Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Julai 2008

Juadah pilihan Chef Wan



Chef Wan menunjukkan buku hasil tulisannya mengenai sajian di Aidilfitri kepada orang ramai dan wakil media.


DIAM tak diam, tidak sampai dua bulan lagi bulan Ramadan bakal menjenguk buat sekian kalinya. Tempoh itu bagi sesetengah daripada kita mungkin masih panjang, tetapi yang ‘berhutang’ puasa mungkin sudah mula kelam kabut berkira-kira bila pula mahu ‘membayarnya.’

Selain sibuk ‘membayar hutang’ puasa, ada juga yang mula menyelongkar laci mencari semula buku-buku resipi lama kerana bulan puasa dan seterusnya hari raya merupakan saat paling dinanti, untuk menunjukkan bakat memasak yang terpendam.

Apa kata kalau tahun ini mencuba resipi baru oleh tukang masak tersohor, Chef Wan melalui buku terbarunya, Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan.

Penerbitan buku itu yang mengandungi pelbagai jenis masakan daripada lauk-pauk hingga kepada kuih raya adalah hasil kerjasama antara chef selebriti tersebut bersama Avon.

Menariknya, sambil mencuba resipi baru, pembaca sebenarnya telah membuat amal kerana sebahagian daripada penjualan buku tersebut akan disalurkan kepada anak-anak yatim.

Ketua Pemasaran Avon Malaysia, Sahara Noon Mohd. Yassin, memberitahu penerbitan buku resipi itu merupakan satu lagi inisiatif oleh Avon bagi menunaikan tanggungjawab sosialnya membantu golongan kurang bernasib baik lebih-lebih pada bulan Ramadan yang mulia.

“Tahun ini, kami berhasrat untuk mengutip RM20,000 untuk tujuan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim.

“Untuk itu, sebanyak RM1 daripada setiap penjualan buku tersebut akan disalurkan kepada tabung tersebut,” jelasnya pada majlis pelancaran buku resipi tersebut di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Avon, Azlan Ismail dan Chef Wan sendiri.

Buku Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan yang bakal berada di pasaran pada September ini mengandungi 40 resipi yang dipilih oleh Chef Wan.

Lebih unik setiap resipi akan dititipkan nota peribadi oleh Chef Wan sendiri yang menyentuh tentang asal usul masakan tersebut, bahan atau perencah gantian yang boleh digunakan.

Di samping itu, turut diperturunkan petua dan panduan memasak, serta kisah peribadi yang terselindung di sebalik masakan kegemaran beliau.

Menurut Chef Wan, resipi Laksa Nyonya adalah antara resipi kegemarannya yang diwarisi daripada neneknya berketurunan Baba Nyonya.

Buku dengan reka letak dan susun atur menarik ini mengandungi tiga bahagian utama iaitu, Biskut dan Mufin, Juadah Ramadan dan Minuman.

Antara resipi menarik yang bakal menjadi kegemaran adalah Biskut Bulseye, Kepingan Jintan Manis, Kefta Bebola Daging, Sup Harira Maghribi, Kuzi Kambing dan Naga Sari .

Pada sidang media itu juga, para wartawan dan tetamu jemputan berpeluang menikmati tiga resipi hasil ‘air tangan’ Chef Wan sendiri iaitu, Sup Harira Maghribi, Makarun Badam dan Tajine Ayam Aicha.

Sementara itu, orang ramai yang berminat memiliki buku tersebut boleh mendapatkannya daripada rangkaian Butik Kecantikan Avon di seluruh negara pada harga RM19.90 senaskhah.