Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 April 2008

Semangat Karim Sulaiman




KARIM (kiri) dalam rancangan Keluarga Di 9, di TV9.

Pemenang Anugerah Kajai 2001 percaya setiap penyakit ada penawarnya

PELBAGAI penyakit wujud di dunia ini. Daripada penyakit yang boleh sembuh dengan senang hinggalah kepada penyakit yang jarang dihidapi manusia dan belum difahami dunia perubatan.

Allah berfirman, setiap penyakit yang dijadikan tentu ada penawarnya. Hanya manusia bersemangat kuat dan mempunyai kekentalan jiwa boleh menghadapinya. Jiwa kental inilah yang dimiliki bekas Pengarang Rencana Berita Harian, Karim Sulaiman, 46, mengenai penyakit aneh yang dihadapinya.


Menerusi Keluarga Di 9 (KD9), kisah semangat juang Karim dan keteguhan jiwa isterinya, Siti Hawa Mohd Arif, pernah dipaparkan di dalam slot Kongsi Rasa, Kongsi Rahsia bersama Nora. Apa yang dipaparkan ketika itu ialah bagaimana ketabahan Hawa menjaga Karim tanpa putus asa dan kini Karim dengan bersemangat hadir di set KD9, bercerita mengenai pengalaman pahit getirnya merawat penyakit yang sukar disebut - scleromyxoedema (sklero-maiksi-dema)

Menurut pemenang Anugerah Kajai 2001 ini, dia mula mengesan penyakitnya pada 2000 dan ketika itu menyangka hanya penyakit kulit biasa. Doktor yang merawatnya hanya memberikan ubat sapu namun keadaan penyakitnya semakin teruk. Dalam tempoh tiga tahun, kulit Karim berubah menjadi tegang, terik, berkilat dan sendinya kian mengeras dan sukar digerakkan.

Hanya pada 2006, barulah Karim mendapat rawatan rapi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mencuba pelbagai rawatan sama ada tradisional dan moden. Karim mengaku pada mulanya dia lebih selesa dan yakin mendapatkan rawatan hospital swasta, namun selepas beberapa tahun tiada sebarang perubahan barulah dia ke HKL.

Ketika dia mendapatkan rawatan di HKL, keadaan penyakitnya di tahap kritikal sehinggakan dia sukar bercakap dan menggerakkan anggota badan. Mujur, kepakaran doktor di Jabatan Dermatologi HKL, berjaya menemui rawatan sesuai untuk memulihkan penyakitnya.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi HKL, Dr Chang Phoong Chor yang merawat Karim, penyakit yang dialami Karim adalah yang pertama di HKL dan hanya 150 kes yang dilaporkan di seluruh dunia. Malah, kata Dr Chang punca penyakit ini juga kurang jelas sama ada genetik, makanan atau persekitaran.

Jelas, menunjukkan penyakit ini amat jarang ditemui dan sukar untuk mencari penawarnya. Namun begitu, selepas pelbagai kajian dan laporan perubatan diteliti, Dr Chang menemui rawatan penggantian antibodi yang dilakukan secara suntikan (IVIG). Ternyata, ia membuahkan hasil dan dalam tempoh tiga bulan kulit Karim menampakkan perubahan.

Kulit yang dahulu tegang kian mengendur perlahan-lahan dan sendinya juga kian lembut. Malah, Karim boleh bercakap lebih jelas dan jika dahulu badannya susut hingga beratnya hanya 35 kilogram kini badan Karim semakin berisi mencecah 56 kilogram. Wajahnya juga kian ceria, tidak lagi cengkung seperti dahulu hingga suatu ketika dia tidak sanggup mencermin dirinya. Ada kala kata Karim, dia malu untuk keluar dari rumah kerana bimbangkan kata orang keliling. Ada yang mencemik dan menjauhkan diri kerana menganggap dia menghidap sopak atau penyakit Aids tetapi lama kelamaan Karim menerima kenyataan bahawa dia harus kuat dan tabah melawan penyakitnya demi keluarga yang dikasihi.

Dalam tempoh sukar dan getir melawan penyakit, Karim tidak sesekali menyesali apa yang terjadi pada dirinya. Katanya, segala dugaan ini ada hikmahnya. Jika bekerja dahulu, dia akui jarang meluangkan masa bersama keluarga disebabkan kesibukan tetapi disebabkan penyakitnya dia kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah apatah lagi dia kini tidak lagi bekerja. Sesungguhnya, Karim begitu bertuah mendapat isteri yang sanggup berkorban apa saja demi memastikan dia pulih seperti sedia kala. Selain kudrat, wang ringgit juga dikorbankan demi mendapatkan rawatan terbaik malah bagi menampung kehidupan, isteri Karim berniaga kecil-kecilan. Selain isteri, enam orang anaknya banyak membantu dalam kehidupan seharian Karim dan mereka tidak pernah mengeluh malah sentiasa memberikan kata semangat agar bapa kesayangan mereka kembali sihat seperti dulu.

Walaupun Karim belum pulih sepenuhnya dan pergerakannya juga terbatas dan masih menerima rawatan di hospital dua bulan sekali, semangat juang Karim untuk meneruskan kehidupan seperti dahulu perlu dicontohi. Dia percaya setiap penyakit ada penawarnya. Sebagai hamba Allah, kita perlu reda dengan apa jua dugaan dari Allah SWT tetapi kita juga perlu berusaha untuk mengatasinya. Malah, nasihat Karim, jika ditimpa penyakit jangan sesekali berlengah mendapatkan rawatan.

Dalam tempoh tujuh tahun melawan penyakit banyak suka duka yang boleh dikongsikan bersama. Mana tahu, suatu hari nanti kita dapat menyelami kisah Karim menerusi penulisannya.

Info

  • Keluarga di 9 berwajah baru mulai Isnin lalu (7 April 2008). Selain menampilkan pengacara baru pada Isnin iaitu Farah Adeeba Ashraf, KD9 lebih ceria dengan kehadiran penonton di studio. Selain itu, pengisian KD9 lebih mantap menerusi segmen baru seperti Dunia Glamor, Minum Petang, Kraftangan, penyelesaian masalah bersama Dr Jiwang dan pakar motivasi. KD9 bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Khamis, jam 1 hingga 2 petang. KD9 mengalu-alukan kehadiran penonton di studio dan kepada sesiapa yang berminat, hubungi 03-7952 7999 sambungan 9066/9072.
  •