Inilah dongengnya seorang lelaki berjiwa besar di tengah kota. Bangsa yang tidak bermimpi, belum kenal diri, manusianya tidak berani berkhayal, hidup dalam paya kenyataan, demikian pesan Muhammad Haji Salleh dalam puisi Salju Shibuya; sebagai pembuka kata.
Pada suatu pagi, Encik Berus Kapur berhasrat untuk mengarah filem. Mukanya berseri-seri dengan hidung merah mengembang, seperti dipuji-puji oleh seseorang. Ideanya itu terbentang di atas meja restoran Itali dalam kawasan Bangsar. Aku akan mengarah sebuah filem terhebat sepanjang zaman, catatnya di atas buku nota kecil halaman pertama. Encik Berus Kapur tidak pernah mendapat pendidikan perfileman secara formal. Sejauh pengetahuannya melalui laporan di media, istilah perfileman itu bermaksud pesta permaidani merah, peragaan kostum serta skandal artis sesama sendiri.
Jadi, apa idea yang mengerak fikirannya untuk memegang kamera pula?
Encik Berus Kapur memang suka berimaginasi. Cita-cita sedari zaman kanak-kanaknya memang tinggi dan eksklusif. Pada tafsirannya, filem serupa sabun mandi atau sudu garpu. Semata-mata sejenis peralatan maya untuk berhibur kepada manusia moden sedunia. Dia tidak percaya kepada elemen-elemen seni abstrak. Hidup tidak perlu dipayahkan. Penonton filem tempatan pasti menghindari pesanan sivik mahu pun jalan cerita terlalu rumit.
Terima kasih buat Lumiere bersaudara yang genius, catat Encik Berus Kapur, seolah-olah berhadapan dengan kedua-dua tokoh pencipta kamera seratus tahun lalu. Pada matanya, terkandung seribu ilham untuk mengeksploitasikan kelebihan kamera sesuai dengan tuntutan masa. Apatah lagi selera rendah dan mentaliti kelas ketiga penonton tempatan sudah tentu memudahkan rencananya nanti. Filem yang mencapai kutipan tiket tertinggi sering dikaitkan dengan kerendahan kualiti mutunya, tulis SM Zakir dalam sebuah ulasan filem.
Kembali kepada Encik Berus Kapur yang masih duduk dalam restoran Itali sambil merenung dinding kaca tembus pandang.
Usianya sekarang sudah mencecah lima puluh tahun. Bujang. Tidak pernah dicintai oleh seorang pun wanita. Sekejap bekerja dan sekejap menganggur. Wajah di permukaan luarnya tetap tenang di sebalik kekosongan batin. Encik Berus Kapur pernah bercadang melakukan pembedahan hidung, biar kelihatan mancung menyerupai Keanu Reeves. Tetapi itu pemikiran lapuk. Encik Berus Kapur memain-mainkan batang pena, kemudian menundukkan kepala sekian lama. Merenung permukaan buku nota dan berfikir, segala di tubuhku masih asli, kecuali jati diri. Kenyataan itu tidak dicatat. Tetapi, aku sepatutnya menjadi oportunis licik, segera dicatat di atas buku nota pada halaman berikut.
Mengghairahkan
Fantasi lelaki bermuka bulat itu lebih mengghairahkan tentang objektif hidup ini berbanding keinginan rendah sebagaimana dimiliki Coco, watak dalam novel Shanghai Baby.
Setakat ini, Encik Berus Kapur masih lagi terapung-apung dengan angan-angan.
Mari kita singkap sedikit latar belakangnya. Encik Berus Kapur adalah jelmaan mengkarung berfikiran (itu personifikasi kasar penulis). Minatnya sebelum ini sentiasa berubah-ubah. Dari remaja hingga ke dewasa. Jika dahulu dia melibatkan diri dalam pergerakan parti politik untuk seketika waktu. Dari memasang bendera parti hingga terpaksa bersengkang mata sehari suntuk mengikuti siri-siri kempen. Telinga Encik Berus Kapur berdengung oleh ucapan-ucapan berapi para demagog. Encik Berus Kapur tidak ubah seperti badut sarkas. Apa sahaja yang dipakai siang dan malam, sama ada topi, seluar, baju serta jaket, pasti disematkan lencana-lencana gambar calon yang bertanding dengan cogan kata sekali.
