BERIKUTAN satu lagi kes dakwaan liwat yang pastinya akan menggemparkan dalam dan luar negara maka usaha mengkondisikan pemikiran rakyat untuk menggugat kredibiliti pihak pengadilan dan kehakiman negara ini sedang dilakukan.
Fokus kempen tersebut adalah Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Sekalipun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bersungguh-sungguh menjalankan usaha untuk membersihkan imej kehakiman, beberapa perkembangan terbaru dikhuatiri mencetuskan semula keraguan.
Yang jelas akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang mengandungi fitnah dahsyat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah ditarik balik sehari kemudian.
Perkembangan tersebut nampak boleh membantu Najib tetapi daripada sudut lain ia dilihat seolah-olah ada campur tangan kerajaan.
Prasangka terhadap polis dan keselamatan timbul apabila Subramaniam dan keluarga menghilangkan diri.
Walaupun tidak jelas siapa yang menggunakan siapa tetapi kepada banyak pihak termasuk di luar negara, ia menampakkan ada campur tangan kerajaan dalam proses perundangan dan kehakiman kita.
Apakah mungkin pihak pembangkang yang melakukannya sendiri hal-hal sedemikian? Tetapi ia sukar untuk dipercayai ramai lebih-lebih lagi ada akhbar-akhbar Inggeris berpengaruh tidak memberikan gambaran sebenar kerana hendak menjadi popular sebagai juara kebebasan.
Akhbar berkenaan selalunya bias kepada pihak pembangkang dan anti kerajaan.
Sikap akhbar tersebut dan juga pengendali blog tertentu adalah kerana melihat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya pemimpin Melayu yang boleh menjadi wira mereka bagi memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia yang matlamatnya adalah menghapuskan kontrak sosial dan ketuanan Melayu.
Ini dapat dilihat daripada perubahan sikap akhbar ini yang sebelumnya begitu ghairah membesar besarkan cerita yang memburukkan Datuk Seri Najib sehingga menggunakan Akuan Bersumpah Raja Petra dan juga P. Balasubramanian sebagai berita utama beberapa hari.
Namun setelah perkembangan dakwaan kes liwat dilihat tidak memihak kepada tertuduh maka mereka serta-merta mengisytiharkan agar dihentikan perang politik. Pihak media itu menjalankan pula kempen untuk memfokuskan ekonomi seolah-olah kerajaan sejak selepas pilihan raya umum lalu hanya bermain politik.
Pada hal yang sebenarnya, akhbar dan pengendali blog tertentu yang menimbulkan berbagai-bagai cerita sensasi dan diragui.
Mereka dipercayai berbuat demikian sebelum ini kerana bimbang kes dakwaan liwat akan menjadi ancaman besar kepada pakatan pembangkang dan juga perjuangan Malaysian Malaysia.
Rakyat harus memahami ancaman dan bahaya besar yang dihadapi oleh orang Melayu dan Islam di negara ini yang tidak hanya terbatas kepada orang UMNO semata-mata. Bahaya dan malapetaka ini akan menimpa kita bersama.
TAN
Melaka