Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 Jun 2008

Yuen berbangsa tiga dalam satu


Oleh Nahar Tajri


Datuk Seri Yuen Yuet Leng

Jiwa Cina, Melayu dan India tersemai dalam diri hasil asuhan ibu bapa

SETIAP kali memulakan bicaranya Datuk Seri Yuen Yuet Leng akan menyatakan beliau berbangsa tiga dalam satu kerana jiwanya dimiliki Cina, Melayu dan India.

Perasaan itu sedia tertanam dalam dirinya sejak kecil lagi kerana dibesarkan dengan asuhan ibu bapa yang menanam rasa cinta terhadap negeri bertuah ini, malah beliau diajar untuk melakukan apa saja demi negara tercinta.


Dilahirkan pada tahun 1927, Yuen kemudiannya dibesarkan dalam suasana orang Melayu Cina dan India tidak mempunyai prejudis sesama sendiri. Masing-masing hidup seperti keluarga dan sering bantu membantu.

Namun untuk memahami apa yang tersirat daripada kenyataan itu Yuen akan membawa kita mengembara kembali ke zamannya yang pernah merakamkan peristiwa pahit manis bergelar seorang polis.

Sebagai polis Yuen amat digeruni musuhnya kerana kebijaksanaannya mengatur strategi membanteras gerakan komunis pada Era 60-an,70-an dan awal 80-an. Yuen adalah tulang belakang yang mengatur gerakan dan menyiasat dalam usahanya melumpuhkan gerakan komunis.

YUEN (tengah) bersama pegawai Cawangan Khas di Sungai Siput.

Kegerunan yang dirasai musuh setiap kali mendengar namanya itu membuatkan mereka sering mencari ruang dan peluang untuk menguburkan wira pembanteras komunis nombor satu ketika zaman darurat yang menenggelamkan keharmonian negara ini selama 12 tahun sejak diumumkan British pada 1948.

Ketika zaman darurat Yuen digeruni terutama menerusi Operation Ginger yang dijalankan dengan sangat berjaya hingga kekuatan komunis lumpuh dan ancaman mereka mula berkurangan walaupun enggan menyerah kalah.

Beliau menjadi sasaran untuk dibunuh. Ada komunis yang terang-terangan datang berjumpanya dan mempersoalkan pendirian Yuen.

“Dia kata mengapa saya Cina tak mahu bantu Cina, kenapa belot. Saya kata saya bukan belot tapi saya rakyat negara ini tanggungjawab saya adalah untuk mempertahankan kedaulatan negara ini daripada musuh. Musuh negara bermakna musuh saya

“Satu ketika semasa saya di Ipoh, saya memasuki sebuah kedai kopi untuk minum bersama rakan belumpun sempat saya duduk sebutir bom tiba-tiba meletup di luar kedai. Saya difahamkan oleh saksi ada orang lempar bom semasa saya masuk dan bom itu terkena pintu ketika ia tertutup sebelum melantun keluar dan meletup.

“Satu peristiwa lagi saya hampir ditembak dari dekat oleh seorang pengganas yang menyamar sebagai orang gila yang sedang tidur di atas pangkin. Dia tiba-tiba bangun dan mengacukan pistol tapi nasib saya baik anggota yang ada bersama saya sempat menangkapnya dan tembakan itu tersasar,” katanya.

Satu lagi peristiwa yang membuatkan Yuen tebal dengan semangat tiga bangsa dalam dirinya adalah peristiwa 13 Mei 1969.

Pada masa itu keadaan tegang apabila ada parti politik yang terlalu ekstrem selepas menang pilihan raya mula berarak dan melaungkan kemenangan mereka. Mereka melaungkan perkataan yang sensitif antaranya ‘Melayu sudah kalah’ dan ‘Melayu pergi jahanam’.

“Dalam satu peristiwa saya terpaksa menghalang pergerakan sekumpulan Melayu daripada mencetuskan huru hara. Saya dapat arahan daripada kerajaan supaya halang. Tapi dalam hati saya fikir nanti orang Melayu fikir saya musuh.

“Mahu tidak mahu saya kena teruskan. Apa yang menyentuh perasaan saya apabila kumpulan itu mara seorang anggota saya berbangsa Melayu mengangkat senjata dan mengarahkan kumpulan itu berundur.

“Salah seorang daripada ahli kumpulan itu bertanya, awak Melayu jangan halang, lalu dijawab oleh anggota saya, “Awak Melayu saya Melayu jadi habis di situ, tugas saya untuk mempertahankan negara, undur kalau tidak saya tembak,” katanya.

Peristiwa itu menjadi sejarah dalam hidup Yuen dari situ beliau mula yakin untuk meneruskan tugasnya. Itu juga salah sebab yang selalu dinyatakan Yuen “mengapa saya bangga jadi polis ketika 13 Mei.

Hari ini peristiwa itu masih kekal dalam dirinya dan ia membuktikan bahawa Yuen seorang Malaysia sejati.

“Jika hari ini berlaku peristiwa yang akan menggugat kedaulatan negara dan saya ditugaskan untuk mempertahankannya saya sanggup mati demi negara saya,” kata Yuen bersemangat.


Jadi Komunis untuk kumpul maklumat

SATU lagi peristiwa yang menjadikan Yuen istimewa adalah ketika beliau mengetuai cawangan khas untuk menyiasat pergerakan komunis.

Beliau dan beberapa pegawai bawahannya mempertaruhkan nyawa menyamar sebagai komunis dan menyusup masuk ke dalam pergerakan itu untuk mengumpul maklumat.

Apa yang masih segar dalam ingatan saya adalah saya terpaksa menipu isteri saya Choy Wan supaya beliau menjahit pakaian komunis.

“Isteri tanya saya itu pakaian apa kerana beliau tidak mengenalinya dan beliau pasti itu bukan seragam polis. Saya beritahu beliau itu pakaian komunis untuk pameran.

“Saya buat begitu kerana tidak mahu rahsia terbongkar sebab jika ia dijahit di kedai ia akan mudah dihidu oleh pengganas. Bila pakaian itu siap tiba-tiba hujan turun dan saya suruh isteri campakkan pakaian itu dalam lumpur.

“Isteri kata awak gila ke. Baru siap awak suruh kotorkan. Saya kata untuk pameran orang tak perlu tengok pakaian ini cantik nanti mereka suka dan masuk komunis.

Menurut Yuen strategi itu digunakan supaya penyamaran tidak mudah dikesan. Kalau pakaian terlalu ia dibimbangi akan membuat pengganas sangsi.

“Sampai mati isteri tidak tahu yang saya menyamar sebagai komunis dan masuk ke hutan untuk mendapatkan maklumat. Kalau dia tahu mesti dia bimbang.

“Strategi itu jugalah yang akhirnya menjadikan unit khas yang diketuai Yuen berjaya dengan cemerlang kerana mereka mempunyai maklumat yang cukup untuk bertindak. Ia juga adalah faktor utama operation ginger berjaya.

Selain itu Yuen memberitahu beliau juga pernah pulang ke tanah besar China ketika zaman pemerintahan Chiang Kai Shek ,dengan niat untuk menetapkan dan melanjutkan pelajaran seterusnya berkhidmat di sana.

“Tak sampai setahun saya di sana, saya tak dapat lupakan Tanah Melayu yang sudah begitu sebati dengan saya. Saya buat keputusan untuk pulang ke tanah air walaupun ada dipujuk untuk kekal.

“Ia berlaku pada tahun 1946. Ketika saya terniat untuk cuba melihat dan merasai kehidupan tempat asal ibu bapa dan saya dapati ia tidak sesuai untuk saya,” katanya.