Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

Galak generasi muda aktif permainan tradisional


PONTIAN 14 April - Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional supaya ia tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai permainan alternatif kini terutama permainan komputer.

Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani berkata, masih belum terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak berusaha untuk mengekal dan mempromosiya.

Beliau berkata, permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak.

Menurutnya, pihak yang boleh berperanan itu ialah seperti pertubuhan kebudayaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sekolah, persatuan sukan, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Seperti permainan gasing, pemain dan penggiatnya kini merupakan golongan warga emas, sementara generasi muda tidak berminat untuk menyertai permainan tersebut.

"Keadaan ini amat mengecewakan memandangkan permainan gasing yang dimainkan sejak turun temurun merupakan satu kebanggaan kepada orang Melayu," katanya.

Mislan menyatakan demikian pada majlis perasmian Pertandingan Gasing Pangkah Terbuka Johor sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Kampung Permatang Duku, Benut, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan Ketua Penolong Pegawai Daerah

Pontian, Mohd. Khair Johari Salleh.

Mislan berkata, permainan gasing pada masa lalu menjadi salah satu cara bagi merapatkan hubungan silaturahim selain sebagai punca pendapatan melalui pembuatan gasing.

Bagaimanapun ketika ini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi mengisi masa lapang di kalangan penduduk setempat yang kini mempunyai banyak pilihan untuk beriadah.

"Permainan gasing boleh dijadikan produk pelancongan seperti yang dilakukan di beberapa pusat pelancongan di Kelantan dan Terengganu," ujarnya.

Justeru, beliau berharap, usaha perlu dipergiatkan bagi memastikan permainan gasing terus mendapat tempat di kalangan masyarakat.

"Program pengembangan serta bengkel permainan gasing hendaklah diadakan bagi memberikan peluang kepada generasi muda untuk mempelajarinya," tambahnya.

Pertandingan gasing tersebut dimenangi Pasukan Gasing Kampung Parit Yassin dan Pasukan Gasing Kampung Permatang Duku pula muncul naib johan manakala Pasukan Gasing Tasek Biru dari Batu Pahat meraih tempat ketiga.