Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Hayati titah Sultan Perak


saya termenung sejenak apabila membaca titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mengingatkan rakyat supaya jangan menguji dan mencabar isu-isu berkaitan agama Islam hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.

Titah baginda itu dengan jelas menunjukkan keprihatinan pihak istana terhadap kedudukan umat Islam dan orang Melayu yang kini agak tergugat berikutan keputusan pilihan raya umum lalu.

Tanpa mahu berpolitik, orang Melayu seperti saya merasa gusar dan bimbang apabila melihat telatah sesetengah pemimpin-pemimpin Melayu dalam memperjuang dan mempertahankan isu berkaitan Islam.

Ada sesetengah mereka demi kepentingan politik, seolah-olah membiarkan sahaja soal Melayu dan Islam itu diperkotak-katikkan.

Saya bimbang jika pemimpin Melayu seumpama ini tidak sedar sudah pasti masa depan orang Melayu dan umat Islam berada dalam keadaan bahaya.

Saya tidak berhasrat untuk bermain dengan isu perkauman tetapi saya hanya melahirkan kebimbangan dari hati yang tulus apabila melihat hari demi hari ada sahaja isu yang dimainkan oleh pihak berkenaan mencabar agama Islam dan kepentingan Melayu.

Apa yang berlaku di Perak dan Selangor sudah menjadi bukti betapa pemimpin-pemimpin Melayu yang memimpin kerajaan negeri tidak mampu berbuat apa-apa dalam memenuhi tuntutan rakan politik mereka.

Demi menjaga hubungan dengan sekutu mereka, banyak sekali hal-hal berkaitan orang Melayu yang dipinggirkan.

Lebih daripada itu, pihak-pihak tertentu mula mengemukakan satu demi satu tuntutan yang seolah-olah cuba menunjukkan bahawa merekalah yang berkuasa.

Oleh itu titah Sultan Perak tersebut harus menjadi renungan kepada orang Melayu bahawa jangan kerana politik segala-galanya digadaikan.

Tidak perlulah terlalu hendak menjaga hati rakan sekutu sehinggakan kalau orang Melayu dan Islam tergugat pun kita tidak berbuat apa-apa dengan alasan 'pakatan'.

Saya berharap, pemimpin-pemimpin Melayu yang masih sanggup bekerjasama dengan pihak-pihak cauvinis ini sedar bahaya yang menanti.

Jangan sampai nanti, di masa akan datang, kita hanya menang sorak sedangkan kampung tergadai.

Fikirlah dengan semasak-masaknya sebelum melakukan apa-apa tindakan yang boleh merosakkan orang Melayu dan umat Islam.

Biarlah apabila kita meninggal dunia esok, anak cucu menziarahi kita untuk mendoakan kesejahteraan kita di alam barzakh dan bukannya menyumpah kita akibat kealpaan dan kegagalan kita untuk mempertahankan hak orang Melayu dan Islam.

Selain itu, saya juga berharap parti-parti dan NGO bukan Islam memahami titah Sultan Perak bahawa ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara mungkin tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

Golongan berkenaan perlu menjadikan titah baginda itu sebagai peringatan agar mereka tidak membangkitkan perkara yang boleh dianggap bermain dengan api.

Sejarah dunia telah membuktikan bagaimana isu agama amat sensitif dan boleh meletakkan sesebuah negara menjadi huru-hara, justeru sebelum terlambat berhati-hatilah.