TUNJUK perasaan ribuan mahasiswa yang bertukar ganas di depan bangunan Parlimen untuk menentang langkah kerajaan menaikkan harga minyak dikatakan turut "ditaja" oleh anggota dewan.
Badan perisik negara tidak menolak ada anggota parlimen yang menjadi dalang dalam tunjuk perasaan mahasiswa itu.
Ketika tunjuk perasaan berlangsung, dewan juga sedang membahaskan sama ada perlu pemerintah mengkaji semula kenaikan 33 peratus harga minyak kira-kira dua bulan lalu.
Apa yang menarik, hanya 127 ahli parlimen, semuanya dari Parti Golkar dan Parti Demokrat yang menolak langkah pemerintah memberikan penjelasan dan mengkaji semula harga bahan bakar.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) adalah dari Demokrat sementara Naib Presiden Jusuf Kalla (JK) ialah Presiden Golkar.
Dalam pungutan suara itu, seramai 233 ahli parlimen pula mengundi bagi menyokong supaya pemerintah memberikan penjelasan sebab strategis kenapa minyak dinaikkan.
Wakil Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Damai Sejahtera (PDS) yang pada mulanya menyokong pemerintah, menyertai parti pembangkang - Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDIP), Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Bintang Pelopor Demokrasi (BPD).
Beberapa menteri kabinet yang dilantik oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dari parti yang menyokong pemerintah dalam dilema berikutan keputusan yang dibuat oleh wakil-wakil PKS dan PPP pada pungutan suara di Parlimen Selasa lepas.
Pemerhati politik mendakwa pemimpin parti yang menyokong pemerintahan SBY-JK telah bermain " kayu tiga" dan tidak beretika.
Ada yang mahu menteri-menteri dari parti itu digugurkan dari kabinet kerana "menentang " keputusan pemerintah dalam menaikkan harga minyak.
Pemimpin parti PKS, Tifatul Sembiring menegaskan PKS tetap menyokong pakatan yang dibentuk oleh SBY-JK, namun parti itu memberi ruang kepada ahli parlimen dari PKS untuk memberikan kritik yang membina kepada pemerintah.
Membantah pemerintah menaikkan harga minyak bukan untuk menjatuhkan pemerintahan SBY-JK, katanya seperti mana yang disiarkan oleh Media Indonesia.
Golkar yang konsisten dalam menyokong kenaikan harga minyak turut menyokong agar menteri dari parti yang menentang supaya digugurkan dari kabinet Susilo.
Bagaimanapun menteri-menteri berkenaan memberi alasan bahawa hak mutlak presiden untuk melantik dan menggugurkan mereka kerana politik dan urusan dengan pemerintah dua bidang yang berbeza.
Tindakan ahli parlimen yang menyokong pemerintah, tetapi pada masa yang sama menentang isu kenaikan harga minyak ini memperlihatkan wujud keretakan dalam pakatan atau gabungan parti pemerintah menjelang pilihan raya 2009.
Kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada majoriti rakyat dan sudah pasti ahli parti mahu mendapatkan semula sokongan rakyat (pengundi) pada pilihan raya akan datang.
Perubahan haluan oleh anggota parlimen sewaktu pemerintah memerlukan sokongan, sudah tentu mengecewakan parti Golkar dan Demokrat yang berhasrat untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan selepas pilihan raya tahun depan.
Tekanan rakyat dan demonstrasi mahasiswa minggu lalu menyebabkan segelintir ahli parlimen yang menyokong dasar pemerintah menukar haluan.