Oleh Syuhada Choo Abdullah
Pengurusan pastikan kadar munasabah
KUALA LUMPUR: Pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mula mengambil langkah mengekang kenaikan harga tidak munasabah di kafeteria universiti, termasuk menetapkan kadar siling jualan, berikutan peningkatan kos minyak dan barangan keperluan harian.
Walaupun keadaan di universiti rata-rata masih terkawal, pihak berkenaan mahu memastikan pengurusan kafeteria tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara mendadak sehingga membebankan penuntut, terutama yang kurang berkemampuan.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata pihaknya menurunkan kadar peratus bayaran royalti keuntungan kepada universiti yang dikenakan terhadap syarikat induk memegang tender kafeteria di kampus.
"Syarikat induk terbabit yang memfrancaiskan perniagaan kafeteria kepada beberapa pengusaha berlainan di kampus juga bersetuju menurunkan kadar sewa mereka selepas perbincangan dengan pihak universiti," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pihaknya menetapkan harga siling jualan sebagai langkah kawalan supaya pengusaha kafeteria di kampus itu tidak bertindak menaikkan harga makanan sewenang-wenang.
"Memang ada permohonan daripada pengusaha kafeteria untuk menaikkan harga jualan, tetapi pihak universiti masih meneliti dan membuat pertimbangan dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan," katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Tan Sri Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, berkata beliau akan mendapatkan laporan penuh daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan berbincang dengan Majlis Perwakilan Pelajar mengenai kos makanan di kafeteria kampus.