Kajian mendapati bangunan kerajaan selamat daripada gegaran gempa bumi
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bangunan tinggi di negara ini tidak perlu menjalani ujian tahanan gegaran kerana kajian mendapati bangunan berkenaan selamat.
Perdana Menteri berkata, kajian keupayaan ketahanan struktur bangunan terhadap gempa bumi yang dilaksana Jabatan kerja Raya pada 2006 dan mendapati 65 bangunan kerajaan dan separa kerajaan seluruh negara selamat.
"Sehubungan itu, sebarang ujian tahanan gegaran tidak diperlukan tetapi kerajaan sedang mengkaji memasukkan keperluan lain yang lebih bersesuaian dalam undang-undang kecil tempatan terutama di beberapa bahagian di Sabah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Razali Ibrahim (BN-Muar) di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kedudukan negara di kawasan gempa bumi yang rendah kecuali di beberapa bahagian di Sabah yang terletak di kawasan sederhana aktif.
"Secara am, struktur bangunan dan jambatan di negara ini direka bentuk berdasar kepada kod reka bentuk piawaian British sama dengan keadaan keaktifan. Walaupun begitu, kod ini mempunyai keperluan tambahan bagi memastikan struktur bangunan mempunyai daya kelasakan yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan risalah dan memaparkan dalam portal web kaedah dan cara bertindak bagi memastikan keselamatan jika berlaku gempa bumi serius.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara sebagai urusetia pengurusan bencana negara juga menerbitkan buku panduan keselamatan untuk menghadapi bencana dan krisis sebagai panduan orang ramai.