Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Menguji ketahanan generasi baru

Oleh MOHD MAHZAN AWANG

HARI ini, dengan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu ekoran daripada perubahan iklim global dan ketidakseimbangan politik dunia, negara-negara kecil termasuk Malaysia berdepan dengan situasi merisaukan dalam banyak aspek. Maka, banyak suara menuntut agar jalan keluar disegerakan.

Kerajaan telah diasak dengan pelbagai idea demi memulihkan situasi ini. Ada sesetengahnya diambil kira oleh kerajaan dan ada juga yang memerlukan kajian mendalam. Perlu disedari bahawa dalam usaha menyelesaikan masalah ini, tidak semua cadangan dan idea yang dikemukakan adalah berkesan.

Umpamanya idea rampasan kuasa tentera demi keamanan di Selatan Thailand yang dilihat sebagai idea yang bernas nampaknya tidak begitu berkesan apabila kekacauan di wilayah itu masih berterusan. Begitu juga dengan idea pemulihan ekonomi di Indonesia yang telah menyaksikan pertukaran demi pertukaran presidennya.

Justeru, generasi muda perlu bersabar dalam menghadapi keadaan yang tidak menentu ini. Perubahan mendadak kenaikan bahan api turut menuntut perubahan sosio-budaya generasi baru masyarakat Malaysia. Situasi seperti ini telah dilalui Malaysia pada era krisis kewangan antarabangsa, 1990-an.

Ketika itu, idea mengubah gaya hidup menerusi mengutamakan keperluan daripada kehendak mula dicanang dengan hebat. Malah, banyak juga yang baru hendak berjinak dengan perniagaan kecil-kecilan demi menampung kos hidup. Hairannya adalah ramai yang mula melibatkan diri dalam perniagaan ketika kesempitan hidup dan bukannya ketika senang yakni sewaktu ada modal kewangan.

Walhal, ketika dalam kesempitan modal pusingan amat kecil dan kuasa beli pengguna juga rendah. Mungkinkah kita lupa untuk merancang kerana berada dalam zon selesa yang meletakkan urusan poket kita di tangan dasar kerajaan semata-mata? Atau generasi baru lebih gemar bersahaja dalam merancang masa depan?

Keadaan ini nampaknya mempunyai perbezaan yang ketara dengan generasi lalu yang sentiasa merancang dan berusaha untuk mencari jalan keluar tanpa rasa jemu dan putus asa yang akhirnya melepaskan kita daripada dibelenggu penjajahan.

Amat perlu bagi generasi hari ini untuk mendepani cabaran masa depan demi kelangsungan hidup.