Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Mei 2008

Penyu 'enggan' mendarat

MELIHAT penyu mendarat dengan lebih dekat dan kini adalah sesuatu yang cukup sukar berikutan jumlah haiwan itu yang kini semakin diancam kepupusan.

Banyak faktor menyumbang kepada `keengganan' penyu untuk terus mendarat antaranya sikap manusia yang mencemari pantai, pembangunan pantai dan pulau yang tidak terancang serta perbuatan tangan manusia yang rakus terutama dalam menjadikan telur penyu sebagai makanan eksotik hingga menyebabkan usaha memulihara haiwan itu menjadi sia-sia.

Tetapi walau apa pun alasannya, usaha untuk memastikan penyu terus hidup dan menjadi antara daya penarik Malaysia perlu diteruskan bagi memastikan ia terus kekal dan dikenali generasi akan datang serta tidak menjadi sejarah.

Bagi memastikan kesinambungan hidupan prasejarah itu berterusan, kerajaan melalui Jabatan Perikanan sudah mewujudkan beberapa kawasan untuk dijadikan santuari penyu bagi memastikan ia terus dipulihara dan tidak terus dianam kepupusan.

Pelbagai usaha dijalankan termasuklah melalui program gotong royong kawasan pantai berhampiran santuari bagi mewujudkan persekitaran yang selesa kepada penyu untuk terus mendarat dan bertelur di kawasan yang sudah digazetkan sebagai santuari.

Di Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah misalnya, aktiviti gotong royong membersihkan kawasan pantai adalah satu antara cara yang digunakan untuk mendekatkan masyarakat dalam memupuk kesedaran memulihara dan memelihara persekitaran pantai yang memang menjadi lokasi penyu dari spesies Karah mendarat.

Acara yang menjadi program tahunan pusat itu saban tahun disertai ratusan sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Dikenali sebagai sebagai Program Gotong Pantai atau akronimnya Goro, program pembersihan pantai itu untuk merapatkan komuniti kini diberi nafas baru dengan nama Program Gotong Royong `Mari Gok Cakne Penyu Kite'.

Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd Nawi, berkata Ma' Daerah adalah satu daripada kawasan pendaratan penyu agar yang diwartakan sebagai kawasan santuari penyu selain Pulau Redang dan Pulau Perhentian kerana persekitaran dan pantainya terlindung dan belum tercemar dengan sebarang aktiviti pembangunan.

"Gotong royong ini diadakan bagi memastikan kawasan pendaratan penyu di sepanjang 1.7 kilometer di pantai Ma' Daerah dapat dibersihkan sekali gus memberikan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai bagi menggalakkan kunjungan penyu," katanya.

Munir berkata, di Pusat Santuari Penyu Ma' Daerah yang beroperasi sejak 1999 pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memelihara serta memulihara penyu daripada pupus.

Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah program pengurusan pantai penyu, pelepasan dan penetasan anak penyu, program pendidikan dan kesedaran awam serta penyelidikan.

"Selain itu, pusat ini juga menganjurkan program penjanaan implementasi termasuk program sarang angkat `Adopt A Nest', penyu angkat, cuti bersama penyu dan sukarelawan penyu selain program utama iaitu pemantauan populasi," katanya.

Bagi Pegawai Program WWF Ma`Daerah, Rahayu Zulkifli, kesedaran terhadap usaha memastikan populasi penyu kini semakin meningkat dengan bertambahnya penyertaan dari kalangan masyarakat setempat terutama sekitar Kemasik, Kertih dan Chukai.

Katanya, jika sebelum ini kunjungan yang diterima adalah khusus daripada sukarelawan yang berdaftar, kini pusat ini sudah dibuka kepada orang luar bagi mendedahkan mereka kepentingan memulihara kepupusan penyu.

"Pada Mei depan, WWF dan pusat ini akan mengadakan program khusus untuk masyarakat tempatan yang sebelum ini kurang didedahkan dengan usaha yang dilaksanakan.

"Ia adalah program pertama membabitkan penyertaan masyarakat tempatan kerana sebelum ini ia hanya disertai agensi kerajaan, pelajar dan badan korporat," katanya.

Sementara itu, peserta yang ditemui berkata program dianjurkan mampu memupuk dan menyuntik semangat untuk sama-sama memulihara ekosistem penyu daripada terus diancam.

Bagi penuntut Kolej Taylor, Petaling Jaya, Adeline Tay, 16, program dianjurkan sangat berkesan untuk memupuk kesedaran di kalangan generasi muda yang selama ini kurang didedahkan dengan kepentingan memulihara reptilia prasejarah itu.

"Ini pertama kali saya menyertai program ini dan saya amat berharap untuk melihat dengan lebih dekat penyu mendarat untuk bertelur kerana sebelum ini saya hanya melihatnya melalui dokumentari televisyen sahaja," katanya.

Rakannya, Siddik Kadir, 17, berkata program itu bagus dalam memberikan pendedahan terutama kepada pelajar dalam sama-sama memastikan penyu tidak terus diancam kepupusan.