SHAMSIAH Fakeh yang lahir dalam keluarga yang kuat dengan pegangan agama pada 1924 melalui pahit getir kehidupan sebagai anak daripada keluarga miskin, tetapi tetap mementingkan pelajaran sehingga dihantar belajar ke Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang, Sumatera Barat, selama dua tahun.
Sekembalinya ke tanah air pada 1940 ketika negara masih dihimpit kesengsaraan politik akibat penjajahan orang luar, Shamsiah terbelenggu dengan perkahwinan yang tidak membawa kebahagiaan meskipun mendapat restu keluarga kerana suami yang tidak menghayati erti hidup berkeluarga menurut hukum agama mahupun adat Melayu.
Kegagalan dalam dua perkahwinan awalnya membakar semangat juangnya untuk hidup bukan saja sebagai individu berguna, tetapi juga kepada bangsa dan negara sehingga nafas perjuangan memerdekakan negara daripada cengkaman penjajah berakar umbi dalam diri.
Meskipun tercampak jauh ke Tanah Besar Negeri China, Shamsiah bersama-sama suami, Ibrahim Mohamad, berjaya mengendalikan hidup di negara orang sehingga tiga daripada empat anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Shamsiah yang dilucutkan keanggotaannya daripada Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1968 dan melalui detik sukar menjalani tahanan rumah selama dua tahun sehingga pengawal yang bertugas di kediamannya turut melihatnya keluarga dengan pandangan serong.
Wanita ini meneruskan kehidupan sebagai orang biasa di Beijing diiktiraf sebagai individu yang diberi perlindungan politik dan tidak berwarganegara dengan meneruskan kehidupan dengan bekerja di kilang besi di bandar terbabit selain turut memberi khidmat kepakaran bahasa Melayu kepada Radio Beijing serta Institut Bahasa Asing Beijing.