Apabila parti yang disokongnya tewas dalam pilihan raya, manakala ahli parti mula bermigrasi ke parti-parti lain dengan tawaran jawatan lumayan. Encik Berus Kapur terduduk seketika. Fenomena itu amat menjengkelkan untuk seorang yang berjiwa nasionalis seperti dirinya. Dia semakin tidak yakin dengan perjuangan parti yang disokong. Berasa diri diperdaya hegemoni pemikiran arus utama, sedikit demi sedikit, Encik Berus Kapur menjadi seorang pembaca kritis. Dia menganalisis secara persendirian akan kemusykilan sesuatu isu. Tanpa sedar, dia semakin hanyut di tengah-tengah lautan yang hitam permukaan airnya. Dia cuba mencari kebenaran dari lumpuran media massa. Sensitiviti fikirannya diasah dengan mengikuti debat sahsiah tokoh-tokoh intelektual awam melalui pembacaan (pada laman blog atau akhbar/ majalah) atau siri perbincangan pasca pilihan raya di skrin peti televisyen.
Namun, tokoh-tokoh upahan itu tetap juga mengulang-ulang susunan retorika yang sama. Dalam bahasa bercampur-campur. Hati nurani Encik Berus Kapur menemui simpulan. Iaitu pembingkaian mentaliti sedang melanda hidup dalam bentuk huruf-huruf manis dari zaman dahulu kala lagi. Apa yang dipapar di media massa, sungguh mengeliru dan melemaskan. Tiada ruang awam, kata Jurgen Habermas. Ketika itu, dia mula teringatkan jawapan sinis Dr. Farish Noor sewaktu diwawancara dalam sebuah filem dokumentari, The Big Durian.
Rakyat tetap juga dipaksa supaya mengekalkan mentaliti tempurung.
Sebagai menzahirkan ketidakpuasan hati, Encik Berus Kapur menyerahkan peti televisyen miliknya ke sebuah asrama anak yatim lalu menjauhkan diri daripada pelbagai jenis saluran media massa serta mula menghisap rokok.
Bosan
Kemudian selang beberapa tahun, Encik Berus Kapur beralih ke bidang muzik pula. Usianya ketika itu baharu mencecah dua puluh satu tahun. Akademik terus diabaikan kerana dia bosan dengan pembawaan watak skema cendekiawan dan ingin hidup dalam zon kelabu. Berperilaku bebas dan liar seperti watak yang mendukung arahan Oliver Stone untuk filem Natural Born Killers. Encik Berus Kapur tidak mahu hidup mengikuti arahan- arahan yang dipesan oleh iklan-iklan. Itu semua pemanis komersialisme, jeritnya dalam hati.
Salah satu penawar kekacauan psikologi yang disusupi dunia barat kepada golongan muda selain seks bebas ialah rentak muzik underground. Dia menawarkan diri untuk menjadi pemain gitar utama kepada sebuah kumpulan muzik punk rock yang belum lagi memiliki sebuah album pun. Encik Berus Kapur sering menyarung baju T hitam dengan cetakan kumpulan Sex Pistol dan Radiohead. Jiwanya sentiasa memberontak, kononnya tidak difahami oleh pihak pemerintah dari pemikiran sekolah lama.
Tidak diketahui bagaimana datangnya darah seni dalam diri Encik Berus Kapur. Oh! Ya, sebelum ini, Encik Berus Kapur pernah memasuki rancangan mencari bintang realiti di televisyen. Oleh kerana dia tahu serba-sedikit memetik tali gitar, ditambah pula karakter wajahnya yang menawan hati penonton, maka, dia berjaya mara hingga ke separuh akhir sebelum disingkirkan kerana peratusan undi sms terendah daripada para penonton. Gambar bogelnya bersama wanita asing berlibur serta berkucupan di pantai peranginan mula disebarkan ke youtube oleh salah seorang kenalan lama, menjadi punca kejatuhan imej bersihnya di mata penonton. Namun, sekali gus mempopularkan dirinya selepas itu sebagai selebriti tampalan di dada media tabloid selama sebulan.
Gagal
Cita-cita Encik Berus Kapur untuk menjadi bintang sekelip mata gagal sama sekali. Kumpulan muziknya pula dibubarkan kerana pendengar tempatan mahukan muzik yang dibawa dari negara luar. Hanya sekali sahaja peluang Encik Berus Kapur tampil ke skrin peti televisyen hasil populariti yang diperoleh dari menyertai rancangan realiti, iaitu sebagai model racun serangga dengan terpaksa menyarung pakaian plastik dan memakai otot- otot palsu, sambil berlakon sebagai superhero yang melenyek seekor nyamuk di atas tapak tangan. Ciss! Selepas itu, nama Encik Berus Kapur terus dilupakan oleh peminat-peminatnya dahulu. Bukankah realiti itu kejam? Stesen televisyen hanya mengira duit, dan itulah trendnya, kata Dr. Mahadi J Murat.
Cara paling mudah untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan hidup ialah dengan hanya melihat, kata Chuck Palahniuk pula.
