DATUK Seri Anwar Ibrahim telah mengecam Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd berikutan sikap 'membisu' pemimpin itu berhubung hak asasi di negara ini.
Menurut Anwar, Rudd, yang ada sekarang tidak 'serupa' dengan Rudd yang dikenalinya sebelum pemimpin nombor satu Australia itu memenangi pilihan raya pada November lalu.
Bagi Anwar, mana-mana negara dan pemimpin yang menyokong beliau dan bersedia mengecam dasar-dasar kerajaan Malaysia, merupakan sahabat karib beliau manakala negara dan pemimpin yang tidak menyokongnya dan sebaliknya menyokong dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini, adalah musuhnya.
Agak mendukacitakan apabila Anwar membuat kecaman itu selang sehari sebelum Rudd melakukan lawatan rasmi ke negara ini bagi memulakan era baru hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, setelah sekian lama terjejas akibat pandangan yang berbeza.
Lebih kurang manis apabila Anwar membuat kecaman tersebut ketika menghadiri temubual dalam rancangan televisyen negara itu Dateline di Canberra dan ketika Rudd sedang dalam jadual melakukan lawatan rasmi ke negara ini.
Apakah Anwar terasa kehilangan sokongan di luar negara, apabila Rudd tidak bersedia untuk menemuinya semasa beliau berada di Australia untuk menghadiri temubual televisyen itu?
Anwar juga sedar sikap 'membisu' Rudd terhadap hak asasi di negara ini menunjukkan pemimpin itu sedar kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik bagi melindungi dan memelihara hak asasi setiap individu di negara ini, hatta pendatang haram yang berada di negara ini.
Malahan Rudd sedar kerajaan Malaysia telah memberi segala hak kepada Anwar untuk mempertahankan dirinya berhubung isu liwat kali kedua yang sedang dihadapi pemimpin itu sekarang.
Sepatutnya, Anwar semasa temu bual dengan televisyen Australia itu mengambil kesempatan untuk membantu kerajaan bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara yang sudah lama 'keruh' akibat perbezaan pandangan.
Dalam hal ini, Rudd menunjukkan sikap kematangannya dalam berpolitik manakala Anwar bersikap sebaliknya kerana sanggup memburuk-burukkan imej negaranya sendiri di luar negara.
PEMERHATI
Kuala Lumpur