Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Robin Hood zaman Jepun


Oleh Faiza Zainudin




Aziz Sattar jadi pembekal ubat, beras kepada mangsa perang

DI SEBALIK wajah ceria dan jenakanya yang mencuit hati, tersimpan rahsia pahit yang cuba disembunyikan seniman tanah air, Datuk Aziz Sattar, 82, daripada pengetahuan umum. Penderitaan hidup pada zaman pendudukan Jepun di Singapura sekitar 1942, memaksa beliau yang ketika itu berusia 15 tahun, berlagak seperti Robin Hood mengambil makanan dan ubat-ubatan tanpa pengetahuan majikannya bagi diagihkan kepada mangsa peperangan termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga.

Kehidupan yang sukar, dengan rata-rata rakyat hidup dalam kemiskinan dan ketakutan, memberi semangat kepadanya yang bekerja sebagai tukang kebun dan orang suruhan di kem Jepun, untuk bertindak sedemikian tanpa mengambil kira risiko yang bakal diterima.


"Apabila melihat kekejaman askar Jepun menyeksa orang kampung selain bertindak menyorok bekalan makanan dan ubat-ubatan dalam gudang mereka di kem itu, saya berfikir mesti berbuat sesuatu. Saya jadi Robin Hood selama setahun, ambil pelbagai jenis ubat termasuk kuinin untuk dibekalkan kepada doktor di klinik dan orang kampung yang memerlukan.

"Beras yang bertimbun juga saya ambil sedikit demi sedikit pada waktu kerja dengan menyorok buntilan beras dalam longkang sebelum dibawa pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Ampang Hiliran, Ampang, di ibu negara, baru-baru ini.

Mengimbas peristiwa lama yang menyayat hati itu, Aziz berkata akibat kerap mengambil barangan berkenaan, rahsianya terbongkar dan beliau ditampar dan dimarahi majikannya, selain diseksa sehingga seluruh bahagian badannya cedera berlumuran darah.

MAJLIS persandingan Aziz dan isterinya, Hashimah yang berlangsung di Restoran Puteri Sungai Penchala, baru-baru ini turut dihadiri Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Sebelum itu, mereka hanya bagi amaran kepada saya dengan menampar muka sehingga bengkak dan berdarah. Lepas itu, suruh saya datang kerja semula sebab tiada orang berpengalaman yang menguruskan kerja di kem dan klinik mereka. Tapi pada suatu petang itu, saya tidak dapat lupakan peristiwa mereka menyeksa saya kerana terlalu marah dengan perbuatan saya mencuri barangan mereka.

"Saya diikat pada sebatang pokok di kawasan lapang dalam kem yang diambil alih dari Hospital Tentera British, Tangling, dan memukul saya beramai-ramai dari pagi hingga ke petang," katanya.

Beliau berkata akibat ditendang, diterjah dan dipukul dengan kayu, habis bahagian muka hingga badannya pecah berdarah.

"Pada masa itu, saya tidak merayu pada mereka pun, sebab saya fikir di pihak yang benar. Hanya berdoa meminta pertolongan kepada Allah saja. Memang nyawa saya panjang agaknya, mereka biarkan saya terkulai seharian di pokok itu selepas puas memukul saya," katanya.


Aziz yang kelihatan sebak berkata, tidak tahan melihat keadaannya, kawan sekerja yang bersimpati datang membantu dan mengangkatnya ke bilik rawatan.

"Mereka simbah badan saya dengan air iodin, pedih sungguh, dua jam saya terbaring kesakitan. Selepas dua minggu, kulit yang cedera mula kering dan bila dikopek, ia kelihatan macam kulit baru, bersih," katanya ketawa.

Rakan baik Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan seniman S Shamsuddin itu, berkata selepas peristiwa itu, beliau berhenti kerja, tambahan pula, Jepun tewas kepada British pada 1943 dan Singapura dijajah British semula.

