Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Julai 2008

Boikot akhbar bercanggah manifesto PKR

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya kecewa dengan tindakan kerajaan campuran Selangor yang memboikot penerbitan Kumpulan Utusan.

Tindakan tersebut bercanggah dengan semangat keterbukaan dan kebebasan yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Sebagai pengundi PKR, saya tersentak dengan keputusan memboikot Utusan Malaysia dan penerbitan-penerbitan lain Kumpulan Utusan.

Alasan yang digunakan di sebalik pemulauan itu juga meragukan kononnya Utusan Malaysia mengambil pendekatan perkauman.

Sebagai orang Melayu yang banyak menyokong pembangkang berdasarkan isu, saya tidak nampak akhbar tersebut patut dipersalahkan. Ia hanya melaporkan isu- isu yang berlaku.

Jika mahu diambil kira, aspek perkauman akhbar-akhbar Cina dan akhbar Inggeris tertentu jauh lebih bersifat perkauman. Tetapi disebabkan DAP bijak dan mengutamakan kaum mereka, mereka tidak pernah selama ini memboikot akhbar dan penerbitan bahasa Cina biarpun berbeza pendapat dan aliran pemikiran.

Dalam hal ini saya memuji sebahagian pemimpin Pas di peringkat nasional yang tidak mengikut tindakan para pemimpin kerajaan negeri Selangor.

Para pemimpin Pas ini tidak tunduk dengan agenda DAP untuk memusnahkan Utusan Malaysia yang selama ini mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

Mereka takut dengan keberanian Utusan Malaysia mendedahkan banyak kepincangan dan muslihat DAP-PKR. Kalau berani kerana benar, tidak perlu boikot, biarlah rakyat menilai.

Lebih menyedihkan ada rakan saya yang merupakan kakitangan sebuah majlis perbandaran dilarang membaca majalah terbitan Kumpulan Utusan di premis tempat dia bekerja. Malah, majalah itu dirampas.

Mujurlah DAP dan PKR tidak memerintah negara. Jika itu berlaku mungkin habis semua kepentingan Melayu dikuburkan dan tiada lagi kebebasan sebagaimana yang mereka laung-laungkan. Fikirkanlah.

ANTI PENGKHIANAT

Selangor