KEBIMBANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap perbuatan menyebarkan fitnah yang semakin menular dalam masyarakat turut menggusarkan rakyat, lebih-lebih lagi umat Islam.
Ini kerana walaupun umum mengetahui bahawa perbuatan terkutuk tersebut perlu dihindari namun ia seolah-olah terus bersarang dalam masyarakat sehingga mencemarkan maruah diri saudara seislam dan imej negara.
Perbuatan itu diburukkan lagi dengan penyalahgunaan kemudahan penyaluran maklumat melalui internet seperti laman blog, web atau kemudahan teknologi maklumat lain termasuk sistem pesanan ringkas (SMS) yang menuduh atau memburukkan sama ada pemimpin atau individu Islam lain.
Hakikatnya, mengata atau menyebarkan sesuatu yang tidak baik mengenai saudara Islam meletakkan penyebar itu dan orang lain dalam bahaya kerana ia boleh menjuruskan kepada perbuatan fitnah.
Ini kerana daripada segi takrif fitnah itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tahukah kamu apa itu menfitnah?" Para sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: "Menfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka." Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." (Riwayat Muslim).
Menurut Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, hadis tersebut menunjukkan sesiapa yang menyebarkan keburukan seseorang, boleh terjebak dalam fitnah, mengumpat atau bercakap bohong.
"Dan bercakap bohong adalah tanda orang munafik seperti sabda Rasulullah SAW bahawa tanda orang munafik itu ada tiga; apabila bercakap dia bohong, apabila diamanahkan dia pecah amanah dan apabila dia berjanji dia mungkir janji," kata Nooh kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Beliau mengingatkan, perbuatan fitnah memberi kesan mudarat yang besar di dunia dan akhirat. Dalam surah al-Baqarah:191, Allah berfirman: "Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh." Dalam surah yang sama pada ayat 217 pula, Allah berfirman: "Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh."
Rasulullah SAW bersabda: "Dan orang yang lebih dibenci oleh Allah antara kamu ialah pertama; orang yang suka membawa fitnah, kedua; orang yang suka memporakperandakan (memecah-belahkan) di kalangan saudaranya, ketiga; orang yang suka mencari jalan atau alasan untuk melepaskan diri daripada kesalahannya (yang matlamat menghalalkan cara)." (Riwayat Ahmad).
Suatu ketika Nabi pernah lalu berdekatan dengan kubur kemudian bersabda kepada para sahabat yang bererti: "Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang diseksa oleh Allah, seorang daripadanya disiksa kerana tidak bersuci dengan betul daripada kencingnya manakala yang kedua diseksa kerana menyebarkan fitnah dan suka mengadu domba." Lalu baginda mengambil pelepah tamar yang basah, kemudian dibelah dua dan mencacakkannya pada tiap-tiap kubur tersebut.
Para sabahat bertanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah apa yang baginda tuan buat ini?" Baginda menjawab dengan sabdanya: "Semoga kerananya (pelepah) ini dapat meringankan siksaan daripada kedua-duanya selama pelepah tamar itu belum kering." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain balasan akhirat, balasan di dunia juga tersedia kepada penyebar fitnah iaitu perbuatan memfitnah dan memalukan orang lain akan terbalik kembali kepada penyebar fitnah itu kerana mencemarkan maruah seorang Islam.
Daripada Abu Barzah Aslami r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang Islam yang hanya Islam dilidah dan belum beriman dalam hati! Janganlah mengumpat orang Islam dan jangan sibuk mencari keburukannya. Barang siapa yang sibuk mencari kesalahan orang Islam, Allah akan menzahirkan keburukannya sehingga di dalam rumahnya sendiri." (Riwayat Abu Daud).
Nooh menjelaskan, punca fitnah atau mengumpat berlaku ialah pertama; orang Islam tidak beriman kepada Allah dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Kedua, mata hati telah tertutup daripada pintu hidayah, taufik dan inayah Allah. Ketiga, tidak lurus, bersih dan istiqamah iman seseorang. Keempat, hilang pertimbangan disebabkan kepentingan diri, kuasa, harta, pengaruh, politik dan sebagainya. Dan kelima, mengikut telunjuk iblis serta hawa nafsu serakah.
Akar umbi prilaku fitnah dan mengumpat apabila terdapatnya sangkaan-sangkaan yang buruk dan apabila sangkaan itu wujud maka terdapat kemungkinan untuk mengintip atau mencari keburukan seseorang dan apabila menjumpai keburukan maka akhirnya dilakukannya pula mengumpat dan memfitnah.
Dalam surah al-Hujuraat: 12, Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain."
Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhi lah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."
Ulama menafsirkan bahawa mengumpat dikatakan sebagai memakan daging orang yang telah mati, membawa maksud bagaimana daging manusia yang disiat-siat mendatangkan kesakitan dan penderitaan yang amat sangat, begitulah perumpamaan mengumpat yang akan menyakitkan hati orang lain.
