Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Jun 2008

Analisis isu bahasa Inggeris kena telus


Oleh Norliza Abdullah

Pengkaji pertikai keberkesanan dasar pendidikan sains, matematik di sekolah

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak enam tahun lalu membawa kesan positif, terutama bagi mereka yang menggunakan bahasa antarabangsa itu dalam kehidupan harian.

Malah, penggunaan bahasa yang objektif utamanya merapatkan jurang pendidikan antara anak bandar dan rakan mereka di luar bandar menjadi instrumen penting dalam mengukur jurang pencapaian kedua-dua golongan ini.


Sejak dilaksanakan lalu, banyak kajian ilmiah dilaksanakan dalam mengenal pasti sejauh mana keberkesanan penggunaan bahasa antarabangsa itu pada peringkat sekolah, sama ada rendah mahupun menengah.

Keputusan Perdana Menteri pada ketika itu mengubah dasar penggunaan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris bagi kedua-dua subjek berasaskan sains dan teknologi pada 2003 dengan alasan dunia sains dan teknologi peringkat global banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Rasionalnya, keputusan itu wajar dan ada logiknya. Namun, bagi Tokoh Pendidik, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, pandangannya begitu berbeza dan mempunyai alasannya tersendiri.

Beliau secara peribadi berpendapat, pada peringkat awal proses memperkenalkan Sains dan Matematik, bahasa adalah instrumen penting. Jika bahasa Inggeris digunakan, tetapi penggunaannya sendiri tidak difahami golongan sasar pastinya gagal memberi kesan.

Murid tidak faham bahasa, guru terpaksa menjelaskan beberapa kali, proses penerangan mengambil masa, bagi murid yang cemerlang dan bijak mereka lebih mudah menerima. Tetapi, pakar mendapati golongan murid yang cerdik ini hanya mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan mereka.

Penggunaan bahasa Inggeris kata beliau, seolah-olah menidakkan hak murid Melayu di kawasan pedalaman dan Orang Asli untuk mengikuti subjek Sains dan Matematik dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu.

Beliau yang mendapat pendidikan awal dalam bahasa Inggeris berkata, dia bukan antibahasa penjajah, tetapi rasionalnya penggunaan itu membantutkan minat sebahagian besar murid, terutama di kawasan luar bandar untuk mengikuti mata pelajaran dalam bahasa yang mereka mudah fahami.

Jika setakat peringkat sekolah rendah, Dr Isahak berkata, wajar penggunaan bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik diteruskan. Ini memudahkan, selain memberi peluang sebahagian besar murid di kampung dalam memupuk minat mereka terus mendalami kedua-dua subjek berkenaan.

Jika pada peringkat awal murid di kampung dan penempatan Orang Asli gagal dipupuk semangat mencintai kedua-dua subjek berkenaan disebabkan kekangan bahasa, keadaan itu terus membantutkan usaha kerajaan merapatkan jurang pendidikan antara murid bandar dan luar bandar.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini boleh dikatakan relevan pada peringkat tinggi, iaitu membabitkan kajian serta penyelidikan di institusi pengajian tinggi.

Kita ambil contoh, pelajar aliran Melayu yang berpeluang melanjutkan pengajian ke Jerman, Perancis dan Jepun, malah ke beberapa negara bekas komunis seperti Ukraine yang menggunakan bahasa ibunda dalam bahasa pengantar.

Boleh dikatakan semua yang dihantar itu mampu menguasai bahasa berkenaan dalam tempoh beberapa bulan, walaupun masing-masing daripada aliran Melayu.

Walaupun pada peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar menggunakan bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, segala pengetahuan serta pemahaman serta konsep sains dan matematik yang dikuasai dalam bahasa Melayu sepanjang tempoh 10 tahun di sekolah berjaya diadaptasi dengan mudah di sebalik berlaku transisi bahasa.

Dr Isahak dalam kajian ilmiahnya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati, 83 peratus daripada murid di semua penempatan seluruh negara meluahkan kesukaran mempelajari sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003.

