SEJARAH hubungan antarabangsa Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula secara rasminya tidak lama selepas Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai ahli PBB yang ke-82 pada 17 September 1957. Pencalonan Tanah Melayu sebagai ahli PBB dicadangkan oleh Great Britain di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menerusi sokongan Majlis Keselamatan, keahlian Malaysia mendapat kelulusan Perhimpunan Agung PBB.
Manakala hubungan awal yang bersifat secara tidak langsung antara Tanah Melayu dan PBB sebenarnya telah pun wujud sebelum itu. Pada ketika itu, hubungan institusi antarabangsa itu dengan Tanah Melayu lebih banyak dirujuk dalam konteks pemerhatian, tanggungjawab dan penyeliaan Majlis Amanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Trusteeship Council of United Nations) dan pentadbiran wilayah amanah (trust territories). Majlis Amanah ini mempunyai bidang kuasa dan tanggungjawab tertentu terhadap tanah jajahan dan wilayah-wilayah yang tak berkerajaan seperti yang diperuntukkan oleh Piagam PBB dan resolusi-resolusi perhimpunan agung dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, sebelum merdeka, terdapat wakil-wakil Tanah Melayu yang diundang menghadiri persidangan-persidangan anjuran agensi-agensi yang berpusat di PBB seumpama Food and Agricultural Organization (FAO), UNESCO dan juga Economic Commission for Asia and the Far East (ECAFE). Kehadiran mereka lebih bersifat sebagai pemerhati atau penasihat kepada perwakilan British untuk rujukannya.