Oleh Rohaniza Idris
Kain murah dan lembut juga boleh disesuaikan menjadi menarik
PEMAKAIAN tudung dan berpakaian menutup aurat tidak pernah menghalang seseorang wanita untuk tampil bergaya. Namun penampilan bertudung perlu sesuai dengan fesyen dan tidak terkeluar daripada niat menutup aurat.
Pemilihan kain tudung juga penting untuk kelihatan kemas dan menarik. Cara ikatan dan pemakaian juga penting supaya ia sesuai dengan majlis atau latar tempat dikunjungi.
Perunding Anggun Bertudung Zhulian, Siti Abidah Daud, berkata cara pemakaian dan lilitan tudung penting untuk seseorang itu kelihatan penampilan berbanding jenis kain tudung yang digunakan.
Katanya, harga dan kualiti tudung bukan faktor utama bagi penampilan gaya bertudung kerana kain yang murah dan lembut juga boleh disesuaikan dan menjadi menarik
“Asas yang penting dalam pemakaian tudung adalah anak tudung yang akan membentuk tudung yang dipakai. Tanpa anak tudung sukar untuk menghasilkan fesyen tudung yang anggun. Lagi pun dengan adanya anak tudung mudah tudung dibentuk mengikut kesesuaian muka.
“Anda boleh gunakan tudung jarang atau selendang panjang, kain kapas, jojet serta sifon untuk menggayakan tudung. Pemakaian aksesori seperti pin tudung dan kerongsang akan menonjolkan lagi si pemakai,” katanya yang mengendalikan bengkel pemakaian tudung setiap Sabtu di ibu pejabat Zhulian di Bangsar.
Beliau yang mengendalikan beberapa bengkel kecantikan serta penampilan diri terutama untuk wanita bertudung, berpendapat pilihan pelbagai gaya bertudung bukan untuk mengubah cara berpakaian, tetapi menjadikannya bersesuaian dengan keadaan.
Katanya, wanita bertudung juga tidak sepatutnya berpakaian selekeh demi mengelakkan tanggapan negatif daripada orang lain.
“Sesekali bertukar cara ikatan tudung bukan saja dapat mengelakkan penampilan yang menjemukan, tetapi turut menyerlahkan kreativiti diri dalam bergaya,” katanya.
Terkini, ramai yang menggunakan selendang panjang sebagai tudung. Namun, katanya ramai yang merungut sukar memakai selendang panjang dan menggayakannya.
FAKTA: Panduan gaya bertudung
* Untuk majlis kenduri kahwin dan majlis makan malam, cari tudung atau selendang yang agak berbeza daripada tudung biasa. Disarankan menggunakan selendang yang ada renda atau manik berlebihan.
* Pastikan ikatan tudung dilakukan dengan rapi.
* Bagi yang bertubuh besar elakkan tudung menutup bahu kerana ia menampakkan anda lebih berisi. Sebaiknya dedahkan bentuk bahu walaupun anda selesa menutup dada.
* Pilih tudung bercorak untuk disesuaikan dengan baju yang tidak berbunga begitu juga sebaliknya. Jika baju anda berbunga, pilihan tudung kosong.
* Padankan warna baju dengan tudung jika mahu tampil menarik
* Elak daripada memilih corak besar jika anda tidak mahu kelihatan terlalu gemuk.
* Bagi mereka yang kurus pula, tampilkan warna hitam atau garang manakala corak besar sedikit bagi menyeimbangkan penampilan anda supaya tidak kelihatan terlalu kurus.