Hasil kajian mendapati 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Guru mengambil inisiatif lebih menerangkan semula dalam bahasa Melayu dengan harapan muridnya yang lemah bahasa Inggeris memahami apa yang hendak disampaikan.

Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort, iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Ini diikuti pada Julai juga 2007 membabitkan seramai 636 dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan murid 1,703 murid Tahun Lima di 28 sekolah rendah.

Selain kajian UPSI menunjukkan kegagalan PPSMI meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik, pengkaji lain sebelum ini juga menunjukkan hasil sama.

Terdahulu sekumpulan penyelidik juga dari UPSI diketuai Zainuddin Bikum pada 2004 juga menunjukkan hasil sama.

Antara pengkaji lain yang mengenal pasti kesan negatif pelaksanaan PPSMI ialah Prof Madya Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003 dan Prof Juriah Long juga dari UKM menerusi dana penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ternyata semua hasil penyelidikan sepanjang tempoh lima tahun bermula 2003 mendapati, tinggi peratus murid Melayu dan Orang Asli sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pelajar Melayu lebih mudah memahami dan berfikir konsep kedua-dua subjek yang teknikal dalam bahasa yang lebih mudah mereka fahami. Rata-rata guru sendiri lebih mudah dan selesa menerangkan serta menghurai panjang lebar dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Mengulas kenyataan pihak pelaksanaan dasar yang mendakwa pelaksanaan PPSMI diterima murid luar bandar dan berjaya serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, Isahak berkata, ia boleh dipertikaikan kerana realitinya kajian mendapati PPSMI sama sekali gagal mencapai matlamat.

Berdepan dengan realiti ini, beliau berkata, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) perlu lebih telus dalam analisis serta laporannya setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

Jika keputusan menunjukkan prestasi murid luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik mencatatkan peningkatan membanggakan, ia wajar dipertikaikan kerana dikhuatiri wujud kekeliruan di kalangan masyarakat umum kerana kajian mendapati murid gagal menguasai subjek, tetapi keputusan peperiksaan MPM menunjukkan prestasi baik.

Berdasarkan hasil kajian pelbagai pihak, beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji semula dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah.

Malah, guru dan pelajar di negara ini sudah pun menguasai bahasa Melayu secukupnya untuk lebih mudah mengajar dan mempelajari konsep dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Melayu.

Dengan itu asas kedua-dua subjek akan lebih kukuh untuk mereka terus belajar kedua-dua mata pelajaran penting. Murid akan lebih mudah mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada peringkat atas jika asas kedua-dua subjek berkenaan kukuh pada peringkat sekolah.

Pengkaji menyaran supaya penguasaan bahasa Inggeris ini boleh dilaksanakan menerusi peruntukan masa lebih bagi subjek berkenaan di sekolah rendah. Dalam proses pengajaran bahasa Inggeris, unsur Sains dan Matematik, Sejarah, Geografi boleh dimasukkan sebagai bahan.

Kaedah itu membolehkan murid belajar serentak kemahiran berbahasa Inggeris dan kandungan ilmu untuk memperkembangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks pelbagai disiplin.

Hasil kajian ini sudah dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada Konvensyen Pendidikan Nasional berlangsung di UPSI, baru-baru ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya mengalu-alukan kajian ilmiah daripada pelbagai pihak dalam mengenal pasti keberkesanan sesuatu polisi yang dilaksanakan kerajaan.

Malah, beliau berkata, semua hasil kajian menjadi penanda aras serta garis panduan kepada kerajaan untuk menghentikan atau meneruskan sesuatu dasar bagi memastikan pelaksanaannya dapat dimanfaatkan semua pihak dalam merapatkan jurang pendidikan murid bandar dan luar bandar.

Kini, katanya kementerian masih meneruskan dasar sedia ada dan keputusan UPSR tahun ini menjadi penentu sama ada PPSMI disemak semula atau sebaliknya.

Pencapaian murid kumpulan pertama menggunakan dasar itu dalam peperiksaan UPSR akan menjadi penanda aras bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah.