Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Gaji pertama hanya RM100


Oleh Hanisah Selamat




Ujang pernah bergelar jutawan tetapi 'diragut' rakan sendiri hingga hilang punca, usung batu nisan

MUNGKIN beliau tidak sehebat Walter Elias Disney yang menghasilkan jenama Walt Disney, namun Ujang atau nama sebenar Ibrahim Mohd Noor pernah membuktikan kartunis tempatan mampu bergelar jutawan bersandarkan hasil karya mereka.

Anak kelahiran Juaseh, Negeri Sembilan, asalnya hanya menerima gaji RM250 ketika mula-mula diterima bekerja dengan majalah Gila-Gila pada 1983, bagaimanapun kreativiti dan keberanian untuk menonjolkan kartun sebagai animasi akhirnya mengubah nasibnya.


Malah kartun juga yang membolehkannya mengembangkan perniagaan membuka 12 syarikat termasuk penerbitan, restoran dan kolam memancing selain mampu menggaji kira-kira 200 pekerja dan meraih gelaran jutawan pada usia genap 30 tahun.

Namun itu semua cerita 10 tahun dulu, kejayaan yang dikecap hasil keringat dan air mata diragut individu kepercayaan hingga Ujang hilang segala-galanya dan terpaksa naik turun mahkamah menagih hak cipta sendiri.

"Inilah kisah saya yang sepatutnya menjadi iktibar kepada semua orang supaya mempatenkan karya sendiri tidak kira pelukis, penulis atau pereka kerana dalam sekelip mata hak kita boleh dinafikan.

UJANG leka menyiapkan karyanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

"Ekoran peristiwa itu saya jadi hilang punca, bahkan setahun saya pernah merayau-rayau mengusung batu nisan dengan menulis nama sendiri disebabkan rasa kecewa yang amat sangat," katanya mengimbas peristiwa malang yang pernah dilaluinya.

Pertemuan yang diatur di pejabat Creative Enterprise di Bangsar Utama tempat terawal beliau memacu nama itu menjadi saksi pengakuannya yang pernah menyepi di arena penerbitan hampir empat tahun sejak 2000.

Melihat penampilannya sekarang, memang tidak jauh berbeza ketika zaman kegemilangannya suatu masa dulu namun bapa kepada empat cahaya mata itu kelihatan lebih kurus dan berkulit agak gelap.

Mana tidaknya, cerita Ujang sejak ketiadaan syarikat dan tanpa pekerjaan tetap, beliau cuba berniaga kecil-kecilan menjual gelang perhiasan di Port Dickson dan apabila usahanya kurang menjadi, beliau kembali merayau.

Hampir empat tahun beliau hilang punca namun pertemuan semula dengan Jaafar Taib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2004 mengembalikan semula semangatnya apabila ditawarkan menerajui Unit Promosi dan Acara Creative Enterprise.

"Jaafar Taib insan pertama yang mengesan bakat dan membawa saya semula ke Gila-Gila. Sebagai orang kuat majalah lucu terkenal itu, Jaafar menawarkan saya jawatan sebagai pengurus promosi dan acara.

"Ketika saya belum punya nama dan cuma berbekalkan bakat melukis, Jaafar Taib membawa saya ke Gila-Gila dan kini sekali lagi peluang itu dihulurkan meskipun saya sudah tidak punya apa-apa.

"Kalau dilihat masa tu, mungkin ramai lari sebab saya macam orang tak betul tapi Jaafar tetap menaruh kepercayaan saya mampu mengasah semula kreativiti seperti ketika menghasilkan Aku Budak Minang, Atuk dan Usop Sontorian," katanya.

Ujang masih ingat, waktu mula-mula bersama Gila-Gila usianya baru mencecah 18 tahun dan hanya beliau satu-satunya kartunis di situ yang pernah Jaafar Taib bawa pulang ke rumah untuk mendalami teknik lakaran dan warna.