Tahun berganti tahun, dari suatu pekerjaan ke suatu pekerjaan, tiada satu pun yang melekat atau sesuai dengan kehendak dalaman jiwa Encik Berus Kapur. Aku tidak mahu diikat oleh gaji, catatnya di atas buku nota yang semakin comot oleh ledakan angan- angan. Pun begitu, rupa-rupanya, tempias populariti yang dikecapi ketika menyertai rancangan realiti, membawa sumber ilham kepada Encik Berus Kapur. Industri hiburan adalah pekerjaan yang menguntungkan, bisik lelaki, si bujang tua itu.
Sekarang. Terserahlah, sama ada serius atau tidak angan-angan Encik Berus Kapur sebagai pengarah filem.
Segelas kopi dari Brazil ditolak ke tepi. Dan seperti seorang penulis profesional, dia menundukkan kepalanya untuk mengatur perancangan. Catatan pada buku nota sudah melebihi halaman ke lima belas. Dahi luasnya berkerut seperti Albert Einstein. Memilih-milih apakah gaya penceritaan dan sinematografi yang bakal diterapkan untuk filem sulung. Mungkinkah Encik Berus Kapur meminjam gaya pengarahan James Lee, Martin Scorsese, Jim Jarmusch, U-Wei, Abbas Kiarotsami, Remy Melvaux atau gaya sendiri? Terpulanglah kepada kespontanan seninya.
Mereka itu semua, hanya akan menyebabkan aku hidup merempat di negara kayangan ini, catat Encik Berus Kapur seterusnya dengan huruf-huruf besar.
Adegan panas
Pelakon-pelakon bertaraf bintang yang manakah akan dijemput? Apakah dia juga mengikuti pendekatan popular dengan memasukkan beberapa adegan panas di atas katil, pasangan kekasih sedang menghirup jus oren di tepi kolam atau maki-memaki sekeluarga di ruang tamu? Atau, apakah dia menggunakan kaedah dokumentari ala Amir Muhammad atau Micheal Moore untuk menempelak kepincangan politik semasa? Tidak, Encik Berus Kapur menggeleng. Itu isu dalam kawalan, catatnya. Penonton tempatan bukan buta seni. Malah Amir Muhammad pun tidak dibenarkan untuk mengupas buah durian sehingga ke saat ini. Semua butiran itu, pantang larang dalam perfileman telah tertulis menggunakan pen berdakwat biru di atas buku nota Encik Berus Kapur.
Sesungguhnya dia dilambung obsesi baharu. Mengarah filem! Dari mana modal untuknya memulakan kerja produksi? Apa asas cerita yang bakal diaplikasi ketika mengambil adegan pertama? Dan apa yang lebih penting daripada itu, tahukah dia mengendalikan kamera sebelum berhadapan dengan birokrasi lembaga penapisan filem serta persaingan lambakan filem dari Hollywood? Tidakkah Encik Berus Kapur menyedari sensitiviti perkauman, agama dan lain-lain tabu berkaitan dengan kebudayaan setempat sebelum memulakan rakaman? Apalagi nilai keintelektualan sesebuah filem?
Dan inilah jawapan lelaki berusia lima puluh tahun itu: Apa yang susah sangat? Hiburan seharusnya bersifat hiburan. Pegangan ini sudah mentradisi. Dan untuk apa mengubah budaya, bukankah ia kerja si sisipus? Mengapa masih mengekalkan penggunaan seluloid? Charlie Chaplin pasti akan mentertawakan generasi terkemudian. Revolusi teknologi menemui jalan yang lebih murah! Telefon genggam aku ini, boleh digunakan sebagai kamera! Letakkan sahaja di atas tapak tangan. Genggam dan hala ke sudut-sudut artistik. Semakin murah, semakin berseni! Yasmin Ahmad turut menghargai revolusi baharu pembuatan filem menggunakan kamera telefon genggam. Apa yang penting ialah, kreativiti. Kreativiti membenarkan kesalahan.
Keesokan hari, Encik Berus Kapur melepaskan jawatannya sebagai penjaga stor di sebuah kilang perisian komputer multinasional. Dan kini, mula gemar menonton beberapa buah filem. Pendek mahu pun panjang di pawagam atau pada DVD melalui komputer riba. Sebelum memulakan projek sulung sebagai pengarah filem terbilang, dia melakukan beberapa eksperimen; seperti merakam curi adegan-adegan lucah para pelajar di hotel murah, mengendap pengguna tandas bilik wanita dan mengedarkan hasil rakamannya di pasar-pasar malam, sebagai ikhtiar mengumpul dana. Permohonannya mendapat modal ditolak mentah-mentah oleh syarikat perfileman. Seniman gila, bentak mereka!
Begitulah adanya, kisah dongeng seorang rakyat berjiwa kacau di tengah kota.