Oleh Fairuz Zaidan
Restoran Opah pilihan terbaik sajian tradisional Melayu
PENGHUNI kota jarang sekali berpeluang menikmati menu sajian tradisional. Saban hari juadah yang sama menanti di gerai atau restoran pilihan atau jika sudah buntu, premis makanan segera jugalah yang dituju. Jika mahu makan bertambah, tentunya masakan ibu atau nenek di kampung membangkit selera. Namun, untuk menikmati hasil air tangan ibu, berapa kerapkah kampung halaman dapat dijengah dek kesibukan hidup di kota.
Akhirnya, tinggallah angan-angan untuk merasai keenakan masakan tradisi seperti gulai tempoyak, asam pedas, sambal tumis, ulam-ulaman atau kerabu - himpunan juadah yang mampu membuatkan perut melagukan irama keroncong. Namun, apakan daya bukan mudah untuk mendapatkan juadah asli dan tradisonal di ibu kota atau bandar besar.
Merealisasikan impian khusus buat penggemar masakan tradisi Melayu, Restoran Opah yang beroperasi sejak akhir tahun lalu di pusat beli belah Sunway Pyramid, Subang Jaya menjanjikan nikmat sebenar masakan tradisional Melayu nusantara dengan mengekalkan rasa dan aneka sajian penuh tradisi.
Restoran Opah amat istimewa kerana menyajikan pelbagai hidangan masakan Melayu tradisi dan mungkin juga menu hidangan yang sudah jarang dinikmati atau dijual, khususnya di bandar.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi Restoran Opah, Intan Srihana Daud, berkata Restoran Opah melenyapkan kesukaran pelanggan menikmati hidangan Melayu tradisi seperti masak tempoyak, gulai dan ulam-ulaman yang disediakan mengikut cita rasa klasik dan penuh tradisi.
Beliau berkata, restoran itu menyajikan masakan pembuka selera, hidangan menu utama, pencuci mulut, ulam-ulaman hinggalah pelbagai cita rasa minuman.
"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan kerana memang sukar mendapatkan resipi tradisi Melayu buat masa ini. Malah, setiap resipi yang disediakan di Restoran Opah terlebih dulu melalui proses tapisan bagi memastikan rasa serta kualitinya menepati standard ditetapkan," katanya kepada i-Kon.
Bagi yang berpeluang berkunjung ke Restoran Opah, apa kata mencuba menu gulai nanas ikan talang, gulai tetel tempoyak dengan petai, rendang ayam sambal siam mahupun ikan kembung kukus air asam serta pelbagai menu manisan istimewa bercitarasa tempatan. Menarik juga, hidangan nasi disertakan dengan hiasan daun sirih segar!
Istimewa juga, pelanggan berpeluang mencuba variasi kerabu, sambal dan ulam-ulaman di sudut khas yang dijual dengan harga RM7.90 sepinggan. Melihatkan deretan kerabu pucuk paku, kerabu mangga dan ulam-ulaman disusun segar membuatkan sesiapa saja tertawan!
Kata Intan Srihana, selain menawarkan aneka lauk pauk pelanggan boleh mencuba pakej hidangan set merangkumi set bujang iaitu nasi janganan berharga RM19.90, set nasi urap (RM19.90), set nasi rawan (RM19.90) dan ser selatan yang berharga RM15.90.
Beliau berkata, pakej hidangan itu menampilkan pelbagai variasi menu hidangan dengan nasi bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan, sekali gus berpeluang mencuba aneka lauk tradisi mengikut set.
"Restoran Opah ini adalah alternatif terbaik buat masyarakat di bandar yang tercari-cari masakan ala kampung dengan cita rasa bermutu.
"Sememangnya kualiti dan rasa paling dititikberatkan bagi memastikan pelanggan berpuas hati," katanya yang turut menguruskan promosi dan pengiklanan bagi rangkaian restoran laksa terkenal, Laksa Shack.
Ditanya mengapa nama opah menjadi identiti bagi restoran berkenaan, Intan Srihana berkata, nama itu sendiri sudah bersifat universal serta dikenali bukan saja masyarakat Melayu tetapi turut difahami kaum Cina dan Indiai. Sambil menambah, nama opah sendiri begitu unik dan bersifat mesra pelanggan.
Atas faktor itulah, beliau berkata Restoran Opah mampu menjanjikan kelainan dan tarikan buat pelanggan yang mencari menu tradisi Melayu dengan kualiti dan kebersihan terjamin.
"Selepas sambutan cukup menggalakkan dari pelanggan di Sunway Pyramid, kita merancang membuka cawangan baru seperti di pusat beli belah Alpha Angle di Wangsa Maju, bulan depan," katanya.
Sambil menjamu selera, mata meliar melihat dekorasi hiasan dalaman Restoran Opah yang bercirikan klasik dan moden kontemporari. Tepak sirih, teko dan perenjis yang diperbuat daripada tembaga berkilau cantik di rak hiasan mencuri tumpuan sesiapa saja.
Menggamit lagi nostalgia, basikal klasik menjadi ikon utama di restoran itu yang sengaja diletakkan di luar pintu masuk. Mengimbangi konsep tradisi, set meja dan kerusi di restoran itu menerima pengaruh moden kontemporari.
Restoran Opah yang mampu memuatkan sehingga 60 tetamu pada satu-satu masa dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
LOKASI:
Restoran OPAH
Lot LL2.90 Lower Level 2
Sunway Pyramid
Petaling Jaya (sayap baru Marrakesh)
Tel: 03-56221019
Menu Pilihan i-Kon:
Aneka Sup
- Sup Sayur Asam
- Sup Tetel Jambi
Pembuka Selera
- Otak Otak Daun Kelapa
- Seleksi kerabu dan Sambalan
Pencuci mulut
- Lompat Tikam
- Pisang Dadih
- Ais Kepal Berbuah
Gulai Kampung
- Gulai Tetel Tempoyak Dengan Petai
- Gulai Nenas Ikan Talang
- Gulai Lemak Ayam Kampung
- Gulai Daging Kawah
- Gulai Asam Pedas Ekor
Opah Klasik
- Pencok Ayam
- Kambing Gajus Berempah
- Daging Rawon
- Ikan Kembung Kukus Air Asam
- Rendang Opah