"Saya terharu dengan keikhlasannya walaupun saya bukan sesiapa yang harus dipedulikan dan kini saya kembali untuk membuktikan kepadanya saya mampu berdiri semula pada saat insan lain menjauhkan diri," katanya.

Biarpun hanya pertemuan singkat, banyak perkara diluahkan Ujang namun yang pastinya ia sekadar secebis rasa daripada lautan kepahitan dan kemanisan yang direnangi kartunis itu sejak mula bergelar kartunis.

Begitupun senyuman sinis dilemparkan tatkala diajukan persoalan di mana teman seperjuangan ketika beliau melalui zaman getir seolah-olah masih ada sesuatu yang beliau tidak ingin dikongsi kepada umum.

Beliau juga tidak malu mengaku mengalami tekanan perasaan dek perbuatan yang dilakukan individu kepercayaannya tetapi bersyukur masih ada keluarga terutama isterinya, Zaihah Abdul Rahman yang sentiasa setia di sisinya.

"Saya bermula kosong, pernah bekerja di kilang roti dengan gaji RM100 ketika mula-mula sampai di Kuala Lumpur, jadi saya memang biasa hidup susah.

"Selepas hilang semuanya, saya banyak termenung dan suka berjalan-jalan, kadang-kadang saya naik bas ekspres sampai ke Kuala Terengganu dan balik semula ke Kuala Lumpur hari sama. Masa tu melukis tidak, bekerja pun tidak," katanya.

Emosinya benar-benar terganggu ketika itu malah katanya saat paling menyedihkan apabila beliau tidak mampu membelikan anak kecilnya susu tepung kerana langsung tidak berduit sebaliknya terpaksa diganti dengan susu pekat manis.

"Saya tak punya pilihan melainkan menghantar keluarga saya pulang ke kampung dan menumpang di rumah emak. Waktu itu memang susah sangat. Saat anak menangis lapar susu memang terpahat kukuh dalam ingatan saya.

"Saya tak mahu menempuh sekali lagi pengalaman seperti itu, cukuplah sekali dan sekarang saya mahu bina semula kegemilangan Gila-Gila dengan sisa kekuatan yang ada," katanya.

Sejak bersama semula majalah itu lebih setahun lalu, Ujang bukan sekadar menerajui Unit Promosi dan Acara malah turut menyumbangkan hasil kerjanya seperti Atuk dan Aku Budak Minang seperti mana dijanjikan dulu.

Begitupun, kata Ujang biarlah kenangan semalam menjadi pengajaran paling bermakna buat dirinya malah kini beliau lebih berhati-hati mengatur langkah supaya tidak kecundang lagi.

Selain sibuk mengusahakan semula kolam ikannya dan menjadi pemandu pelancong kepada kaki pancing - hobinya sejak dulu - beliau masih ligat dengan kerja penerbitan terutama bagi merealisasikan filem animasi Jibam The Movie.

Filem yang membariskan Jalil Hamid dan Khatijah Tan itu dijangka menemui khalayak pada Mac 2008 sekali gus membuktikan kartunis tersohor itu bakal bangkit semula dengan misi dan visi baru.

Pada zaman kegemilangannya, majalah Ujang yang sinonim dengan watak Din Beramboi, majalah itu mampu mencecah jualan 360,000 naskhah setiap bulan, suatu pencapaian membanggakan.

Beliau juga pernah menerbitkan kartun Usop Sontorian yang berkisar mengenai kehidupan sebenar masyarakat Malaysia di kampung bernama Parit Sonto, Batu Pahat, Johor kepada animasi yang disiarkan menerusi TV1 suatu masa dulu.

PROFIL

NAMA: Ibrahim Mohd Noor

ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

USIA: 40 tahun

ISTERI: Zaihah Abdul Rahman (42 tahun)

ANAK: Mohd Syafiq (17), Syanaz (14), Syahim (9) dan Syauqi (4)

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pernah melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada 1987