Oleh Siti Nur Almizan Aripin
![]() TUMIT kaki punca segala penyakit. |
Masyarakat lama percaya amalan urutan tapak kaki sebagai kaedah menjaga organ dalaman, alat sulit wanita
BUKAN hasrat pemilik Arabic Beauty House, Siti Khadijah Al’Jahsyi untuk meminggirkan teknik urutan tradisional Melayu tapi berbekalkan pengalaman tinggal di Jakarta, Indonesia ketika suami bertugas di sana suatu waktu dulu membuatkan beliau terbiasa dengan urutan tradisional tanah Jawa itu.
Malah, bagi wanita kelahiran Singapura ini, kesukaran mendapatkan rawatan urutan ‘kelas pertama’ setanding ketika dia berada di negara itu membuatkan Siti Khadijah nekad membuka pusat kecantikan dengan menawarkan teknik urutan tradisi Indonesia selain rawatan moden serta tradisi lain.
“Rahsia urutan tradisi ini adalah pada bahan yang digunakan iaitu losyen sireh dan minyak aromaterapi. Bahan alami ini dipercayai tidak mempunyai sebarang campuran bahan kimia merbahaya untuk kulit malah kehangatan yang dihasilkan juga diyakini dapat membantu menyingkirkan lemak.
“Wanita pertengahan usia dan sudah berkahwin disarankan mencuba rawatan urutan tradisi ini kerana ia dibuat menyeluruh sehingga segenap penjuru badan selama sejam tanpa henti,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.
Urutan yang dibuat dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki ini dimulakan dengan urutan pada bahagian kepala, tangan dan diteruskan ke payudara, punggung dan sekitar alat sulit wanita.
![]() |
URUTAN pada leher dan belakang badan boleh melegakan ketegangan. |
Katanya, masyarakat lama Indonesia juga percaya dengan amalan urutan pada tapak kaki sebagai salah satu kaedah menjaga organ dalaman dan alat sulit wanita. Justeru, pelanggan turut diberi urutan pada tapak kaki untuk melancarkan perjalanan darah selain membantu mereka merehatkan diri.
Siti Khadijah berkata, wanita yang sudah melahirkan anak juga boleh memanfaatkan teknik urutan ini jika berhasrat menambat hati suami.
“Selain membantu melegakan ketegangan otot, mengurangkan tekanan dan membentuk badan, rawatan ini boleh membentuk semula payu dara terutama selepas melahirkan,” katanya.
Istimewanya di Arabic Beauty House adalah konsepnya yang tidak membenarkan percampuran lelaki dan perempuan di dalam kawasan pusat rawatan berkenaan.
![]() |
(ATAS) URUTAN dilakukan sehingga ke hujung jari. (BAWAH) MINYAK aromaterapi dan losyen sireh membuat kulit terasa hangat dan melegakan. |
“Semua itu datang dari diri sendiri kerana dari dulu lagi saya sendiri mempunyai hobi memanjakan diri di pusat kecantikan tapi sebagai seorang wanita Muslim, saya pastinya berasa tidak selesa apabila ada lelaki lain keluar masuk ketika saya sedang menjalani rawatan.
“Walaupun pada mulanya kebanyakan suami atau teman lelaki pelanggan yang berkunjung ke sini sukar menerima konsep yang kami ketengahkan namun kini kebanyakan sudah faham malah mereka juga mengakui berasa lebih selesa dan yakin pasangan mereka selamat di sini,” katanya.