Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 April 2008

Percutian atas kapal


Oleh Rafidah Mat Ruzki


KAPAL persiaran Queen Victoria

Keliling dunia dengan kapal persiaran Queen Victoria

BELAYAR di atas kapal persiaran dalam suasana penuh kemewahan adalah satu percutian mengasyikkan dan segmen pelancongan ini berpotensi dimajukan walaupun masih baru di negara ini.

Namun, sanggupkah anda melancong mengelilingi dunia di atas kapal peranginan serba mewah dan eksklusif selama 105 hari?


Itulah pengalaman yang ditawarkan syarikat pelancongan kapal persiaran Cunard Line, melalui kapal persiaran terbarunya, Queen Victoria (QV), yang baru dilancarkan Disember tahun lalu.

Kapal itu dinamakan sempena nama ratu Britain yang paling lama memerintah negara itu oleh isteri Putera Charles, Camilla.

Berbeza dengan satu lagi 'ratu', Queen Mary 2 (QM2), QV yang juga kapal persiaran terbesar dunia yang kini belayar di antara Amerika Syarikat dan Britain, lebih kecil. Bagaimanapun, ia mempersembahkan kemewahan Inggeris bagi keselesaan dan percutian yang menarik.

RUANG legar di atas Queen Victoria.

QV memulakan pelayarannya pada 13 Januari lalu dari New York, melalui pelayaran yang dinamakan 'Pathway to the Explorer', untuk menjelajah 36 pelabuhan di 23 negara di seluruh dunia termasuk Sydney, Hong Kong, Honolulu, Malaysia, India, Mesir dan Greece.

Kapal itu singgah di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 19 Mac lalu sebelum meneruskan pelayaran sulungnya mengelilingi dunia selama 105 hari.

Seperti QM2 dan Queen Elizabeth 2 (QE2), QV juga dilengkapi teknologi terkini dan memiliki beberapa restoran untuk kemudahan penumpang sepanjang pelayaran.

Restoran Britannia yang mampu menempatkan 900 orang pada satu-satu masa, adalah restoran utama di atas kapal itu.

DEWAN tarian Queen's Room yang luas.

Lebih menyeronokkan, penumpang yang menikmati hidangan di restoran itu turut menikmati pemandangan yang terbaik dari atas kapal setinggi 12 tingkat itu.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai restoran utama, Britannia dilengkapi hiasan dalaman yang mewah, arca daripada gangsa dan kaca serta menggunakan kayu jenis mahogani dan ceri tua, memberikan satu imej kapal persiaran zaman sebelum perang.

Bagi penumpang yang menginap di kelas Grills, mereka mempunyai laluan eksklusif untuk restoran Queen dan Princess Grills yang bukan saja mengetengahkan hiasan dalaman yang serba mewah dan berprestij, malah mereka juga boleh berehat di 'lounge' peribadi, bar dan ruang teres dek peribadi yang letaknya bersebelahan kedua-dua restoran itu.

Mereka juga boleh menikmati hidangan di Courtyard Terrace yang terletak di ruang patio atau Upper Grills Terrace untuk menikmati hidangan makan malam yang romantik, jauh daripada pandangan mata penumpang lain.

Seperti kapal QM2, QV juga menawarkan restoran chef terkenal, Todd English di dek 2, yang juga menawarkan pemandangan lautan yang menarik serta hidangan chef terkenal itu.

Bagaimanapun, berikutan tempat duduk terhad iaitu hanya 100 di restoran itu, penumpang perlu membuat tempahan terlebih dulu.

Restoran Lido di dek 9 yang menawarkan tempat duduk untuk 450 penumpang adalah restoran tidak formal yang menjadi pilihan penumpang untuk bersarapan dan makan tengah hari, selain Cafe Carinthia yang menawarkan makanan ringan seperti pastri dan hidangan teh.

Pelayaran berbulan lamanya pasti membosankan tanpa hiburan tetapi di atas QV, panggung Royal Court Theatre adalah hiburan terulung yang membolehkan penumpang menyaksikan persembahan seperti West End sepanjang pelayaran.

Percutian di atas kapal persiaran seperti QV mungkin agak mewah, namun apa salahnya selepas penat bekerja mengumpul wang, kita mencuba percutian menarik ini.

FAKTA: Kapal persiaran Queen Victoria

  • Mempunyai panggung setinggi tiga tingkat yang menawarkan ruang 'box office' untuk penumpang.

  • Mempunyai ruang legar untuk tetamu menjamu selera dengan hidangan ringan sebelum persembahan.

  • Ruang tarian Queen's Room setinggi dua tingkat memberi peluang penumpang menunjukkan kemahiran menari.

  • Arked permainan terletak berhampiran dengan Golden Lion Pub dan kasino.

  • Menyediakan perkhidmatan internet di dek satu dan tiga.

  • Mempunyai satu ruang perpustakaan setinggi dua tingkat yang menempatkan 6,000 buku pelbagai judul dan bahan bacaan.

  • QV turut menawarkan kemudahan kesihatan seperti spa di Cunard Health Club and Spa yang membolehkan setiap penumpang berehat dan dimanjakan.

  • Dilengkapi kolam untuk rawatan hidro terapi, gimnasium dan ruang untuk aerobik.

  • Dibina oleh syarikat pembuat kapal terkenal, Fincantieri.

  • Ketinggian 12 tingkat.

  • 321.5 meter panjang.

  • 90,000 tan berat.

  • 990 bilik, mengetengahkan gabungan konsep klasik dan kontemporari.

  • QV memulakan pelayaran yang dinamakan 'Pathway to the Explorers', bersama kira-kira 2,000 penumpang dan 1,003 anak kapal, menjelajah perairan antarabangsa.

  • Dilengkapi muzium mini yang menunjukkan sejarah kapal persiaran yang pernah berkhidmat di bawah Cunard Line.
  •