Tetapi oleh kerana telah menjadi mayat maka si mati tidak merasai kesakitan sedikit pun. Begitulah dengan mengumpat ini, selagi orang yang diumpat itu tidak mengetahui, selagi itu dia tidak merasai sakit hati sedikit pun.
Sebab itu, kata Nooh, sangkaan buruk boleh menjurus kepada fitnah dan mengumpat, maka amat perlu untuk menanamkan dan menyemai perasaan bersangka baik dan berlapang dada terhadap saudara seislamnya kerana maruah orang Islam amat mulia, tidak boleh sekali-kali dicemari.
Sifat bersangka baik boleh ditimbulkan antaranya dengan kita membayangkan jika diri sendiri berada di tempat orang yang diumpat atau difitnah bagaimanakah perasaan kita? Selain itu, bersangka baik bermula dengan beranggapan bahawa lebih baik melihat dosa dan kekurangan diri sendiri yang perlu diislahkan dan memikirkan apakah nasib diri di akhirat, kelak.
Dalam sebuah hadis, Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah SAW melihat ke arah Kaabah lantas bersabda: "(Dengan rasa takjub) Lailaha illallah. (Wahai Kaabah!) Betapa sucinya engkau, betapa wanginya bauanmu dan betapa tingginya kehormatanmu (tetapi) kehormatan seorang mukmin adalah lebih tinggi daripada kehormatanmu, sesungguhnya Allah menjadikanmu dengan penuh kehormatan, begitu juga dengan harta seorang mukmin, darahnya dan kehormatannya yang tinggi dan patut dimuliakan. (Oleh kerana itu) maka haram seseorang itu bersangka buruk kepada seorang muslim yang lain." (Riwayat Tabrani).
Daripada Muawiyah r.a berkata: "Aku mendengar Rasulullah bersabda: "Jika kamu mencari keburukan orang, maka kamu telah merosakkannya." (Riwayat Abu Daud).
Hadis itu bermaksud apabila seseorang itu mencari keburukan orang lain maka akan timbul sifat benci dan sangka buruk terhadap orang itu.
Dan akhirnya banyak keburukan lain boleh wujud kerana kemungkinan besar dengan mencari keburukan orang dan menyebarkannya akan menimbulkan fitnah yang lebih besar, mereka saling membenci, memandang hina dan terjerumus ke dalam dosa yang mana kesemua perkara itu boleh menambahkan kerosakan pada diri orang yang dijadikan sasaran fitnah itu.
Lebih malang lagi apabila fitnah tersebar maka kemungkinan besar perbuatan memburukkan dan caci mencaci antara sesama Islam akan turut berleluasa.
Apabila ini berlaku maka umat Islam akan gugur daripada pandangan Allah yang disebabkan itu umat Islam akan menjadi hina di dunia termasuk dipandang rendah oleh orang bukan Islam.
Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Nabi telah bersabda: "Apabila umatku mengagungkan dunia maka kehebatan Islam akan dicabut daripada mereka, apabila mereka meninggalkan amr-bil-ma'ruf dan nahi anil mungkar mereka akan diluputkan daripada keberkatan wahyu dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pandangan Allah." (Riwayat Tirmizi).
Sehubungan itu, Nooh berkata, amat penting bagi setiap umat Islam menyedari ubat penyakit tersebut boleh diperoleh dengan cara kembali menghayati al-Quran dan Sunah yang antara lain supaya setiap anggota dan pancaindera terhindar daripada fitnah dan mengumpat.
Selain itu, hendaklah umat Islam merujuk kepada nasihat ulama yang soleh jika timbul kemusykilan, tidak mempromosikan fitnah sebaliknya menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita sebagaimana Allah berfirman dalam surah al-Hujurat: 6, yang bermaksud, "Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya..."
Antara nasihat ahli hikmah, Luqman al-Hakim kepada anaknya: "Anakku, apabila datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah dicabutkan kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain.
Tidak mustahil orang yang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabutkan mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain."
Kesimpulannya, adalah jelas bahawa membendung fitnah adalah tanggungjawab setiap orang Islam dengan cara berhati-hati terhadap tindakan supaya setiap anggota tubuhnya tidak menjadi punca atau penyebab fitnah atau berita yang tidak diketahui kesahihannya itu tersebar.
Sambil menegaskan setiap manusia itu akan ditanya mengenai setiap amalannya ketika di akhirat nanti, Nooh memberi kesimpulan: "Fitnah itu adalah ibarat singa tidur yang garang dan sesiapa yang membangunkan singa itu maka dia akan memusnahkan dirinya dan orang lain akibat perbuatannya itu."