Oleh Salbiah Ani
Giat memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga terlontar ke China
MEMOIR Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 karya Shamsiah Fakeh melapah kehidupan peribadi bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) ini sebagai wanita dan perjuangan kemerdekaan negara daripada kaca mata seorang dalam kelompok yang dilabel kiri.
Banyak pendedahan Shamsiah khususnya tindak-tanduk parti politik pada zaman Malaya akan memancing pembaca yang kritis untuk meneliti buku setebal 142 halaman terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) berharga RM 30 senaskhah ini bagi memungkinkan mereka melihat sebahagian lagi aspek sejarah negara.
Berkemungkinan sekali tokoh yang terbabit dalam sejarah awal perjuangan kemerdekaan negara dan sudah meninggal dunia seperti Datuk Onn Jaafar, Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Muhammad, Musa Ahmad mahupun Ahmad Boestamam berkongsi jalur pemikiran yang sama dengan Shamsiah dalam menterjemah erti perjuangan.
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan pengumpulan sesetengah peristiwa dalam buku ini berhubung perjuangan memerdekakan Tanah Melayu daripada genggaman Inggeris akan memberi laluan kepada penilaian dan penulisan semula sejarah negara dalam aspek tertentu.
Pengisahan kehidupan peribadinya sebagai wanita menampilkan Shamsiah sebagai watak yang menjadi mangsa lelaki pada dua perkahwinan pertamanya, mengakibatkan tokoh ini bangkit daripada tersungkur sebagai insan malang dalam menjalani kehidupan kepada wanita mandiri sehingga rela berjuang di belantara, meskipun terpisah daripada keluarga.
Pendedahan dalam buku ini sedikit sebanyak adalah pembelaan diri pengarang yang pernah dilemparkan dengan segala macam tuduhan bagi menyelamatkan diri dan rakan seperjuangan di hutan ekoran tuduhan beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Musa Ahmad ketika mereka menyerahkan diri kepada Kerajaan Malaysia.
Shamsiah anak kepada pasangan Saamah Nonggok dan Fakeh Sultan Sulaiman, dilahirkan di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1924, dihantar melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang, Sumatera Barat selama dua tahun ketika berusia 13 tahun.
Gadis sunti itu hanya pulang ke Tanah Melayu pada 1940 ketika bahang peperangan mula menguasai negara dan kesukaran hidup mendorong bapanya, seorang penjaja kecil-kecilan mengahwinkan Shamsiah pada usia muda yang mengakibatkannya menelan kepahitan hidup sebagai isteri kepada anak orang kaya Kampung Kepis, Yasin Kina.
Yasin yang bergantung hidup kepada bapanya akhirnya menceraikan Shamsiah di luar pengetahuan wanita malang ini selepas tiga tahun (1944) dengan meninggalkannya pada waktu malam dan memaksanya pulang ke pangkuan keluarga di Kuala Pilah dalam hati yang parah kerana baru kematian anak.
Shamsiah yang sudah terdedah kepada kunjungan anggota Bintang Tiga ketika bergelar isteri Yasin dan masih buta politik pada masa kependudukan Jepun di Tanah Melayu, menerima surat propaganda Jepun untuk membentuk Asia Timur Raya daripada lelaki tidak dikenali, JM Rusdi, ketika menjanda.
Perkahwinan Shamsiah dengan Rusdi hanya bertahan lima bulan dan memaksanya kembali ke pangkuan keluarga selain hanya mengetahui identiti sebenar Rusdi adalah tali barut Jepun hanya selepas British masuk semula ke Malaya di samping kehidupan di Kampung Gemuruh banyak mendedahkannya kepada pelbagai ragam perjuangan politik tanah air.
Sekitar 1945 dan awal 1946, Shamsiah mula cergas dalam gerakan nasionalis dan memilih menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy sehingga akhirnya dilantik sebagai ketua wanita bagi mengisi tempat yang dikosongkan Aishah Ghani.
Sayap wanita PKKM yang kemudian ditukar namanya kepada Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan diharamkan di bawah Undang-undang Darurat yang diisytiharkan British di seluruh Malaya pada 20 Jun 1948, tidak mematahkan semangat Shamsiah untuk meneruskan perjuangan memerdekakan negara.
Shamsiah bersama-sama beberapa pemimpin PKMM melarikan diri ke hutan untuk menyertai perjuangan bersenjata di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) di Benta, Pahang sebelum diarahkan bergerak ke Perak bersama-sama Rejimen Ke-10 dan bertanggungjawab menerbitkan akhbar, Pencinta Tanah Air yang diterbitkan sebulan sekali.
Wanita ini dan sekutunya bergerak ke sempadan Malaysia-Thailand pada 1953, kemudian ditempatkan di jabatan propaganda serta percetakan Rejimen Ke-10, sebelum akhirnya bernikah dengan Ibrahim Mohamad, pada 1 Jun 1956 selepas sama-sama terbabit dalam urusan kerja.
Shamsiah dan Ibrahim dihantar ke China untuk belajar bagi melancarkan usaha merekrut kader di kalangan orang Melayu pada 1956 dan dilayan sebagai tetamu kehormat Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis China, tetapi mereka dipecat pada 1968 disebabkan perubahan dalam perjuangan dalaman PKM.
Shamsiah suami isteri dipindahkan dari Beijing ke Xiang Tan di wilayah Hunan pada 1972 ketika PKC sedang membuat persiapan untuk Perang Dunia Ketiga dan akhirnya mengikut jejak langkah bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad yang menyerah diri kepada Kerajaan Malaysia pada 1980.
Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dengan PKM dan Kerajaan Thailand pada 2 Disember 1989 yang menamatkan peperangan bersenjata selama 41 tahun, menggamit emosi pasangan ini untuk pulang ke tanah air bersama anak mereka, tetapi hanya terlaksana pada 1994, turut menghilangkan kegundahannya sebagai rakyat tidak berwarga negara ketika di China.