Oleh Shaidah Shafie
Penyambung hayat sastera lisan semakin pupus di Dewan Bahasa dan Pustaka
ASTAKA Minda Pertandingan Baca Naskhah Klasik: Hikayat Nakhoda Muda di Galeri Bahasa Jiwa Bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mengembalikan kegemilangan naskhah klasik Melayu yang kini terpaksa bersaing dengan bahan bacaan popular.
Pertandingan kali kedua anjuran Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP dan Bahagian Multimedia DBP adalah simbolik kepada Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang diraikan pada setiap 23 April seperti diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sejak 1995.
Dua puluh peserta dari pelbagai institusi dan jabatan, mempertaruhkan bakat mereka yang beraksi sambil berbusana menarik manakala watak atuk dan nenek tampil dengan telatah lucu pada sesi baca naskhah dalam usaha menarik perhatian juri.
Sungguhpun demikian, Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional DBP, Rogayah A Hamid, selaku wakil juri masih tidak berpuas hati dengan persembahan mereka kerana tidak menunjukkan penguasaan baca naskhah sehingga ada yang melakukannya sambil berdiri, meskipun tradisinya adalah dalam keadaan duduk.
Rasdi Daud dari Bahagian Sistem Maklumat DBP yang membawa imej tukang cerita dengan berbengkung dan bersemutar serta memukul canang akhirnya dinobatkan sebagai johan, menewaskan 19 peserta lain kerana menepati resam biduanda yang bercerita di hadapan khalayak istana sambil duduk kerana menghormati khalayak.
Beliau yang menerima wang tunai RM300, tergerak menggabungkan imej Awang Batil iaitu tukang cerita dalam masyarakat di Perlis dan Tok Dalang dengan citra semutar dan kain diikat kemas di pinggang bagi menarik perhatian khalayak mahupun juri di samping menggantikan batil dengan canang.
Pemenang kedua, Yusnizamawar Mohd Anuar dari Bahagian Perkamusan DBP menerima wang tunai RM200; pemenang ketiga, Basri Abdullah dari Bahagian Kesusasteraan Antarabangsa DBP merebut RM150 dan semua pemenang turut menerima sijil yang disampaikan Ketua PDMDBP, Aizan Mohd Ali.
Hikayat Nakhoda Muda selenggaraan Wahyunah Abd Ghani terbitan DBP adalah cerita penglipur lara yang mengisahkan Puteri Ratna Kemala menyamar menjadi lelaki dengan memakai nama Nakhod Muda bertujuan berlayar mencari abangnya.
Dalam usaha pencarian itu, pelbagai ujian terpaksa ditempuhi bagi mengelak identiti sebenarnya terbongkar dan penyamaran Puteri Ratna Kemala diketahui Putera Bikrama Indera yang akhirnya jatuh cinta lalu mengalahkan 99 anak raja lain yang ingin melamar gadis itu.