Oleh Nor Affizar Ibrahim
Rekaan Che Che New York tampil kelainan
BUKAN sekadar fesyen beg tangan yang boleh digayakan untuk melawa atau menjadikan penampilan anda menarik, tetapi lebih dari itu. Keistimewaan dan tarikan tersendiri diketengahkan jenama beg tangan, Che Che New York yang pertama kali diperkenalkan di negara ini dilihat bakal mencetuskan satu lagi fenomena baru dalam koleksi rekaan beg tangan.
Inspirasi kerja seni yang diperincikan dalam rekaan jenama beg tangan itu membangkitkan rekaan segar dan sesuai dijadikan pilihan bagi anda yang inginkan kelainan serta keunikan untuk ekspresi diri.
Malah, bagi yang sudah bosan dengan label jenama beg tangan terkenal dan lazim terdapat di pasaran, mungkin bolehlah bertukar selera memiliki serta mengumpul koleksi jenama berkenaan.
Jenama dan rekaan beg tangan itu diilhamkan serta diasaskan oleh tiga beradik perempuan; Eliza, Helen dan Marilyn Cheung yang berasal dari Hong Kong. Koleksi beg tangan itu kali pertama dilancarkan di New York pada 2000 dan selepas setahun, ia diperkenalkan di Jepun serta beberapa negara Asia yang lain sehinggakan koleksi rekaan diketengahkan semakin mendapat perhatian.
Untuk pasaran di Malaysia, ia dibawa oleh Cosmos Century Sdn Bhd yang menjadi wakil pengedar tunggal di negara ini. Penggemar dan pengumpul beg tangan, pastinya lebih teruja dengan pembukaan butik pertama, Che Che New York di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
ELIZA menggayakan rekaan beg tangan yang digemari. |
Pengasasnya, Eliza dan Helen turut berada di negara ini bagi menyaksikan serta menceriakan lagi majlis pelancaran butik berkenaan.
Eliza yang menjadi tunggak utama sebagai pereka jenama beg tangan itu berkata, jenama beg itu adalah bersempena nama pertama keluarga mereka iaitu Che. Namun, kebetulan perkataan ‘Che Che’ di dalam bahasa Jepun bermaksud ‘bapa’.
“Perkataan Che juga melambangkan ikatan erat hubungan keluarga, di samping menyatakan falsafah jenama mengenai kasih sayang, kebahagiaan dan menghormati orang lain. Inilah yang menjadi kebanggaan kami dalam merealisasikan jenama ini,” katanya.
Eliza yang pernah menjadi pereka gaun pengantin secara sambilan berkata, sukar diterangkan dengan perkataan bagaimana dirinya mendapat idea bagi menghasilkan rekaan beg tangan untuk jenama itu.
Namun, katanya, secara keseluruhan ilham tercetus berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui daripada zaman kanak-kanak hinggalah dewasa selain minatnya pada sesuatu perkara dan apa saja yang berada di persekitaran. Misalnya, Eliza begitu menyayangi kucing, lalu ilham itu diterjemahkan dalam rekaan beg tangan dicipta.
Penggunaan kemewahan sulaman manik yang penuh berseni dalam rekaan beg bukan saja menampilkan hasil kerja teliti, tetapi juga menjadi identiti utama bagi menyerlahkan keistimewaan koleksi jenama itu.
Setiap koleksi beg adalah nukilan kerja seni dan rekaan turut disuntik dengan elemen feminin, moden dan keceriaan. Rekaan juga menggabungkan beberapa warna dan menggunakan pelbagai jenis material seperti kanvas, kulit dan sebagainya.
“Jahitan manik memerlukan banyak kerja dan ia agak rumit serta perlukan ketelitian. Oleh itu setiap koleksi seperti itu adalah edisi terhad. Rekaan koleksi jenama ini memang berbeza dan apabila memakainya ia menyatakan personaliti anda,” kata Eliza.
Helen yang bertanggungjawab dalam operasi perniagaan dan pemasaran berkata, cerita Che Che New York sebenarnya bermula hampir 30 tahun lalu apabila bapa mereka, Philip Cheung memiliki dan membuka kilang di Taiwan. Bapa mereka membuat dan mengeksport beg ke Amerika Syarikat.
Pada masa lapang, mereka tiga beradik turut membantu memasang, memeriksa kualiti dan membungkus beg berkenaan. Mereka kemudian membawa haluan masing-masing, tetapi tetap tidak melupakan hasrat untuk bersama-sama mencipta perniagaan keluarga yang berjaya.
Katanya, lawatan Eliza untuk berjumpa kakaknya, Marilyn di New York membawa lembaran baru. Ketika lawatan, Eliza merekacipta hadiah beg buatan tangan bagi perhiasan yang direka oleh Marilyn dan menjualnya di kedai antik prestij miliknya, sekali gus mengingatkan cita-cita awal mereka untuk bekerjasama.
Eliza kemudian balik ke Hong Kong dan melancarkan perniagaan keluarga bersama Helen. Pada 1999, kedua-duanya membuka Tussah, kedai khusus yang mempamerkan beg tangan rekaan Eliza. Langkah permulaan itu berjaya dan menarik ramai selebriti serta wanita muda yang gemarkan fesyen rekaan beg tangan unik. Kejayaan pasaran di Hong Kong membuatkan tiga beradik itu yakin jenama diketengahkan boleh di perluaskan di seluruh dunia.
“Jepun adalah negara luar pertama pasaran jenama ini dan sambutannya begitu menggalakkan. Maklum balas yang diterima masyarakat di sana menyukai rekaan jenama kami kerana ia tampak comel. Selepas itu barulah kami memasarkan ke negara lain seperti Korea, Jepun, Taiwan dan Singapura. Selepas Malaysia, kami bercadang untuk meluaskan pasaran di Indonesia,” katanya.
Helen berkata, koleksi rekaan beg itu tidak disasarkan pada golongan tertentu, sebaliknya pasaran adalah untuk semua peringkat usia khususnya yang inginkan kelainan dan mempunyai falsafah seperti sukakan keseronokan, keceriaan serta kasih sayang.
Sempena majlis pelancaran butik, jenama itu memperagakan koleksi terbaru, Musim Panas/Bunga 2008 iaitu siri Dream Wings dan Hevenly. Koleksi terkini itu mempersembahkan sentuhan ajaib bagi transformasi wanita romantik untuk 2007 kepada keriangan bidadari bagi 2008.