Oleh Rohaniza Idris
BILIK spa coklat di Essentia Spa, Hotel Nikko. |
Choco-licious Treat mengandungi rawatan mandi wap, urutan kaki, badan boleh redakan ketegangan dan lembutkan kulit
SEMPENA sambutan Valentine 14 Februari lalu, ramai yang ghairah memberikan coklat selain bunga untuk kekasih atau pasangan masing-masing.
Namun, kini ada cara terbaru untuk menghadiahkan coklat kepada pasangan masing-masing yang bukannya menerusi makanan tetapi dengan mandian dan scrub coklat.
Mandian dan scrub coklat dikenali sebagai Choco-licious Treat ini dikendalikan Essentia Spa, Hotel Nikko yang turut mengandungi rawatan mandi wap, urutan kaki dan badan untuk meredakan ketegangan selain melembutkan dan mencantikkan kulit.
Ahli Terapi Spa Essentia, Aan Darwati berkata, coklat sebagai anti-oksida diperkayakan dengan Vitamin E mampu mengurangkan kesan penuaan pada kulit selain mengatasi masalah otot tegang.
Katanya, coklat juga memberi perasaan tenang dan baik untuk merawat kulit kusam terutama mereka yang mengalami masalah kulit kering.
“Coklat untuk scrub adalah campuran serbuk coklat hitam dengan beras pulut serta minyak pati bunga termasuk bunga kenanga yang didatangkan khusus dari Indonesia. Beras pulut direndam selama seminggu dan hanya sari di ambil dan dikisar sebelum dicampurkan bersama coklat hitam dan minyak pati,” katanya.
Coklat hitam daripada buah koko mengandungi antioksida jika di ambil dalam jumlah yang besar sangat baik bagi sistem kekebalan tubuh. Malah, ada pendapat menyatakan pengambilannya sebelum hubungan intim juga dapat menghangatkan situasi.
Coklat juga mampu mencantikkan kulit yang mana mengandungi epikatekin bagi penghasilan bahan antioksida flavonol.
Flavonol menyimpan kolesterol daripada berkumpul dalam urat darah, mengurangkan risiko membeku darah, dan memperlahankan proses menyebabkan arteri tersumbat.
Coklat hitam mengandungi lebih banyak koko berbanding coklat dalam bentuk lain yang mengandungi 95 peratus flavonol. Pakar kesihatan menyatakan coklat hitam ini mempunyai khasiat yang sama dengan buah beri dan teh hijau.
Selain itu, coklat kaya dengan magnesium yang mana boleh membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit kronik, seperti jenis kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Mereka yang kekurangan magnesium berisiko mendapat masalah kejang kaki, migrain, keletihan, hilang selera, loya dan muntah.
Kandungan kalium dalam koko pula banyak mempengaruhi tekanan darah seseorang dan zat besi di dalamnya pula dapat membantu melancarkan oksigen dari paru-paru ke otot dan organ lain. Jika badan anda kurang zat besi biasanya badan akan merasa keletihan, lenguh dan sakit kepala. Kekurangan zat besi juga berisiko menyebabkan anemia.
Rawatan mandi coklat
1. Rawatan Mandi Coklat dimulakan dengan mandi wap bagi membuka rongga kulit
2. Diteruskan dengan rawatan kaki menerusi urutan dengan minyak pati (athlete’s foot) di dalam air suam yang dicampur bunga-bungaan. Urutan dilakukan selama 10 hingga 15 minit yang mana sesuai untuk melancarkan peredaran darah yang dapat meredakan ketegangan bagi kaki yang lenguh dan sengal. Keringkan kaki dengan tuala sehingga kering
3. Kemudian, proses scrub coklat dimulakan dengan menyapukan coklat di bahagian punggung diikuti belakang badan. Coklat digosok perlahan-lahan untuk mengatasi masalah otot yang tegang serta memberikan perasaan tenang terutama bagi kulit yang kusam sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit kering.
4. Coklat yang mengandungi minyak dan garam ini kemudian disapukan pada betis dan digosok bagi melembutkan kulit di kaki.
5. Tangan juga perlu digosok dengan coklat bagi melicinkan kulit terutama bahagian siku yang sering hitam dan kering.
6. Akhir sekali, coklat disapu di dada hingga ke bahu bagi melengkapkan rawatan.
7. Selepas rawatan coklat, pelanggan akan menjalani mandian coklat dalam jakuzi yang mana serbuk coklat di campurkan dalam air suam serta minyak pati serta bunga-bungaan segar. Badan akan digosok-gosokkan dengan coklat cair untuk kesegaran tubuh
8. Selepas mandi badan akan diurut menggunakan minyak pati campuran minyak kelapa, rempah ratus dan bunga-bungaan yang banyak digunakan dalam urutan Jawa dan Bali.
FAKTA: Coklat