Aziz berkata keluarganya yang mengetahui kejadian beliau ditangkap dan diseksa tidak berkata apa-apa, malah memberi semangat kepadanya. "Bapa saya, Sattar Syawal hanya diam, marah tak, sedih pun tak. Ibu saya, Fatimah Jalil, 55, sedih melihat keadaan saya. Apa pun dia bangga dengan saya, dia tahu anak dia bantu orang, bantu keluarga dan orang ramai tanpa kira kaum," katanya.

Tak malu duduk rumah sewa DBKL

AZIZ, anak ketiga daripada 10 adik beradik, berkata banyak kenangan pahit yang dialaminya sekeluarga semasa pendudukan Jepun termasuk peristiwa rumah keluarganya dibom semasa Jepun mula menakluk Singapura.

"Saya masih ingat, kami 10 beradik menyorok bawah katil besi untuk mengelak daripada dibedil bom. Rumah kami musnah, nasib baik kami tidak apa-apa, cuma muka saja putih kena habuk. Lepas itu kami tidur dalam kanvas beberapa hari, sebelum menumpang rumah saudara berhampiran," katanya.

Beliau berkata, sebelum bekerja di kem Jepun itu, beliau membantu keluarganya yang berasal dari Surabaya menjual kuih muih di kawasan sekitar.

"Apabila Jepun mendarat di Singapura, saya yang masa itu masih bersekolah rendah, berhenti kerja dan jual kuih. Hidup kami susah sangat, emak buat kuih yang berasaskan ubi kayu, kangkung dan keledek macam kuih gendang kasturi dan kuih jongkang untuk dijual. Hasilnya dapatlah seguni duit Jepun, tapi duit itu begitu bernilai, sebab tak boleh beli beras," katanya.

Beliau berkata akibat terlalu banyak makan ubi kayu termasuk kulit ubi yang berwarna ungu, kaki mereka sekeluarga turut bengkak-bengkak dan kesakitan. Kekurangan zat makanan juga, menyebabkan adik lelaki bongsunya, meninggal dunia ketika berusia tiga tahun.

"Ketika itu sukar untuk mendapat beras menyebabkan saya mengambil inisiatif bekerja di kem berkenaan untuk memudahkan usaha mendapat beras membantu keluarga," katanya yang kini tinggal lima beradik yang masih hidup.

Selepas tamat penjajahan Jepun pada 1943, Aziz bekerja sebagai pemandu syarikat penerbangan selama beberapa tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan lain sebelum mengorak langkah dalam bidang seni pada 1952.

Beliau yang memulakan karier sebagai pelakon tambahan di Studio Jalan Ampas menerusi filem pertamanya, Putus Harapan, menyedari berbakat dalam bidang seni lakonan dan nyanyian pada usia 10 tahun. Pada masa itu, katanya, beliau sudah mula mengadakan persembahan nyanyian di majlis perkahwinan dan majlis keramaian.

"Saya belajar menyanyi dan menari sendiri, ibu juga membantu saya berqasidah," katanya.

Aziz kini berbahagia dengan isteri ketiga, Hashimah Delan, 48, yang dinikahinya bulan lalu, selepas menduda selama 26 tahun. Hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Allahyarham Romia Ahmad, dan selepas berpisah dengan Dayang Sophia, beliau dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan enam cicit.

"Alhamdulillah, dengan usia begini, saya masih sihat dan boleh memandu seorang diri sehingga ke Kelantan dan melawat anak cucu di seluruh negara. Kehidupan saya bertambah sempurna dengan kehadiran Hashimah, walaupun tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Hiliran, yang disewa dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua minggu lalu.

"Saya tidak malu duduk di sini, walaupun bergelar Datuk, yang penting saya dekat dengan orang ramai dan memudahkan pergerakan seni saya," katanya.

PROFIL

Nama: Abdul Aziz Sattar

Umur: 82 tahun

Tarikh Lahir: 8 Ogos 1925

Lahir: Kampung Geylang, Singapura

Kerjaya: Sudah membintangi lebih 100 filem termasuk tujuh filem bersama P Ramlee, ratusan drama televisyen dan mengarah 17 filem termasuk filem Si Badul yang mengutip kutipan tiket tertinggi iaitu RM1.97 juta

Anugerah: Menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Jun lalu.