan batu asas Universiti Al Azhar Kampus Malaysia di Rembau baru-baru ini, wakil Universiti Al Azhar Mesir, Profesor Dr. Umar Abdullah Kamil berkata, ia merupakan satu perkembangan baru dalam pentadbiran universiti berkenaan.

''Membawa keluar 'Al Azhar' dari Mesir adalah satu langkah baru, dengan pihak Majlis Senat mahu memastikan Islam lebih dikembangkan di rantau Asia Tenggara, sejajar dengan kemampuan Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

''Kita telah bekerja keras untuk mencapai usaha ini dan Alhamdulillah akhirnya kita berjaya," kata beliau.

Dr. Umar berkata, Malaysia dipilih untuk penubuhan cawangan universiti berkenaan kerana negara ini mempunyai ramai penduduk Islam dan bangsa Melayu dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai bangsa yang kuat pegangan agama dan mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau juga menyatakan keyakinan kampus Al Azhar akan menjadi tarikan, bukan sahaja kepada pelajar dari Malaysia tetapi mencakupi negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Walaupun ketika ini kelulusan daripada Universiti Al Azhar Mesir telah diperoleh, YSNS kini menunggu perkembangan daripada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi untuk memulakan pembinaan infrastruktur bangunan di situ.

Dekan Kuliyyah Usuluddin Universiti Al Azhar Kampus Malaysia, Profesor Dr. Muhammad Abd. Sattar Nasar berkataa, keputusan Majlis Senat itu amat penting dan mereka telah membukanya selepas sekian lama menutup peluang itu kepada mana-mana negara.

''Keputusan ini cukup bersejarah, bukan sahaja buat Malaysia tetapi juga Universiti Al Azhar itu sendiri. Mereka telah melihat dan mempercayai Malaysia merupakan negara yang wajar diberikan anugerah berkenaan.

''Ini merupakan satu usaha mengembangkan ilmu selaras dengan ajaran Islam yang mahukan pendidikan dijadikan sebagai senjata pada masa kini. Jadi amat wajar supaya umat Islam mampu menguasai ilmu untuk berhadapan pelbagai cabaran," ujar beliau.

Katanya, Al Azhar merupakan jantung kepada pegangan umat Islam di seluruh dunia dan benteng terakhir bagi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menghadapi cabaran tanpa sempadan.

Pada masa yang sama, Dekan Kuliyyah Syariah Islamiah Universiti Al Azhar Kampus Malaysia, Profesor Dr. Fathi Usman berkata, langkah yang diambil untuk mengembangkan sayap ilmu bukan sahaja tertumpu di sesebuah tempat (Mesir) tetapi perlu dilakukan dengan meluas bagi memberi manfaat besar kepada umat Islam seluruh dunia.

Cadangan penubuhan Universiti Al Azhar Kampus Malaysia ini sebenarnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, malahan banyak negara berhampiran sebelum ini telah melobi untuk mendapatkan hak berkenaan agar ia bertapak di negara mereka.

''Penubuhan kampus cawangan itu bakal menjadi rujukan kepada permasalahan umat Islam di rantau ini, selain melahirkan ramai cendekiawan Islam pada masa hadapan, ulama dan pemimpin yang kukuh ilmunya," katanya.

Kata beliau, kelulusan yang diberikan oleh Majlis Senat universiti berkenaan, menunjukkan betapa mereka mengiktiraf usaha Malaysia yang telah banyak berjasa dalam memartabatkan agama Islam.