ALANGKAH bertuahnya menjadi penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekarang ini. Segala kemudahan ada di depan mata dengan suasana penginapan juga amat selesa.
Jika dibandingkan dengan generasi IPTA dulu-dulu, keistimewaan yang dinikmati oleh mahasiswa di zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini amat pelbagai.
Mereka tidak perlu lagi mengetuk mesin taip untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Segala tugasan dapat disiapkan dengan cepat, kadang-kala tidak perlu menjenguk perpustakaan lantaran segala maklumat boleh dicapai di hujung jari.
Mahasiswa sekarang ini juga tidak perlu menunggu giliran menggunakan komputer di makmal-makmal komputer kerana masing-masing mempunyai komputer riba sendiri.
Mungkin kerana taraf hidup rakyat Malaysia yang semakin meningkat, maka kita dapat melihat ramai penuntut universiti yang memiliki kenderaan sendiri sekurang-kurangnya motosikal atau kereta Kancil.
Keadaan itu jauh berbeza dengan 'kemewahan' mahasiswa pada 1970-an hingga awal 1990-an di mana kemudahan yang dinikmati amat terbatas. Berjalan kaki atau menaiki bas adalah pemandangan biasa tidak kira hujan, ribut atau panas terik, semuanya diredah.
Peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, kerajaan negeri atau yayasan pendidikan cukup-cukup untuk menyara hidup di kampus.
Jika kursus yang dipilih memerlukan buku-buku rujukan yang mahal harganya, maka bajet untuk kegiatan-kegiatan lain terpaksa dikurangkan.
Namun kualiti graduan yang lahir pada zaman tersebut tidak kurang hebatnya. Perit jerih menyelongkar segala khazanah di perpustakaan universiti kerana tiada kemudahan Internet ketika itu mengajar mahasiswa untuk lebih menghargai ilmu.
Pada tahun-tahun tersebut juga, mahasiswa tidak pandai untuk berbangga dengan apa sahaja produk berjenama luar negara. Ketika negara hebat dilanda fenomena makanan segera Mc Donalds dan Kentucky Fried Chicken, penuntut universiti awam masih selesa dengan makanan di kafetaria dan gerai-gerai.
Biar pun menuntut di Petaling Jaya misalnya, restoran Mc Donalds dan KFC terletak sepelaung cuma, namun ia tidak menjadi tempat mahasiswa berkampung, sesekali teringin barulah tampak mereka menjenguk muka.
Lebih penting lagi pada tahun-tahun tersebut, golongan mahasiswa amat kental semangat mengangkat martabat bangsa. Semacam menjadi pantang besar angkatan mahasiswa ketika itu untuk mengagung-agungkan produk luar negara.
Apatah lagi untuk membenarkan premis seperti itu beroperasi di dalam kawasan kampus tidak sama sekali.
Bagi mereka tiada apa yang hendak dibanggakan dengan mengunjungi restoran makanan segera seperti itu kecuali menunaikan keinginan yang datang sekali-sekala.
Maka pada tahun-tahun tersebut lahirlah kelompok graduan yang sehingga kini boleh dinilai tahap jati diri serta semangat mereka untuk mencintai agama, bangsa dan negara.
Imbauan serta perbandingan zaman mahasiswa dulu dan kini bukan bertujuan memperlihatkan kelebihan atau kekurangan mana-mana pihak.
Cuma apabila Kementerian Pengajian Tinggi membuat keputusan memberi kebenaran kepada kafe francais seperti Starbucks, kopitiam dan Dunkin Donuts membuka premis mereka di pusat tumpuan pelajar di IPTA, nostalgia kehidupan di kampus muncul secara automatik.
Apatah lagi apabila ada juga pihak yang menyokong idea itu bersandarkan kepada kemudahan jalur lebar Wi-Fi yang disyaratkan disediakan oleh premis tersebut untuk dimanfaatkan oleh para penuntut IPTA.
Pengusaha premis itu juga disyarat memberi subsidi kepada penuntut kerana harga minuman dan makanan yang dijual agak mahal.
Sememangnya untuk jangka pendek, serta menggunakan hujah akal yang pendek, rasional kebenaran tersebut hanyalah kerana Wi-Fi selain premis tersebut boleh menjadi medan perbincangan di kalangan para penuntut IPTA.
Terfikir juga berapa banyakkah premis seumpama itu perlu dibuka supaya mampu melimpahkan manfaatnya kepada pelajar yang bilangannya bukan sedikit.
Setiap IPTA menawarkan kemudahan tempat untuk para penuntutnya mencambah minda baik berbentuk akademik mahu pun untuk tujuan-tujuan lain seperti rekreasi.
Selain itu, semua orang maklum kebanyakan IPTA kini telah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, malah ada di antaranya menawarkan liputan yang hampir menyeluruh.
Amat diyakini dalam tempoh setahun dua ini perkhidmatan jalur lebar di IPTA akan mencakupi seluruh kawasan kampus - ketika itu Starbucks, kopitiam dan Dunkin Donuts menjadi apa?